
KTM Berhad memaklumkan bahawa operasi perkhidmatan tren di Stesen JB Sentral akan ditutup sementara pada 11 Jun 2026 bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pelancaran struktur truss untuk Projek RTS Link Johor Bahru-Singapura.
“Sepanjang tempoh penutupan tersebut, penumpang yang terlibat bagi tren ETS EP9535 dan EG9449 akan meneruskan perjalanan menggunakan perkhidmatan bas perantara yang disediakan antara Stesen Keretapi Kempas Baru dan JB Sentral. Kawasan khas untuk menaikkan dan menurunkan penumpang akan disediakan di kedua-dua lokasi.
“Petugas serta ambassador turut ditempatkan di kawasan terlibat bagi membantu dan membimbing para penumpang. Penumpang dinasihatkan supaya mematuhi papan tanda serta arahan petugas bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan sepanjang tempoh penutupan,” kata KTMB menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Untuk penumpang yang terkesan, boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200 untuk sebarang pertanyaan atau bantuan lanjut.
Dilancarkan pada tahunn 2018, projek RT Link ini adalah perkhidmatan rel rentas sempadan sepanjang empat kilometer yang menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands North di Singapura. Ia dijangka siap pada Disember 2026 dan mula beroperasi awal 2027. Sistem pengangkutan rel itu mampu memuatkan kapasiti 10,000 penumpang sejam untuk setiap arah, dengan masa perjalanan sekitar lima minit antara dua stesen, satu di Bukit Chagar di Johor dan satu lagi di Woodlands di Singapura.
