Setelah mula dipamerkan di bilik-bilik pameran di seluruh negara awal minggu ini, hari ini Perodua Axia versi facelift 2017 telah pun dilancarkan secara rasmi. Ia masih kekal ditawarkan dengan lima varian, tetapi diberikan rupa yang lebih segar serta pelbagai perincian baharu.

Varian paling rendah Standard E dijual pada harga RM24,900 (RM463 lebih mahal berbanding sebelum ini RM24,437-RM24,837), Standard G manual dijual pada harga RM34,900 (RM2,773 lebih mahal berbanding sebelum ini RM32,127-RM32,527), Standard G automatik dijual pada harga RM36,900 (RM1,773 lebih mahal berbanding sebelum ini RM35,127-RM35,527).

Bagi Axia SE pula, versi manual dijual pada harga RM37,900 (RM1,263 lebih mahal berbanding sebelum ini RM36,637-RM37,037), manakala untuk versi automatik pula dijual pada harga RM39,900 (model dengan warna solid RM263 lebih mahal tetapi metalik RM137 lebih murah berbanding harga lama RM41,967-RM42,377).

Varian tertinggi Advance pula dijual pada harga RM42,900, iaitu RM1,933 lebih mahal berbanding harga lama iaitu RM41,967-RM42,377. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan termasuk insuran, serta tiada perbezaan harga untuk model solid dan metalik pada barisan Axia facelift ini.

Axia facelift ini turut menampilkan rupa luaran yang diberikan sentuhan semula. Kini, semua varian Axia menerima lampu hadapan projektor yang dipadankan secara standard. Untuk Standard E dan G, ia turut menerima gril hadapan baharu yang lebih besar, membuatkan wajah hadapannya kini seakan seiras dengan Myvi. Bampar juga direka semula dengan elemen lebih bersegi dari sebelum ini.

Pemegang pintu tailgate belakang baharu juga ditampilkan bagi memudahkan pengguna (juga standard untu semua varian), manakala bahagian lain termasuk lampu penunjuk arah pada fender hadapan dan rim 14-inci lapan-jejari masih dikekalkan.

Bagi varian SE dan Advance pula, bampar dengan gril utama seakan ‘mulut besar’ pada model sebelum ini juga turut digantikan dengan rekaan yang lebih matang. Ia diberikan gril utama dengan bentuk yang sama seperti varian Standard, tetapi dengan elemen dua bar krom yang berbeza.

Perumah lampu kabus pada kedua-dua sisi direka dengan elemen segitiga dilengkapi dengan jalur kemasan krom, mengapit gril bawah yang kecil, menjadi wajah Axia ini seakan Honda Jazz jika dilihat sekilas lalu.

Beralih ke bahagian sisi, varian SE/Advance menerima lampu penunjuk arah LED pada cermin sisi (sama seperti sebelum ini), rim 14-inci baharu daripada Bezza Advance dan butang kemasukan tanpa kunci pada pemegang pintu bahagian pemandu. Bampar belakang yang lebih tajam dan lampu belakang berwarna jernih tidak ditukar, tetapi pintu but belakang juga mendapat butang kemasukan tanpa kunci.

Perodua tidak melakukan rombakan di bahagian dalam yang begitu ketara pada Axia facelift ini. Semua model kini mendapat rekaan panel meter baharu, kekemasan sutera perak baharu pada panel instrumen, dengan pencahayaan lampu putih pada varian SE dan Advance; model yang lebih sporty ini juga menerima butang penghidup enjin (terletak di sebelah butang untuk menutup pengesan jarak hadapan).

Sementara itu, varian Advance mendapat skrin sesentuh sistem hiburan dan informasi baharu, dengan fungsi cerminan telefon Android ‘Smart Link’ (varian SE kekal dengan unit radio/CD/Bluetooth yang ringkas). Perubahan lain termasuk rekaan tempat duduk fabrik baharu pada varian Standard dan SE.

Untuk sistem mekanikal pula, perubahan terbesar yang dilakukan pada versi kemaskini ini ialah pada enjinnya, di mana Axia facelift kini diberikan enjin 1.0 liter SOHC VVT-I 1KR-VE dari Bezza menggantikan enjin 1.0 liter 1KR-DE tanpa sistem VVT-i.

Ini membolehkan kuasa maksimum Axia ini meningkat 1 hp dan 1 Nm, dari sebelum ini, menjadikan keseluruhannya 67 hp pada 6,000 rpm dan 91 Nm tork pada 4,400 rpm, disalurkan kepada roda depan melalui pilihan kotak gear manual lima-kelajuan dan automatik empat-kelajuan, sama seperti sebelum ini.

Perodua mendakwa versi manual boleh mencatat penggunaan bahan api lebih baik, sehingga 22.5 km/l berbanding sebelum ini 21.6 km/l.

Untuk keselamatan, varian Standard G dan ke atas kini menerima sistem brek dengan ciri ABS. Walau bagaimanapun, sistem keselamatan lain tidak menerima sebarang tingkat taraf; ia masih tidak dibekalkan dengan kawalan stabiliti elektronik (ESC), dan diberikan dua beg udara di bahagian hadapan, menjadikan kenderaan ini diiktiraf dengan penarafan empat-bintang dalam ASEAN NCAP.

Axia facelift 2017 masih mengekalkan warna sedia ada termasuk Lava Red, Midnight Blue, Ebony Black dan Glittering Silver (semuanya metalik), serta Sunflower Yellow dan Ivory White (kedua-duanya warna solid). Namun terdapat dua warna untuk varian Standard E dan G yang digugurkan iaitu Cherry Blossom dan Lemongrass Green.

Setiap pembelian Axia akan dilindungi dengan waranti selama lima-tahun atau 150,000 km, yang mana sampai dahulu.

Pilihan kit badan GearUp juga ditawarkan, yang terdiri dari kemasan bampar hadapan, belakang serta side skirt, spoiler belakang, visor pada cermin pintu dan pelekat hitam di tiang tengah kenderaan. Pilihan ini juga turut menawarkan aksesori bahagian dalaman yang terdiri dari karpet khas, alas untuk ruang simpanan barang, lapisan kalis bunyi di pintu dan hud, serta balutan khas untuk tempat duduk.

Perodua mensasarkan jualan sebanyak 6,000 unit bagi Axia facelift 2017 ini. Sejak tempahannya mula dibuka pada 13 Januari lalu, Axia facelift ini telah menerima 3,000 unit tempahan dan menurut pengarah urusan bahagian jualan Perodua, Datuk Dr.Zahari Husin, penghantaran bagi tempahan Axia akan bermula hari ini.

Untuk maklumat lanjut atau sekiranya anda ingin membandingkan Perodua Axia dengan kenderaan-kenderaan lain atau mencari maklumat berkenaan pembelian model ini, sila layari www.carbase.my.

GALERI: Perodua Axia Advance 1.0 facelift

GALERI: Perodua Axia Standard G 1.0 facelift dengan kit badan GearUp