Bermaz Motor sebelum ini sudahpun mengesahkan bahawa varian lebih mewah untuk Mazda CX-60 iaitu 3.3G AWD akan membuat kemunculan sulung pada pasaran Malaysia di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2026 yang bakal berlangsung bermula minggu ini. Sebelum ia didedahkan, syarikat itu nampaknya telah mendedahkan terlebih dahulu spesifikasi SUV berkenaan.
Mazda CX-60 merupakan salah satu model premium pacuan roda belakang Mazda yang diasaskan dari platform Skyactiv Multi-Solution Scalable Architecture Mazda untuk model-model lebih besar, didedahkan buat pertama kali untuk peringkat global pada Mac 2022.
Model ini kemudiannya membuat kemunculan sulung di Malaysia ketika KLIMS 2024, ditunjuk dalam versi dengan enjin enam-silinder sebaris. Namun untuk pelancaran rasmi pasaran tempatan yang dibuat pada September tahun lalu, CX-60 hanya ditawarkan dalam varian 2.5G 2WD High, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM200,510.40.
Varian tersebut menampilkan enjin petrol empat-silinder Skyactiv-G 2.5 liter NA berkuasa 191 PS dan tork maksima 261 Nm yang dipadankan bersama kotak gear lapan kelajuan automatik, menghantar kuasa hanya ke roda belakang.
Manakala bagi varian 3.3G AWD High Plus yang bakal diperkenalkan di KLIMS 2026 ini pula menerima enjin petrol 3.3 liter enam-silinder sebaris dengan pengecas turbo, menghasilkan kuasa 284 PS bermula 5,000 hingga 6,000 rpm dan tork maksima 450 Nm bermula 2,300 hingga 3,500 rpm.
Bukan itu sahaja, unit rangkaian kuasa ini turut menggandingkan sistem hibrid ringkas M-Hybrid Boost 48-Volt, menampilkan motor/generator elektrik yang letakkan antara enjin dan kotak gear serta dikuasakan bateri litium-ion 0.33-kWj. Kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi kotak gear automatik lapan-kelajuan automatik bersama sistem i-Activ AWD Mazda.
Kedua-dua varian 2.5G dan 3.3G pasaran Malaysia ini banyak kelengkapan yang sama, cuma dibezakan dengan beberapa perincian kecil. Malah bagi varian 3.3G juga ia dibahagikan kepada dua versi yang dibezakan dengan beberapa kemasan (dikenali dengan kod dalaman RA6 dan RA7).
Ke semua varian CX-60 di Malaysia menerima set rim aloi 20-inci, namun dibezakan dengan kemasan di mana 2.5G 2WD High menerima rim berwarna perak, 3.3G High Plus RA6 berwarna hitam metalik, manakala 3.3G High Plus RA7 pula berwarna hitam digilap. Kesemuanya juga diberikan tayar dengan saiz 235/50R20, sistem i-Stop serta Kinematic Posture Control secara standard.
Perincian lain yang turut dikongsi untuk semua varian dan versi termasuk lampu hadapan dan belakang LED, lampu nyalaan siang LED, sistem kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, bumbung suria panaromik dengan cermin yang boleh digelangsar dan dicondongkan, penderia parkir hadapan dan belakang, paparan instrumen digital dengan skrin 12.3-inci, paparan head-up, skrin sesentuh 12.3-inci untuk sistem infotainmen bersama sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem bunyi Bose dengan 12-pembesar suara, pedal penukar gear, pendingin hawa dua-zon dengan liang kabin belakang dan pengecas tanpa wayar.
Bagi varian 2.5G 2WD High ia menerima upholsteri kulit hitam, manakala varian 3.3G AWD High pula adalah lebih mewah dengan upholsteri kulit Nappa dan kemasan Tan (RA6) atau Pure White (RA7). Bagi RA6 ia juga diberikan balutan roda stereng Tan dua-tona berbanding hitam sepenuhnya pada varian lain.
Semua varian juga diberikan mod pemanduan Normal dan Sport, manakala hanya varian 3.3G yang datang dengan sistem pacuan semua roda turut menerima mod pemanduan off-road. Varian paling mewah ini juga diberikan tempat duduk penumpamg hadapan dengan larasan elektrik 10-hala, fungsi aliran udara untuk kedua-dua tempat duduk hadapan serta kawalan menurun cerun.
Manakala untuk keselamatan, semua varian datang dengan kelengkapan sama iaitu termasuk tujuh-beg udara, lampu hadapan adaptif, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik hadapan dan belakang, amaran keluar lorong, bantuan kekal lorong, amaran perhatian pemndu, brek kecemasan automatik hadapan dan belakang, Mazda Radar Cruise Control (MRCC) dengan fungsi stop and go serta high-speed Cruising & Traffic Support (CTS).
Dengan enjin lebih besar serta bebeberapa perincian lebih mewah, Mazda CX-60 3.3G AWD High Plus ini dijual pada harga RM252,872.80, tidak kira anda memilih versi dengan dalaman berwarna Tan atau Pure White, sekitar RM52,362.40 lebih mahal berbanding varian 2.5G 2WD High. Model-model dengan platform pacuan belakang Mazda ini masih diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun.
Mazda CX-60 masih dilindungi oleh waranti pengeluar selama-lima tahun atau 100,000 km serta pakej servis percuma. Semua varian ditawarkan dengan warna badan Rhodium White, Zircon Sand, Platinum Quartz, Soul Red Crystal dan Jet Black, manakala warna Machine Gray hanya diberikan pada varian 3.3G AWD High Plus.
GALERI: Brosur Mazda CX-60 pasaran Malaysia
GALERI: Pra-tonton Mazda CX-60 di KLIMS 2024






































