Selepas dua minggu dipertontonkan di kilang Inokom, Kulim, Kedah, akhirnya Bermaz Motor melancarkan Mazda CX-5 2017 versi pemasangan tempatan (CKD) secara rasminya untuk pasaran Malaysia.

Seperti yang kami maklumkan sebelum ini, CX-5 2017 diberikan pilihan lima varian iaitu tiga varian petrol dan dua varian diesel. Barisan varian tersebut ialah model asas 2.0G 2WD GL, 2.0G 2WD GLS, 2.5G 2WD GLS, dan dua model spesifikasi penuh iaitu 2.2D 2WD GLS dan 2.2D AWD GLS.

Di bawah bonetnya, varian CX-5 janaan petrol didatangkan sama ada enjin SkyActiv-G 2.0 liter (162 hp/210 Nm) atau 2.5 liter (192 hp/257 Nm). Manakala bagi varian diesel pula, ia dipadankan dengan unit 2.2 liter SkyActiv-D yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 173 hp dan 420 Nm.

Versi petrol dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan SkyaActiv-Drive memacu roda hadapan. Manakala untuk model yang dijana kuasa diesel pula juga diberikan sistem transmisi yang sama tetapi turut diberikan sistem pacuan semua-roda.

SUV generasi baharu ini turut diberikan teknologi pemanduan SkyActiv-Vehicle Dynamic dengan sistem G-Vectoring Control (GVC) dan Mazda i-Stop Idling Technology.

Meneruskan evolusi Jinba Ittai kebanggaan Mazda, CX-5 generasi kedua ini mempertaruhkan imej luaran dan dalaman dengan terapan konsep Kodo sebagai daya tarikan utama. Rekaan yang lebih segar ini telah menjadikan CX-5 CKD 2017 ini boleh dianggap ‘sedap mata memandang’. Apatah lagi dengan penawaran variasi mengikut kelebihan bagi setiap varian.

Pada bahagian luaran, bonet baharu juga ditampilkan memberikan imej hadapan yang lebih tajam bagi SUV baharu ini. Bahagian bampar bawah juga digantikan serta kini tiada lagi corong palsu. Menyerlahkan lagi gayanya dengan gril ala-sarang lebah baharu berbanding model sebelum ini hanya hanya menampilkan kepingan plat biasa. Ternyata CX-5 baharu ini ada iras-iras abangnya iaitu Mazda CX-9.

Selain itu, semua varian turut menerima lampu hadapan LED yang lebih langsing, dengan lampu nyalaan siang dan lampu kabus hadapan (LED bagi semua varian kecuali mentol untuk varian asas 2.0 GL). Bagi rodanya pula, ia ditawarkan dengan dua rekaan iaitu pelbagai-jejari 17-inci untuk varian rendah dan lima jejari-berkembar 19-inci bagi varian spesifikasi tertinggi.

Lampu kombinasi belakang LED pula dihadirkan untuk semua varian tertinggi kecuali varian asas yang hanya dengan lampu mentol biasa. Lain-lain elemen yang ditampilkan bagi semua varian ialah antena sirip jerung, spoiler belakang, pengesan parkir dan dwi corong ekzos dengan kekemasan terang.

Selain pembaharuan yang lebih segar pada bahagian imejnya, SUV ini juga mengalami perubahan pada dimensi dan bentuk kerangkanya. Di mana tiang-A telah diposisikan ke belakang sedikit sebanyak 35 mm, sekaligus mengoptimumkan kedudukan gandar hadapan dan tiang-A.

Sekaligus menjadikan dimensi terkini bagi model generasi kedua ini ialah 4,550 mm bagi panjang (-5 mm tanpa pemegang plat nombor) dan bertambah 20mm bagi ketinggiannya menjadi 1,690 mm. Namun lebarnya masih sama iaitu 1,840 mm, begitu juga dengan jarak rodanya (2,700 mm).

Menjengah bahagian kabinnya pula, kelihatan papan pemuka CX-5 yang dirombak semula, lengkap dengan material sentuhan lembut berserta rekaan kayuan dan logam untuk semua varian kecuali model asas (hadir dengan kekemasan gun metallic). Ia turut menampilkan skrin utama Mazda Active Driving Display pada bahagian tengah yang dihubungkan kepada sistem infotainment MZD Connect. Bagi kluster instrumen, semua varian menerima paparan standard TFT LCD 4.6-inci, namun ia dipertingkatkan bagi dua varian tertinggi dengan menampilkan Paparan Pelbagai Informasi TFT LCD berwarna 4.6-inci.

Lain-lain elemen yang ditampilkan termasuk roda stereng tiga-jejari (seperti CX-9), brek tangan elektrik (dengan fungsi brek penahan baharu), corong pendingin hawa belakang, kawalan suhu dwi-zon, perehat tangan, port USB, sambungan Bluetooth dengan kit telefon bebas tangan, pemain CD/MP3, sistem navigasi GPS (kecuali varian asas) dan kamera undur. Walau bagaimana pun ia tidak menampilkan sistem bunyi Bose seperti mana yang ada pada unit CBU.

Bagi tempat duduk pula, balutan fabrik untuk model asas dan larasan manual untuk tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan. Manakala varian tertinggi lain menerima balutan kulit dengan 10-hala larasan berkuasa bagi tempat duduk pemandu.

Untuk aspek keselamatannya, 2.0G 2WD GLS, 2.5G 2WD GLS, 2.2D 2WD GLS dan 2.2D AWD GLS didatangkan dengan Mazda i-Activsense bagi sistem bantuan pemandu dan keselamatan, bersama Kepekaan Trafik Lintasan belakang (RCTA), Pemantauan Titik Buta (BSM) dan Sokongan Brek bandar Pintar (hadapan) bagi semua varian. Walau bagaimana pun, varian diesel juga dilengkapi dengan Sokongan Brek bandar Pintar (belakang), Bantuan Kekal Lorong (LKA), Sistem Amaran Ketibaan Lorong (LDWS) dan Kepekaan Perhatian Pemandu (DAA).

Manakala lain-lain elemen keselamatan standard bagi semua varian termasuklah enam beg udara, ABS dengan EBD, Kawalan Kestabilan Dinamis (DSC), Bantuan Brek Kecemasan (EBA), Sistem Kawalan Cengkaman (TSC), Bantuan Mula Mendaki (HSS) dan ISOFIX. Kesemua model turut menerima penarafan lima-bintang dari Japan NCAP dan Euro NCAP.

Harga atas jalan (tanpa insurans) yang ditawarkan ialah RM134,205.50 (solid)/RM134,605.50 (metalik) bagi varian 2.0G 2WD GL, manakala 2.0G 2WD GLS pula RM148,205.50 (solid)/RM148,605.50 (metalik). Bagi varian 2.5G 2WD GLS pula berharga RM160,596.70(solid)/RM160,996.70 (metalik). Varian 2.2D 2WD GLS berharga RM164,179.10 (solid)/RM164,579.10 (metalik) dan 2.2D AWD GLS pula RM174,779.10 (solid)/RM175,179.10 (metalik).

Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insurans. Dengan setiap pembelian, pemilik akan diberi jaminan selama lima-tahun atau 100,000 km, dan pakej servis percuma tiga-tahun atau 60,000 km. Pilihan warna yang ditawarkan ialah Deep Crystal Blue, Sonic Silver, Meteor Grey, Jet Black, Arctic White serta tiga warna premium (dengan kos tambahan sebanyak RM2,000) iaitu Sould Red Crystal, Machine Grey dan Snowflake White Pearl.

Untuk perincian dan spesifikasi penuh mengenai Mazda CX-5 CDK 2017 ini, sila layari CarBase.my.

GALERI: Mazda CX-5 2017 2.0L

GALERI: Mazda CX-5 2017 2.5L

GALERI: Mazda CX-5 2017 2.2L diesel