
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah melaksanakan Operasi Khas Motosikal (Ekstrem) di sekitar Lembah Klang pada 6 hingga 7 Jun lalu melibatkan yang JPJ WPKL, Selangor dan Negeri Sembilan. Ia bagi membanteras pengubahsuaian motosikal secara ekstrem yang tidak mengikut spesifikasi keselamatan.
Di mana tindakan ini diambil kerana lebih 60% kemalangan maut di Malaysia melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal, menjadikan mereka golongan paling terdedah kepada risiko kecederaan serius dan kehilangan nyawa.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Malaysia, Dato’ Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, berdasarkan statistik JPJ, sebanyak 848,885 notis JPJ(P) 22 dikeluarkan terhadap pelbagai kesalahan pada 2024, diikuti 711,722 (2025), manakala sebanyak 252,118 notis lagi dikeluarkan setakat Mei tahun ini.
“Manakala sejak tahun 2021 hingga kini sebanyak 38,959 motosikal telah disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. JPJ menegaskan bahawa budaya menunggang secara berbahaya, mengubah suai motosikal secara ekstrem tanpa mengikut spesifikasi, serta menunggang tanpa lesen, LKM atau insurans sah bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi juga mengundang risiko kemalangan serius yang boleh meragut nyawa.
“Tindakan tegas termasuk pengeluaran notis, penyitaan kenderaan dan pendakwaan akan terus dilaksanakan demi memastikan keselamatan jalan raya terjamin,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Beliau turut berkata, pihaknya memandang serius trend pengubahsuaian secara tidak sah itu kerana ia menjejaskan ciri keselamatan asal kenderaan sekali gus meningkatkan risiko kemalangan jalan raya. Antara modifikasi ekstrem yang dikenal pasti termasuk ubah suai enjin dan sistem kawalan enjin (ECU), penukaran ekzos, serta menanggalkan brek belakang.
Muhammad Kifli berkata, kebanyakan pesalah yang dikesan berusia antara 18 hingga 30 tahun, namun turut ditemui kes membabitkan penunggang seawal usia 12 tahun yang masih bersekolah. Tambahnya, walaupun statistik menunjukkan trend penurunan, namun tahap ketidakpatuhan dalam kalangan penunggang motosikal di negara ini masih berada pada tahap membimbangkan










