
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah melancarkan siri nombor pendaftaran khas V-MY sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026). Ia merupakan hasil kerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Menteri MOTAC, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata siri nombor pendaftaran tersebut berpotensi menarik minat mereka yang gemar memiliki nombor pendaftaran bernilai tinggi.
“Pada masa yang sama, inisiatif ini membantu kami menjana lebih banyak dana untuk mempromosikan VM2026 sebagai sebahagian daripada usaha menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa,” katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri, Chiew Choon Man, di Putrajaya semalam.
Siri V-MY akan dibuka untuk bidaan melalui portal JPJ eBid mulai 13 hingga 17 Jun ini, dengan harga permulaan RM300. Nombor dalam kategori popular bermula pada harga RM500, manakala nombor kategori “menarik” bermula pada RM2,500. Nombor kategori premium pula bermula pada RM5,000, dan nombor kategori tertinggi iaitu “golden” ditetapkan harga minimum RM20,000.
