NanoMalaysia akan mula pengeluaran tempatan bateri lithium-ion dipertingkat dengan graphene untuk EV

Dalam sebuah laporan Nikkei Asia, Malaysia disebut akan memulakan pengeluaran berskala kecil bagi bateri lithium-ion yang dipertingkat dengan bahan grafena untuk kegunaan kenderaan elektrik EV, bulan ini.

Menelan kos sekitar RM20 juta, pengeluaran bateri tersebut akan dihasilkan di Gigafactory Malaysia, anak syarikat milik penuh NanoMalaysia. Diperbadankan pada tahun 2011, NanoMalaysia adalah sebuah syarikat berhad yang dijamin di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“Kami kini bakal memulakan operasi kilang pengeluaran teknologi bateri yang pertama di Malaysia,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia, Rezal Khairi Ahmad. Beliau menyifatkan projek ini sebagai “mungkin yang pertama seumpamanya di ASEAN. Belum ada negara lain di rantau ini yang menghasilkan teknologi bateri buatan sendiri.”

Rezal juga menjelaskan bahawa bateri tersebut menggunakan kimia nickel manganese cobalt (NMC) — dan bukan lithium iron phosphate (LFP) — yang menggabungkan bahan grafena dan bukannya grafit untuk meningkatkan kapasiti penyimpanan tenaga sehingga tiga kali ganda. Dalam kebanyakan bateri lithium-ion komersial hari ini, biasanya grafit digunakan secara meluas untuk elektrod negatif.

Bateri yang dipertingkatkan dengan bahan graphene mampu memberikan jarak pemanduan sehingga 640 km bagi setiap cas, walaupun tidak menyebut kapasiti bateri dan jenis kenderaan. Rezal juga menambah, bateri berkenaan turut menyokong pengecasan pantas. Bateri jenis ini dikatakan paling sesuai untuk EV dengan ketumpatan tenaga melebihi 200 Wh/kg. NanoMalaysia telah menerima pesanan daripada sebuah organisasi tempatan untuk bateri 25-kWh, dengan perjanjian lain yang sedang “diperhalusi dan dimuktamadkan.”

Berikutan permulaan pengeluaran berskala kecil pada bulan ini, NanoMalaysia menyasarkan untuk mencapai output kapasiti megawatt-jam (MWh) seawal September 2026. Tiada harga diberikan, tetapi dikatakan pengeluaran tempatan akan membantu mengurangkan jumlah kos EV kerana tiada kos tambahan melibatkan cukai import, logistik dan penyimpanan.

Pengeluaran bateri tersebut akan dijalankan di kilang dengan keluasan 15,000 kaki persegi di Taman Perindustrian Suria di Sepang. Dalam skala penuh, kilang itu mampu menghasilkan sekitar satu MWh kapasiti bateri setiap tahun, bersamaan dengan 92,000 sel bateri.

NanoMalaysia juga akan berusaha mewujudkan perkongsian strategik dengan Indonesia untuk bekalan nikel bagi kilang baterinya, dengan pasaran eksport yang berpotensi untuk bateri yang dihasilkan itu termasuklah Indonesia, Korea Selatan, India dan Pakistan. Proses kitar semula bateri di akhir hayatnya juga sedang dijalankan untuk memastikan keselamatan bahan mentah yang terlibat.