Melalui maklumat terkini berkaitan ujian ASEAN NCAP yang telah diumumkan, Proton X70 berjaya menerima penarafan lima-bintang bagi aspek keselamatan penumpang. Untuk itu, X70 juga merupakan model yang menduduki tangga tertinggi bagi segmennya.

Dengan tradisi dan pencapai yang sama cemerlang bagi model-model terdahulu seperti Proton Iriz, Proton Persona, Proton Preve dan Proton Suprima S, Proton memastika bahawa model SUV pertama syarikat itu juga mengikut jejak yang sama, mencapai skor tertinggi berdasarkan protokol ujian terkini bagi tahun 2017-2020. Berdasarkan protokol baharu itu, teknologi bantuan keselamatan kini diambil kira dan dinilai sebanyak 25% daripada skor keseluruhan.

Menurut Proton, antara perkara yang menyumbang kepada pencapaian ini ialah penghasilan kerangka badan kenderaan menggunakan teknologi Hot Press Forming (HPF) – yang dilakukan sejak 2012 – dan turut dilengkapi enam beg udara bagi semua varian, cagak ISOFIX serta ciri tali pinggang keledar dengan sistem penegang dan pengehad beban.

Selain itu, X70 merupakan SUV pertama Proton yang hadir dengan barisan ciri keselamatan mengkagumkan, termasuk autonomous emergency braking (AEB), Forward Collision Warning (FCW), Lane Departure Warning (LDW) dan Blind Spot Monitoring System (BLIS).

“Terima kasih kepada usaha tekun pereka dan jurutera Proton yang telah membolehkan jenama ini berjaya mengembangkan reputasinya untuk menghasilkan kereta yang mampu melindungi pengguna sekiranya berlaku kemalangan.

“Selain sistem bantuan tambahan kepada pemandu yang diperkenalkan pertama kali, Proton X70 turut dilengkapi dengan pelbagai ciri kemudahan lain seperti voice command, Adaptive Cruise Control (ACC), Intelligent High Beam Control (IHBC) dan kamera 360 untuk pengendalian pemanduan selamat di kawasan yang sempit,” kata Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar.

Kepada anda yang ingin mendekati SUV X70 ini bolehlah berkunjung ke pameran KLIMS 2018 yang akan bermula minggu depan di MITEC kerena model ini akan turut dipamerkan di sana.