BYD jual 557,090 unit EV secara global pada suku ke-2 2026 , kembali atasi jualan Tesla dengan 480,126 unit

Menurut data yang dikumpulkan oleh Bloomberg, BYD telah menjual sebanyak 557,090 kenderaan elektrik (EV) antara April hingga Jun tahun ini, membolehkan ia kembali di kedudukan teratas dalam persaingan EV global. Jumlah berkenaan mengatasi jualan global EV jenama Tesla pada tempoh yang sama dengan rekod jualan sebanyak 480,126 unit.

Ini membolehkan BYD kembali mengatasi Tesla selepas jatuh pada suku pertama 2026 disebabkan kejatuhan jualan EV di China selepas kerajaan negara itu membatalkan pengecualian cukai pembelian EV. Bagi suku sebelumnya, Tesla telah menjual 358,023 EV, dan ada laporan mengatakan bahawa syarikat itu telah mengalami lebihan produksi sehingga 50,000 unit.

Sebelum ini BYD telah pun mengatasi Tesla pada tahun 2025 apabila ia berjaya menjual hampir 2.6 juta EV berbanding Tesla yang menjual sekitar 1.6 juta unit EV pada tahun yang sama. Bagi tahun 2026, syarikat itu berharap ia dapat mengimbangi pengurangan jualan domestik dengan meningkatkan eksport ke Eropah, Asia Tenggara dan Amerika Latin, dengan syarikat itu menjangkakan jualan luar negara akan mencecah 1.5 juta unit, melebihi sasaran asalnya iaitu 1.3 juta unit.

Angka-angka jualan ini hanya untuk model-model EV penuh BYD, tidak termasuk model-model yang digerakkan oleh unit rangkaian kuasa PHEV. Manakala untuk Tesla, sehingga kini ia hanya menghasilkan model-model EV penuh, tanpa ada sebarang model yang menggunakan unit rangkaian kuasa lain.