Kia K4 GT-Line dipertonton di Malaysia – pengganti Cerato/Forte berada di KLIMS, enjin 1.6T 193 PS

Kia Sales Malaysia (KSM) mempertontonkan sedan segmen-C baru yang menggantikan Cerato dan Forte di pasaran global, iaitu K4, di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026. Walaubagaimanapun, KSM masih belum mengesahkan sama ada K4 akan dilancarkan secara rasmi di Malaysia dalam masa terdekat dan kehadirannya hanya sebagai pratonton awal.

Kia K4 pertama kali diperkenalkan di peringkat global pada Mac 2024 dalam bentuk sedan, iaitu versi yang kini dipamerkan di KLIMS. Selepas itu, Kia memperluaskan keluarga K4 dengan memperkenalkan varian hatchback pada September 2025 dan versi wagon yang dikenali sebagai Sportswagon pada awal tahun ini.

Model ini merupakan pengganti kepada Kia Forte dan Cerato yang sebelum ini turut dikenali sebagai Kia K3 di beberapa pasaran. Nama K3 kini digunakan pada sedan segmen-B yang menggantikan model Rio.

Kia K4 GT-Line dipertonton di Malaysia – pengganti Cerato/Forte berada di KLIMS, enjin 1.6T 193 PS

Dari segi dimensi, Kia K4 hadir dengan ukuran panjang 4,710 mm, lebar 1,850 mm dan tinggi 1,420 mm, manakala jarak rodanya ialah 2,720 mm. Ini menjadikannya sedikit lebih besar berbanding Honda Civic dari segi ukuran keseluruhan badan, tetapi Civic masih menawarkan jarak roda yang sedikit lebih panjang.

Reka bentuk luaran K4 menampilkan identiti terkini Kia menerusi falsafah reka bentuk “Opposites United”. Bahagian hadapan menampilkan lampu LED berinspirasikan corak “Star Map” yang menjadi identiti baru jenama itu, digabungkan dengan lampu utama projektor LED berbentuk kiub dan interpretasi moden kepada gril ikonik “Tiger Face”.

Profail sisi pula menyerlahkan bentuk fastback yang memberikan imej lebih sporty dan dinamik. Bahagian belakang menampilkan rekaan bahu badan yang lebih menonjol serta bampar dengan elemen diffuser udara yang membantu menguatkan karakter prestasi model ini.

Kia K4 GT-Line dipertonton di Malaysia – pengganti Cerato/Forte berada di KLIMS, enjin 1.6T 193 PS

Unit yang dipamerkan turut dilengkapi pakej GT-Line yang memberikan sentuhan lebih agresif. Antara perbezaannya termasuk bampar hadapan dan belakang yang direka khas, kemasan hitam berkilat pada beberapa bahagian badan, garisan tingkap kemasan krom satin serta penutup cermin sisi, kemasan tingkap dan skirting tepi berwarna hitam berkilat.

Kia K4 ini menggunakan rim aloi bersaiz 18 inci yang dipadankan dengan tayar berprofail 235/40. Sistem suspensi terdiri daripada tetapan MacPherson di bahagian hadapan dan suspensi multi-link di belakang bagi memastikan keseimbangan antara keselesaan dan pengendalian.

Bahagian dalaman pula menampilkan susun atur moden dengan papan pemuka dua lapisan yang kemas dan futuristik. Tumpuan utama diberikan kepada panel paparan digital lebar yang menggabungkan panel instrumen digital 12.3 inci, paparan kawalan pendingin hawa bersaiz lima inci dan skrin infotainmen sesentuh 12.3 inci.

Kia K4 GT-Line dipertonton di Malaysia – pengganti Cerato/Forte berada di KLIMS, enjin 1.6T 193 PS

KSM turut memaklumkan bahawa model ini dilengkapi pelbagai ciri moden termasuk sokongan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, pengecas telefon pintar tanpa wayar, sistem penyaman udara dua-zon, tempat duduk hadapan dengan fungsi pengudaraan serta tempat duduk belakang boleh lipat dalam konfigurasi 60:40.

Dari aspek prestasi, model yang dipamerkan menggunakan enjin petrol Smartstream G 1.6 liter turbo empat silinder yang menghasilkan 193 PS dan 265 Nm tork. Kuasa tersebut disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik lapan kelajuan.

Angka prestasi itu meletakkan Kia K4 di hadapan beberapa pesaing utama dalam segmennya. Sebagai perbandingan, Honda Civic 1.5 VTEC Turbo yang dipasarkan di Malaysia menghasilkan 182 PS dan 240 Nm tork.