Proton mengumumkan bahawa model-model kenderaan tenaga baharunya (NEV) akan dijual di Brunei Darussalam menerusi pengedar khas jenama Proton eMas iaitu Grand Motors Sdn Bhd. Pelantikan itu menjadikan Brunei sebagai pasaran eksport kedua yang menjual model-model EV menerusi pengedar khas Proton eMas selepas Singapura, manakala model-model Proton dengan enjin pembakaran dalaman sepenuhnya seperti Proton Saga, Proton S70, Proton X50, Proton X70 dan Proton X90 masih dijual oleh PAD Motors Sdn Bhd.
Menurut Proton, Grand Motors yang mempunyai lebih 40 tahun pengalaman dalam industri automotif Brunei akan bertanggungjawab mengendalikan jualan, pemasaran, khidmat pelanggan serta perkhidmatan selepas jualan Proton eMas. Syarikat itu turut akan mengendalikan sebuah bilik pameran dan pusat servis khusus bagi memastikan pelanggan Proton eMas di pasaran berkenaan menikmati pengalaman pemilikan EV yang menyeluruh.
“Proton komited memperluaskan peranannya dalam mobiliti masa depan, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di pasaran eksport. Pelantikan Grand Motors merupakan satu pencapaian penting bagi Proton eMas ketika kami meneruskan momentum kejayaan perniagaan EV dan memperkenalkan penyelesaian mobiliti yang dibangunkan di Malaysia kepada lebih ramai pelanggan di rantau ini,” kata Edmund Lim Meng Thong, CEO Proton International Corporation.
“Brunei merupakan pasaran yang sesuai untuk Proton e.MAS kerana negara itu mempunyai aspirasi jelas untuk membangunkan ekosistem pengangkutan yang lebih lestari. Pada masa sama, pengguna semakin mencari kenderaan yang menawarkan teknologi moden, tahap keselamatan tinggi serta praktikal untuk kegunaan harian,” tambahnya.
Proton turut menyatakan pengenalan jenama eMas di Brunei turut menyokong aspirasi negara itu untuk mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2035 dengan penawaran rangkaian kenderaan elektrik mampu milik.

