Geely mengumumkan bahawa ia bakal melancarkan kembar Proton eMas 5 iaitu EV EX2 ke pasaran United Kingdom bulan depan. Ini merupakan model ketiga Geely dilancarkan di sana, selepas Geely EX5 (Proton eMas 7) dan juga Geely Starray PHEV (Proton eMas 7 PHEV).
Walaupun menerima hatchback EV ini lebih lambat, UK akan dibekalkan dengan EX2 dalam versi paling terkini seperti yang dilancarkan di China baru-baru ini. Jadi pada bahagian luara, Geely EX2 pasaran UK ini diberikan rupa luaran yang dikemaskini dengan penutup gril hadapan aktif serta set rim aloi 16-inci dengan corak turbin baharu. Bampar belakang juga berbeza dengan perubahan dibuat pada panel bawah yang nampak lebih sporty.
Manakala dalam kabin, EX2 pasaran UK ini akan menerima pemilih gear yang dialihkan ke kolum stereng, upholsteri kulit sintetik yang diperbaharui, dan juga suis kawalan cermin tingkap baharu seperti yang terdapat pada EX5/eMas 7. Paparan instrumen 8.8-inci dan juga skrin infotaimen 14.6-inci masih lagi sama, tetapi ia dipertingkat dengan fungsi kamera selfie serta diberikan lampu peta tambahan.
Buat masa sekarang Geely UK belum mengumumkan sebarang spesifikasi teknikal dan cuma mengesahkan bahawa EX2 pasaran UK ini boleh bergerak sejauh 345 km dalam kitaran ujian WLTP untuk varian Max dan Ultra, atau 20 km lebih jauh berbanding Proton eMas 5 Premium di Malaysia.
Di China, EX2 yang dikenali sebagai Xingyuan sememangnya sudahpun ditawarkan dengan bateri LFP lebih besar berkapasiti 47.14 kWj didakwa mampu bergerak sejauh 480 km (70 km lebih jauh) dalam kitaran ujian CLTC, berbanding 40.16 kWj pada eMas 5 Premium sedia ada di Malaysia. Jadi kemungkinan besar model pasaran UK ini akan menerima pilihan bateri lebih besar yang sama.
Untuk mengecas pula, Geely EX2 pasaran UK ini didakwa boleh menerima pengecas pantas DC sehingga 60 kW untuk varian asas Pro dan sehingga 80kW untuk varian Max dan Ultra, dengan ketiga-tiganya boleh memenuhkan cas dari 10% hingga 80% dalam masa 25 minit.
Sebagai perbandingan eMas 5 Premium boleh menerima pengecas pengecas pantas DC sehingga 71 kW yang membolehkan cas dari 30%-80% dipenuhkan dalam masa 21 minit, manakala Xingyuan terbaharu di China dengan bateri lebih besar mengambil masa hanya 19 minit untuk memenuhkan kadar cas yang sama.
Tingkat taraf yang diberikan pada model pasaran UK ini dijangka turut akan diberikan kepada Proton eMas 5 pasaran Malaysia, namun bukan dalam masa terdekat. Ini kerana eMas 5 CKD baru sahaja mula dipasang di Tanjong Malim, dan ia mungkin mengambil sedikit masa untuk menghasilkan model dengan tingkat taraf baharu.
Ambil EX5/Proton eMas 7 sebagai contoh, Proton baru sahaja memperkenalkan varian baharu eMas 7 Premium Plus di Malaysia bulan lalu, iaitu model dengan pilihan bateri lebih besar, sama seperti Geely EX5 kemaskini yang dilancarkan di Australia tiga bulan sebelum itu.



