Zeekr Malaysia terima tiga rakan pengedar terbaru — kini 11 cawangan, jadi 18 menjelang hujung tahun 2026

Zeekr Malaysia telah menandatangani tiga pengedar sah terbaru dalam usaha syarikat itu untuk terus mengembangkan rangkaiannya perniagaannya di negara ini.

Tiga pihak yang dimaksudkan itu termasuklah Wheelcorp Premium dan Quantum Motors, yang mana kedua-duanya akan mempunyai cawangan Zeekr di Semenanjung Malaysia, termasuk di Lembah Klang dan Seremban. Sementara itu, Ghee Hua Co. pula akan menjual kenderaan Zeekr di Kuching, Sarawak, sekali gus membawa jenama itu ke pasaran Malaysia Timur.

Pengedar sah terbaru ini akan mengendalikan cawangan jualan khusus di lokasi terpilih, serta turut akan menawarkan sokongan lepas jualan melalui pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti) bersepadu.

Menurut Zeekr Malaysia, rangkaian yang diperluas ini akan menjadikan jumlah cawangan jualan Zeekr di sini kepada 11 cawangan, dengan rancangan untuk terus mengembangkannya menjadi 18 cawangan di seluruh negara menjelang akhir tahun 2026.