Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) memberi bayangan ketibaan model baru Tayron menerusi satu imej teaser yang dimuat naik di media sosial, sekaligus menguatkan petanda bahawa pelancarannya untuk pasaran tempatan semakin hampir.
Meskipun imej yang dikongsi agak gelap, bahagian hadapan dan belakang SUV tersebut masih dapat dilihat dengan jelas, termasuk rekaan lampu LED melintang penuh yang menjadi identiti model ini. VPCM turut menggunakan frasa “tay tuned“, sebagai permainan kata yang merujuk kepada nama Tayron.
Volkswagen Tayron merupakan versi lebih panjang bagi Tiguan generasi ketiga dan dibangunkan sebagai pengganti kepada Tiguan Allspace. Seperti model terdahulu, Tayron turut ditawarkan dengan konfigurasi sehingga tujuh tempat duduk, sekaligus membolehkan Volkswagen terus bersaing dalam segmen SUV keluarga yang semakin mendapat sambutan sekarang.
Model ini dibina berasaskan platform modular MQB Evo yang turut digunakan oleh Tiguan baru. Dari segi dimensi, Tayron berukuran 4,792 mm panjang, 1,852 mm lebar dan 1,660 mm tinggi, dengan jarak roda sepanjang 2,791 mm. Ini menjadikannya 253 mm lebih panjang, 10 mm lebih lebar dan 21 mm lebih tinggi berbanding Tiguan standard, manakala jarak rodanya pula lebih panjang sebanyak 114 mm.
Jika dibandingkan dengan Tiguan Allspace generasi terdahulu, Tayron baru ini turut menawarkan dimensi yang lebih besar, dengan pertambahan 66 mm pada panjang keseluruhan, 13 mm pada lebar serta jarak roda yang meningkat sebanyak 2 mm.
Dari segi rekaan, Tayron mengekalkan identiti reka bentuk terkini Volkswagen yang turut digunakan pada Tiguan baru. Bahagian hadapan tampil lebih moden dengan lampu LED melintang penuh, manakala bahagian bawah bampar menampilkan gril udara yang lebih besar bagi memberikan imej lebih garang.
Berdasarkan imej teaser tersebut, pasaran Malaysia dijangka menerima dua varian iaitu Elegance dan R-Line. Varian Elegance dijangka dipadankan dengan rim aloi 19 inci Catania, manakala R-Line pula tampil lebih sporty menerusi kit badan lebih agresif bersama rim aloi York bersaiz 20 inci.
Ruang kabin pula menampilkan susun atur yang hampir sama seperti Golf Mk8, termasuk penggunaan kawalan sesentuh bagi sistem pendingin hawa. Namun begitu, Tayron menerima beberapa penambahbaikan seperti butang fizikal pada stereng yang diperkenalkan pada Golf Mk8.5.
Turut disediakan ialah tombol Driving Experience Control yang membolehkan pemandu melaras tahap audio, mod pemanduan, tetapan sistem pacuan semua roda 4Motion serta pilihan lampu suasana dan tema bunyi.
Paparan digital terdiri daripada panel instrumen bersaiz 10.25 inci, dipadankan dengan skrin infotainmen bersaiz 12.9 inci atau 15 inci bergantung kepada varian. Antara kelengkapan premium yang turut ditawarkan termasuk sistem pengudaraan dan fungsi urut untuk tempat duduk hadapan serta sistem audio Harman Kardon.
Penumpang barisan kedua pula menerima tempat duduk jenis 60:40 yang boleh dilungsur dan dilaraskan sudut sandarannya. Perehat tangan tengah turut dilengkapi panel boleh laras yang menempatkan dua pemegang cawan serta klip khas untuk meletakkan telefon pintar atau tablet.
Bagi aspek praktikaliti, tempat duduk barisan ketiga boleh dilipat bagi meningkatkan kapasiti ruang simpanan sehingga 850 liter, iaitu 15 liter lebih besar berbanding Tiguan Allspace. Untuk versi lima tempat duduk, kapasiti ruang kargo meningkat kepada 885 liter.
Bagi pasaran Malaysia, Tayron dijangka menggunakan pilihan enjin yang sama seperti ditawarkan di Australia. Ini termasuk enjin 1.4 liter turbo empat silinder yang menghasilkan 150 PS dan 250 Nm, selain enjin 2.0 liter turbo bersama sistem pacuan semua roda 4Motion dengan pilihan kuasa 204 PS atau 265 PS. Kesemua varian dijangka dipadankan dengan transmisi automatik klac berkembar DSG tujuh kelajuan jenis basah.
Di pasaran Eropah, Volkswagen turut menawarkan Tayron dengan pilihan enjin 1.5 liter hibrid ringkas, plug-in hybrid (PHEV) yang mampu dipandu sehingga 100 km menggunakan kuasa elektrik penuh, serta enjin diesel 2.0 liter TDI. Bagaimanapun, pilihan trenkuasa bagi rantau Asia Pasifik lazimnya berbeza dan lebih tertumpu kepada enjin petrol konvensional.



