Seperti yang diumumkan hampir dua minggu lalu, hari ini pengganti Tiguan All-Space iaitu Volkswagen Tayron secara rasmi dilancarkan di Malaysia. Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) menawarkan Tayron dalam dua varian di sini iaitu 1.5L eTSI Elegance dan juga 2.0 TFSI R-Line, dan kedua-duanya dipasang secara tempatan (CKD) di Pekan, Pahang.
Bagi varian Elegance, ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran masing-masing RM190,660, atau RM200,760 lengkap dengan Pakej Jaminan Volkswagen (VAP) yang turut disertakan sekali dengan pakej penyelenggaraan selama lima-tahun, waranti tanpa had perbatuan selama lima-tahun, serta bantuan tepi jalan juga selama lima-tahun. Harga bagi R-Line pula belum lagi dimuktamadkan, dan harga anggarannya diumumkan bermula RM259,000 hingga RM269,000.
Seperti Tiguan All Space, Tayron juga datang dalam konfigurasi tujuh-tempat duduk. Diasaskan dari platform modular MQB Evo yang turut digunakan oleh Tiguan baru, Tayron dihasilkan dengan dimensi 4,792 mm panjang, 1,852 mm lebar, 1,660 mm tinggi, serta jarak roda sejauh 2,791 mm. Ini menjadikannya ia 253 mm lebih panjang, 10 mm lebih lebar dan 21 mm lebih tinggi berbanding Tiguan standard, manakala jarak rodanya pula adalah 114 mm lebih jauh.
Bagi varian 1.5L eTSI Elegance, ia digerakkan dengan enjin 1.5 liter empat-silinder turbo eTSI dengan sistem hibrid ringkas serta sistem Active Cylinder Management yang akan mematikan sebahagian silinder pada beban rendah dan sederhana. Enjin berkenaan menghasilkan kuasa 150 PS dan tork maksima 250 Nm bermula 1,500 rpm hingga 3,500 rpm, dan dialirkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac-berkembar automatik tujuh-kelajuan.
Manakala bagi Tayron R-Line pula, ia menerima enjin 2.0 liter TSI empat-silinder turbo berkuasa 265 PS dan tork maksima 400 Nm, dipadankan dengan kotak gear klac-berkembar automatik tujuh-kelajuan. Namun versi lebih berkuasa ini datang dengan sistem pacuan semua roda 4Motion Volkswagen.
Untuk casis, SUV ini menampilkan konfigurasi suspensi Topang McPherson di hadapan dan suspensi bebas jenis four link di belakang di mana kedua-dua Tayron pasaran Malaysia ini menerima penyerap hentak jenis adaptif menerusi sistem Dynamic Chassis Control Pro (DCC Pro). Tayron Elegance dilengkapi dengan set rim aloi 19-inci, manakala R-Line dengan rupa lebih garang diberikan set rim 20-inci.
Pada sebelah dalam, secara standard Tayron diberikan upholsteri kulit Varenna, tempat duduk hadapan larasan kuasa 12-hala dengan fungsi memori, pemanas, pengalir udara, pengurut dan juga sokongan lumbar pneumatik, roda stereng dengan pemanas, dua pengecas tanpa wayar 15 W, dua port USB-C hadapan, dua port USB-C 45 W untuk penumpang belakang, pelapik bumbung dengan warna seramik, dan perapi kayu pada papan pemuka.
Tayron Elegance pasaran Malaysia menerima skrin sesentuh infotainmen 12.9-inci Discover dan juga paparan instrumen Digital Cockpit Pro dengan skrin 10.25-inci, dengan audio dialirkan kepada lapan-pembesar suara. Manakala untuk R-Line pula, ia diberikan skrin sesentuh infotainmen Discover Pro Max gergasi bersaiz 15-inci dengan sistem audio Harman Kardon 700-watt 11-pembesar suara termasuk subwoofer dan amplifier digital 16-saluran. Untuk pemandu, varian R-Line ini ditambah dengan paparan head-up yang dipancar ke cermin hadapan.
Dengan semua tujuh-tempat duduk dihuni, ruang kargo belakang Tayron menyediakan kapasiti 345 liter untuk disumbatkan dengan barang-barang. Ia boleh dibesarkan sehingga 850 liter sekiranya tempat duduk baris ketiga dilipat, dan 1,905 liter apabila tempat duduk baris kedua turut dilipat. Ruang kargo ini boleh diakses menerusi pintu tailgate bantuan kuasa dengan fungsi bukaan tanpa sentuh.
Walau bagaimanapun kedua-dua varian Tayron di Malaysia ini diberikan perisian MIB4 serta App Connect untuk sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta sistem arahan suara IDA.
Untuk keselamatan, Tayron diberikan sembilan beg-udara dan juga sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) termasuk fungsi cruise control adaptif, travel assist, bantuan hadapan dengan pemantau pejalan kaki dan penunggang basikal, pengesan perhatian pemandu bersama pemantau mengantuk, bantuan sisi dengan amaran trafik belakang serta amaran keluar kenderaan, bantuan kekal lorong, bantuan kecemasan serta Park Assist plus dengan kawalan jarak parkir.
Lima warna badan ditawarkan untuk Volkswagen Tayron untuk kedua-dua varian di Malaysia iaitu Oryx White Pearl, Grenadilla Black Metallic, Dolphin Grey Metallic, Nightshade Blue Metallic dan Oyster Silver Metallic.
GALERI:Volkswagen Tayron 1.5L eTSI Elegance 2026 CKD
GALERI: Volkswagen Tayron 2.0 TFSI R-Line 2026 CKD
GALERI:Gambar rasmi Volkswagen Tayron 1.5L eTSI Elegance 2026 CKD
GALERI:Brosur rasmi Volkswagen Tayron 1.5L eTSI Elegance 2026 CKD
GALERI: Gambar rasmi Volkswagen Tayron 2.0 TFSI R-Line 2026 CKD
GALERI:Brosur rasmi Volkswagen Tayron 2.0 TFSI R-Line 2026 CKD


Volkswagen Tayron
dari RM 190,660
Volkswagen Golf R
dari RM 338,812
Volkswagen Golf
dari RM 185,990
Volkswagen Golf GTI
dari RM 244,012
Volkswagen Touareg
dari RM 384,972
Volkswagen Arteon
dari RM 291,012