Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan bahawa pemandu yang dinilai berhemah akan menerima rebat premium sehingga 10 peratus ketika memperbaharui insurans menerusi aplikasi MyJPJ dalam inisiatif Cermat Madani yang baru sahaja diperkenalkan oleh kementeriannya hari ini.
Menurut Loke dalam laporan Berita Harian, insentif itu adalah hasil kerjasama dengan 10 syarikat insurans, dan ia tertakluk kepada penilaian serta keputusan syarikat insurans dan juga pengendali takaful yang mengambil bahagian berdasarkan rekod pemanduan dan saman pengguna.
“Jika profil risiko (scoring) dinilai rendah, apabila mereka memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan memilih untuk memperbaharui insurans menerusi aplikasi MyJPJ, satu proses penilaian risiko akan dijalankan.
“Pemilik kenderaan yang memenuhi kriteria akan diberikan diskaun atau rebat tambahan ke atas premium insurans mereka,” katanya.

