Kerajaan Persekutuan sedia dana untuk E-ART Johor

Kerajaan Persekutuan akan menyediakan pembiayaan bagi pelaksanaan projek Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) di Johor, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam laporan Bernama.

Beliau turut berkata, kaedah pembiayaan secara terperinci, jumlah komitmen kewangan sebenar serta mekanisme pembayaran balik sepanjang tempoh konsesi bagaimanapun masih berada di peringkat rundingan.

“Pada asasnya, pembiayaan projek pada peringkat awal akan ditanggung oleh konsortium yang dilantik. Walaubagaimanapun, hasil penilaian semasa menunjukkan projek infrastruktur mega ini tidak berdaya maju sekiranya bergantung sepenuhnya kepada pembiayaan sektor swasta. Oleh itu, Kerajaan Persekutuan akan menyediakan pembiayaan bagi menampung kos projek ini,” katanya ketika menjawab pertanyaan mengenai status pelaksanaan projek E-ART.

Loke memaklumkan bahawa terma yang dipersetujui akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan kelulusan sebelum perjanjian konsesi dimeterai. Beliau berkata, sistem E-ART itu dijangka siap dalam tempoh empat tahun selepas surat setuju terima dikeluarkan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata Kementerian Pengangkutan bersama Kerajaan Negeri Johor turut merangka pelan penyuraian trafik bagi memperkukuhkan sistem pengangkutan awam sedia ada di negeri berkenaan. Antara inisiatif yang akan dilaksanakan ialah peluasan program BAS.MY kepada 28 laluan yang melibatkan sebanyak 254 buah bas, termasuk bas elektrik.