Xpeng X9 2026 facelift di Malaysia — bateri 94.8 kWh dan 110 kWh, jarak hingga 615 km, harga dari RM281k

Bermaz Xpeng Sdn Bhd dengan secara rasmi telah memperkenalkan model Xpeng X9 facelift 2026 terbaru untuk pasaran Malaysia, selepas lebih setahun versi sebelumnya dilancarkan di sini. Merupakan sebuah MPV flagship tujuh-tempat duduk premium, ia kini dibuka untuk tempahan dengan harga seperti berikut:

  • Xpeng X9 2026 Standard Range — RM281,073
  • Xpeng X9 2026 Long Range — RM299,073
  • Xpeng X9 2026 AWD Performance — RM335,573
  • (*Harga atas jalan belum termasuk insuran)

Xpeng X9 terbaru ini mengekalkan rekaan futuristik yang sama seperti sebelumnya dengan menampilkan beberapa kemaskini yang lebih segar. Wajah depan “Robot Face”-nya menampilkan jalur lampu melintang yang menyerlahkan kelebarannya, ia juga hadir dengan pintu depan yang ditutup lembut yang menambah sentuhan premium. Garis bumbung apung, tingkap sisi yang luas serta rekaan bahagian belakang yang sedikit tirus dan rekaan lampu belakang bercantum menjadi profil khas MPV ini.

Xpeng X9 2026 facelift di Malaysia — bateri 94.8 kWh dan 110 kWh, jarak hingga 615 km, harga dari RM281k

Di dalam, kemasannya kini menerima kemaskini rekaan dengan warna dua-tona Rose Brown, selain Coffee dan Meteorite Black — membangkitkan suasana elegan untuk penumpang. Unit head-up display 21-inci memaparkan perincian infotainmen dengan jelas.

Untuk pemandu, roda stereng dengan permukaan ultra fiber menjadi antara sentuhan halus yang ditambah. Untuk sistem bunyi, MPV ini dilengkapi dengan sistem audio XOpera dengan 27-pembesar suara. MPV mewah ini juga kini dilengkapi dengan stereng rod belakang untuk kemudahan membelok dan parkir di ruang sempit.

Tempat duduk barisan kedua hadir dengan nisbah lipat 60:40 untuk lebih memudahkan penumpang, dengan kerusi barisan ketiga kini dengan Ciri pemanas. Turut tersedia ialah peti sejuk dengan kunci kanak-kanak untuk keselesaan dan lebih selamat.

Dari segi prestasi, Xpeng X9 2026 ditawarkan dalam tiga varian dengan kapasiti yang lebih besar berbanding sebelumnya — Standard Range, Long Range dan AWD Performance. Semuanya memanfaatkan binaan 800-volt SiC oleh Xpeng sendiri, dengan kemampuan pengecasan pantas cekap 5C.

Standard Range dilengkapi bateri 94.8 kWh lithium-ion phosphate (LFP) yang memberikan jarak perjalanan 537 km. Ia boleh dicas dari 10%-80% dalam masa 12 minit pada kadar maksimum 537 kW. Sebelum ini, kapasiti baterinya ialah 84.5 kWh. Motor yang melengkapinya pula menjana sebanyak 315 PS (235 kW) kuasa dan 450 Nm tork, sama seperti varian Long Range.

Varian Long Range dan AWD Performance pula menggunakan bateri 110 kWh nickel cobalt manganese (NMC) yang masing-masing memberikan jarak perjalanan sehingga 615 km dan 580 km dalam kitaran WLTP. Kedua-duanya boleh dicas dari 10%-80% dalam masa 12 minit, dengan kadar maksimum 542 kW. Kapasiti bateri bagi varian sama sebelum ini ialah 101.5 kWh. Bagi varian AWD Performance yang menerima satu lagi motor elektrik, gabungan janaan kuasa yang dihasilkan ialah sebanyak 503 PS (370 kW) dan 640 Nm tork.

Ia juga lengkap dengan sistem bantuan pemandu XPilot Assist yang dipacu oleh cipset Xpeng Turing AI, pemproses komputer generasi baru yang menggantikan unit sebelum ini, dengan kemampuan 750 operasi per saat (TOPS) yang sangat cekap. Antara ciri bantuan pemandu yang tersedia ialah kawalan melayar adaptif, bantuan ke tengah lorong, bantuan menukar lorong dan had kelajuan pintar. Selain itu, X9 baru ini juga datang dengan sembilan beg udara untuk penumpang.

Xpeng X9 2026 facelift di Malaysia — bateri 94.8 kWh dan 110 kWh, jarak hingga 615 km, harga dari RM281k

Ciri lain yang ada termasuk parkir automatik canggih, parkir jarak jauh, kamera 360-darjah, paparan casis lutsinar dan bantuan laluan sempit. Tidak ketinggalan juga amaran titik buta.

Xpeng X9 2026 ini merupakan unit CBU dari China, dan ditawarkan dengan pilihan lima warna badan: Midnight Black, Arctic White, Matte Gray serta dua warna baru, Lambent Cyan dan Polar Violet.

MPV ini didatangkan dengan tempoh jaminan lima-tahun/120,000 km dan lima-tahun servis dan penyelenggaraan percuma (atau 100,000 km, yang mana dulu). Selain itu, untuk bateri juga diberikan jaminan lapan-tahun/160,000 km.

Tags: ,