Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan bahawa siri nombor pendaftaran terkini dari Perak dan WP Kuala Lumpur yang dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.
Siri nombor pendaftaran terkini dari Perak, APP telah dibuka bidaan sejak 8 Jun lalu. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 12 Jun. Kebiasaanya keputusan akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu 13 Jun 2026. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau sebaliknya) menerusi e-mel.
Manakala siri nombor pendaftaran terkini dari WP Kuala Lumpur, VRG, bakal dibuka bidaan pada 11 Jun. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 15 Jun, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 16 Jun 2026.
Jadi, sekarang ini anda boleh menjimatkan masa dan wang ringgit dengan membida sendiri nombor pendaftaran yang anda hajati tanpa perlu menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner). Tak susah pun untuk membidanya dan anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk tujuan bidaan ini.
