Mitsubishi Pajero Sport facelift 2024 didedah di Thai- enjin baru 184 PS/430 Nm, 6AT, bermula RM182k

Mitsubishi Pajero Sport facelift 2024 didedah di Thai- enjin baru 184 PS/430 Nm, 6AT, bermula RM182k

Berbanding trak pikap Mitsubishi Triton yang kini sudahpun diperkenalkan dalam versi generasi serba baharu, model SUV yang dihasilkan dari platform ladder frame yang sama iaitu Pajero Sport generasi sedia ada nampaknya masih kekal dalam pasaran mungkin dalam tempoh lebih lama – ini dia Mitsubishi Pajero Sport facelift 2024 baru sahaja membuat kemunculan sulungnya di Thailand semalam.

Model kemaskini ini menampilkan sedikit penyegaran rupa pada bahagian luaran dan dalaman, namun untuk sistem mekanikal ia diberikan perubahan yang lebih banyak termasuk menerima enjin baharu dan perubahan pada talaan transmisi dan juga suspensi.

Bagi pasaran Thailand, Pajero Sport facelift ini ditawarkan dalam empat varian iaitu 2.4 Prime 2WD 6AT dijual pada harga 1,389,000 baht (RM182k), 2.4 Ultra 2WD 6AT berharga 1,529,000 baht (RM201k), 2.4 Elite 2WD 6AT berharga 1,579,000 baht (RM207k) dan varian tertinggi 2.4 Elite 4WD 6AT berharga 1,689,000 baht (RM222k).

Mitsubishi Pajero Sport facelift 2024 didedah di Thai- enjin baru 184 PS/430 Nm, 6AT, bermula RM182k

Model facelift ini kini menerima enjin MIVEC DOHC turbodiesel 4N16 2.4 liter empat silinder yang sama seperti Triton generasi baharu bagi menggantikan enjin 4N15 pada model sebelum ini. Namun enjin baharu ini hanya hadir dalam talaan kuasa 184 PS dan tork 430 Nm, berbanding Triton yang turut menerima versi 204 PS/470 Nm.

Kotak gear lapan kelajuan automatik model sebelum ini juga tidak lagi digunakan, kerana enjin baharu ini turut digandingkan dengan transmisi automatik enam kelajuan baharu. Bagi varian-varian 4WD, sistem pacuan empat roda Super Select 4WD II dan datang dengan empat mod off-road baharu iaitu Gravel, Mud/Snow, Sand dan Rock.

Selain itu, nisbah gear akhir pada Pajero Sport 2024 turut diubah dari 3.692 sebelum ini kepada 4.090. Jarak kelegaan tanah juga dipertingkat dari hanya 217 mm sebelum ini kepada 222 mm.

Mitsubishi Pajero Sport facelift 2024 didedah di Thai- enjin baru 184 PS/430 Nm, 6AT, bermula RM182k

Perubahan ketara pada bahagian luar untuk Pajero Sport 2024 ini adalah bahagian gril dan bampar hadapan serta rim aloi 18-inci rekaan baharu. Bagi varian dengan kemasan paling sporty iaitu Elite, ia menerima kemasan-kemasan luaran termasuk gril hadapan berwarna hitam berkilat, manakala varian lain menerima gril hadapan dalam kemasan hitam-perak.

Antara perincian standard lain diberikan termasuk lampu hadapan automatik projektor Bi-LED dengan larasan lampu tinggi automatik, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus LED, lampu kombinasi belakang LED, pengelap cermin automatik, pintu tailgate bantuan kuasa dan pelbagai lagi.

Untuk bahagian dalaman, Pajero Sport 2024 ini menerima roda stereng baharu yang sama dengan Triton generasi baharu. Khas untuk varian Ultra dan Elite, ia kini menerima paparan instrumen digital sepenuhnya dengan skrin lapan-inci. Dua varian ini juga menerima upholsteri balutan kulit hitam-merah, berbanding kulit hitam sepenuhnya pada varian Prime.

Mitsubishi Pajero Sport facelift 2024 didedah di Thai- enjin baru 184 PS/430 Nm, 6AT, bermula RM182k

Bagi sistem infotainmen, Pajero Sport baharu ini dibekalkan dengan skrin sesentuh utama 8-inci yang boleh memainkan DVD, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar (hanya pada Ultra dan Elite), sistem navigasi, dihubungkan kepada enam pembesar suara.

Pajero Sport pasaran Thailand ini merupakan model dengan tiga baris tempat duduk. Jadi penumpang belakang turut menerima skrin tersendiri yang dilipat pada bahagian bumbung bersaiz 12.1-inci. Skrin ini boleh dikawal menggunakan alat kawalan jauh, diberikan input HDMI dan USB serta datang dengan dua set fon kepala infra-merah.

Kabin belakang turut diberikan liang udara penghawa dingin, dengan tempat duduk baris kedua boleh dilipat dalam nisbah 60:40, dan tempat duduk baris ketiga boleh dilipat dengan nisbah 50:50.

Mitsubishi Pajero Sport facelift 2024 didedah di Thai- enjin baru 184 PS/430 Nm, 6AT, bermula RM182k

Perincian standard lain yang diberikan pada Pajero Sport 2024 ini termasuk tempat duduk hadapan kawalan elektrik lapan-hala, cermin pandang belakang auto-malap, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, penghawa dingin automatik dua-zon, pedal penukar gear, brek parkir elektrik dengan auto hold dan pelbagai lagi.

Untuk keselamatan, kesemua varian menerima bantuan mula mendaki, kawalan menurun bukit, kamera pemantau sekeliling, amaran pelanggaran hadapan dan brek kecemasan automatik, isyarat berhenti kecemasan dan penderia undur. Varian asas Prime hanya menerima dua-beg udara, sementara varian Ultra dan Elite pula diberika tujuh-beg udara.

Dua varian lebih tinggi ini juga menerima lebih sistem bantuan pemanduan seperti sistem amaran titik buta, bantuan tukar lorong, amaran lintasan trafik belakang dan sistem cruise control adaptif.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required