Kuala Lumpur Mobility Show (KLIMS) 2026 akan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bermula 12 hingga 21 Jun ini, dan untuk jenama tempatan iaitu Proton, ia akan hadir ke acara berkenaan dengan memperkenalkan model-model baharu, mempamerkan model-model sedia ada, mendedahkan teknologi-teknologi akan datang seperti unit rangkaian kuasa hibrid serta mobiliti pintar dan lain-lain.
Antara yang bakal menarik perhatian adalah X50 Sport Edition iaitu model edisi khas berasaskan X50 facelift terkini. Barisan model terkini Proton yang turut dijangka dipamerkan termasuk S70 MC1, X90 MC, X70 MC3 dan Saga MC3.
Manakala bagi model-model elektrifikasi di bawah sub-jenama Proton eMas, seperti yang ditunjuk oleh teaser yang disiar tempoh hari Proton bakal mendedahkan varian baharu untuk EV eMas 7 yang diberikan bateri lebih besar dengan kapasiti 68.39 kWj, seperti yang diterima pada kembarnya iaitu Geely EX5 di pasaran lain.
Dengan bateri berkenaan eMas 7 bakal boleh bergerak sejauh 460 km dalam kitaran WLTP berbanding hanya 410 km dengan bateri 60.22 kWj sedia ada. Proton juga sebelum ini ada mengumumkan bahawa eMas 5 dalam versi pemasangan tempatan (CKD) akan mula dipasang di Tanjong Malim bulan ini, dan dijangka ia turut akan dipamerkan di KLIMS.
Untuk pameran teknologi HEV akan datang pula, Proton dijangka akan menunjukkan unit rangkaian kuasa hibrid elektrik yang bakal digunakan pada model produksi tidak lama lagi. Antaranya transmisi khusus hibrid DHT1 yang dibangunkan bersama Horse Powertrain yang boleh digunakan untuk model-model hibrid dan PHEV, dikhabarkan akan dipadankan pada model AMA02 atau ‘Saga Cross’ yang dijangka akan dilancarkan tahun ini.
Selain dari kenderaan, Proton turut akan hadir dengan pendekatan mobiliti pintar yang lebih luas, antaranya penampilan istimewa robot humanoid di reruai jenama itu.

