Bentley Torcal – nama SUV elektrik baru didedah, akan diperkenal kepada umum 23 Sept, guna platform PPE

Bentley mengesahkan bahawa SUV elektrik pertama jenama itu akan dikenali sebagai Torcal, sekaligus menjadi barisan model keempat dalam portfolio semasa syarikat selepas Continental GT, Flying Spur dan Bentayga.

Nama Torcal diambil bersempena El Torcal de Antequera, sebuah kawasan batu kapur ikonik di Sepanyol yang terkenal dengan formasi geologinya. Pada masa sama, nama tersebut turut berasal daripada perkataan Latin torquere, iaitu asal-usul kepada istilah moden “torque” atau daya kilas.

Model baru ini dijadualkan membuat kemunculan rasmi di London pada 23 September. Dari segi reka bentuk, Torcal dijangka banyak menampilkan elemen yang diadaptasi daripada kenderaan konsep Bentley EXP 15 yang diperkenalkan pada Julai tahun lalu.

Dalam barisan model Bentley, Torcal akan diposisikan di bawah Bentayga. Walaubagaimanapun, model ini bukanlah pengganti kepada Bentayga enjin V8 – lapor Autocar. Sebaliknya, Bentley dilaporkan sedang membangunkan pengganti baru untuk Bentayga yang masih menggunakan enjin pembakaran dalaman (ICE) dan dijangka diperkenalkan pada tahun 2028.

Torcal juga dijangka berkongsi banyak persamaan dengan Porsche Cayenne Electric, termasuk penggunaan platform Premium Platform Electric (PPE). Pendekatan ini sama seperti Bentayga sedia ada yang dibangunkan berasaskan platform MLB milik Kumpulan Volkswagen, yang turut digunakan oleh Porsche Cayenne versi enjin pembakaran dalaman.

Sebagai sebuah SUV elektrik berprestasi tinggi, Torcal dijangka menggunakan konfigurasi dua-motor dengan sistem pacuan semua roda (AWD). Namun begitu, masih belum dapat dipastikan sama ada kuasa yang dihasilkan akan menghampiri angka empat digit seperti Porsche Cayenne Turbo Electric, dan spesifikasi yang lebih realistik dijangka menghampiri Cayenne S Electric dengan kuasa sehingga 666 PS dan tork maksimum 1,080 Nm.

Setakat ini, Bentley masih belum mendedahkan imej rasmi ruang kabin Torcal. Namun, laporan menyatakan imej intipan prototaip pembangunan menunjukkan model itu bakal menggunakan skrin sesentuh tengah melengkung dengan orientasi menegak, sama seperti yang terdapat pada Cayenne Electric. Paparan tersebut dipercayai dibahagikan kepada dua bahagian, masing-masing untuk sistem infotainmen dan kawalan penyaman udara.