Baru-baru ini, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Chongqing Rail Transit (CRT), China, bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam meningkatkan keupayaan operasi, kebolehpercayaan sistem, perkongsian kepakaran teknikal serta pembangunan bakat, khususnya dalam pengoperasian sistem monorel.
MoU yersebut telah ditandatangani oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan, bersama Pengerusi merangkap Pengurus Besar Chongqing Rail Transit, Hu Zhiyong dan disaksikan oleh Ketua Pegawai Kumpulan Modal Insan, Dr. Harigaran Bharatham dan Zhang Jun, Naib Pengurus Besar Chongqing Rail Transit.
Kerjasama strategik ini memberi tumpuan kepada perkongsian amalan terbaik dalam aspek kebolehpercayaan sistem dan pengurusan aset, pendigitalan operasi, penggunaan analitik data, penyelenggaraan ramalan (predictive maintenance), standard operasi dan keselamatan, di samping pembangunan kompetensi tenaga kerja melalui latihan bersama, lawatan teknikal serta pertukaran kepakaran.
“Kerjasama dengan Chongqing Rail Transit membuka peluang kepada Prasarana untuk memperluas akses kepada amalan terbaik global dalam aspek kebolehpercayaan sistem rel, strategi penyelenggaraan serta keekapan operasi. Perkongsian pengetahuan ini penting bagi memastikan perkhidmatan yang lebih selamat, lancar dan boleh dipercayai terus dinikmati oleh para pengguna,” kata Amir Hamdan.
Tambah beliau, kerjasama dengan CRT yang merupakan antara pengendali monorel terkemuka dunia akan membantu Prasarana memperkukuh ekosistem operasi Monorel Kuala Lumpur yang telah berkhidmat kepada warga kota selama lebih dua dekad, selaras dengan perkembangan teknologi dan amalan terbaik antarabangsa.
Menurut Prasarana, Mou ini berfungsi sebagai rangka kerja bagi meneroka peluang kerjasama strategik antara kedua-dua organisasi dan tidak melibatkan sebarang komitmen kewangan pada peringkat ini. Kedua-dua pihak juga akan mewujudkan mekanisme komunikasi bersama bagi menyelaras pelaksanaan inisiatif serta memantau perkembangan kerjasama secara berkala.
Melalui kerjasama ini, Prasarana dan Chongqing Rail Transit berkongsi aspirasi untuk terus memperkukuh keemerlangan operasi sistem monorel, sekali gus menyampaikan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih selamat, cekap dan mampan kepada rakyat.
Selain sesi pemeteraian MoU, delegasi CRT turut mengadakan lawatan teknikal ke Depoh Monorel bagi meninjau operasi harian serta amalan penyelenggaraan sistem monorel yang dikendalikan oleh Prasarana.


