Bagi yang berada di Putrajaya atau pun merancang untuk ke sana pada hujung minggu ini, ada makluman penting buat ada. Terdapat beberapa jalan yang akan ditutup di sekitar Putrajaya bagi memberikan kelancaran penganjuran acara larian Toyota Outrun 2026 yang akan berlangsung pada Ahad ini, 5 Julai.
Race village dan garisan pemula/penamat berlokasi di Dataran Wawasan, justeru jalan di sekitar kawasan berkenaan akan ditutup. Di mana Dataran Wawasan (Persiaran Perdana) akan ditutup dari jam 8 malam Sabtu ini hingga tengahari Ahad.
Jadi, jika anda datang dari arah Lebuh Bestari – Jalan Tuanku Abdul Rahman – Lebuh Wawasan, sila lakukan pusingan U di Lebuh Wawasan – persimpangan lampu isyarat Persiaran Perdana (PMO). Sekiranya anda datang dari PMO, bolehlah menuju ke Jalan Tun Abdul Razak bagi mengelakkan laluan utama. Sementara itu, kenderaan dari Jalan P2t (MOF) boleh menggunakan Jalan Tun Hussein dan Lebuh Bestari.
Ambil maklum bahawa laluan larian merentasi beberapa kawasan di Putrajaya, jadi pemandu kenderaan kena berhati-hati serta sentiasa berwaspada bagi keselamatan bersama termasuk peserta larian dan petugas. Jika laluan anda ditutup, sila maklumkan kepada petugas keselamatan sebelum meneruskan perjalanan. Rujuk visual di atas untuk menyemak peta penutupan jalan dan laluan perlumbaan.
Bagi para peserta, waktu pelepasan ialah 4.30 pagi untuk kategori 21 KM Half Marathon, 5.30 pagi bagi kategori 10 KM, dan 7.00 pagi untuk Larian Santai 5 km (5km Fun Run). Pengambilan kit perlumbaan berlangsung hari ini dan esok di Sunway Nexis, Kota Damansara, dari 10 pagi hingga 8 malam.
Semoga acara Toyota Outrun kembali memeriahkan jalan-jalan di Kuala Lumpur pada tahun hadapan. Apa pun, selamat berlari dan semoga anda berjaya mencatat Personal Best (PB)!
