Toyota GR Corolla Morizo Edition – hanya 2 tempat duduk, lebih ringan, kotak gear manual nisbah rapat

Toyota GR Corolla Morizo Edition – hanya 2 tempat duduk, lebih ringan, kotak gear manual nisbah rapat

Selepas didedahkan di Amerika Syarikat April lalu, Toyota GR Corolla kini secara rasmi diperkenalkan di negara kelahirannya, Jepun. Selain varian RZ, GR Corolla JDM ini turut ditawarkan dalam versi paling hardcore setakat ini, dikenali sebagai Morizo Edition.

Bagi yang belum mengetahui, ‘Morizo’ merupakan nama samaran presiden Toyota, Akio Toyoda ketika berlumba, dan beliau juga kini merupakan ‘GR Master Driver’ di Toyota Gazoo Racing. Manakala GR Corolla Morizo Edition ini diberikan tingkat taraf hampir sama seperti Toyota GRMN Yaris yang diperkenalkan pada Januari lalu, iaitu difokuskan untuk pemanduan litar.

Model istimewa ini masih menggunakan enjin G16E-GTS tiga-selinder 1.6 liter turbo menghasilkan 304 PS (300 hp) pada takat 6,500 rpm sama seperti GR Corolla RZ biasa. Namun talaan semula yang diberikan membolehkan enjin tersebut mencapai tork maksima 30 Nm lebih tinggi kepada 400 Nm pada takat 3,250 hingga 4,600 rpm. Ini bermaksud ia enjin tersebut memberikan tork puncak rata lebih tinggi pada tahap rpm-pertengahan bagi memberikan pecutan lebih baik.

Toyota GR Corolla Morizo Edition – hanya 2 tempat duduk, lebih ringan, kotak gear manual nisbah rapat

Talaan semula pada enjin berkenaan turut diselarikan bersama talaan baharu diberikan pada kotak gear manual enam-kelajuan iMT pada GR Corolla Morizo Edition ini dengan nisbah untuk gear satu hingga tiga telah dipendekkan. Namun sudah tentu keseluruhan gear satu hingga gear enam kotak gear GR Corolla Morizo ini terasa lebih pantas kerana nisbah akhir turut diubah dari 4.058 kepada 4.250.

Manakala fungsi rev-match yang memberikan fungsi heel & toe automatik ketika menurunkan gear, serta LSD jenis torsen pada gandar hadapan dan belakang bagi sistem pacuan semua roda GR-Four pada GR Corolla ini masih dikekalkan.

Bagi memberikan pengendalian lebih baik, kerangka badan GR Corolla yang sudah sedia lebih tegar dari Corolla Hatchback biasa dikeraskan lagi untuk Morizo Edition ini. Ia dibuat menerusi penggunaan perekat struktur badan 3.3 meter lebih panjang, serta pemadanan beberapa pendakap badan tambahan.

Toyota GR Corolla Morizo Edition – hanya 2 tempat duduk, lebih ringan, kotak gear manual nisbah rapat

Toyota tidak mengumumkan sebarang perubahan talaan suspensi untuk GR Corolla Morizo Edition ini, namun berdasarkan spesifikasi yang didedahkan, model ini adalah 5 mm lebih rendah berbanding GR Corolla RZ biasa. Rim aluminium forged pelbagai jejari dari BBS masih kekal digunakan pada Morizo Edition, tetapi ia kini diberikan logo Toyota Gazoo Racing pada bahagian bibir.

Pengendalian lebih baik untuk model istimewa ini turut dibantu menerusi pemadanan set tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 bersaiz 245/40R18 berbanding Yokohama Advan Apex V601 bersaiz 235/40R18 pada GR Corolla RZ – ia bukan sahaja menampilkan kompaun lebih baik, malah 10 mm lebih lebar bagi memberikan lebih cengkaman.

Juga, Toyota telah membuat beberapa perubahan bagi membolehkan GR Corolla Morizo Edition ini sekitar 30 kg lebih ringan berbanding versi biasa (dari 1,470 kg kepada 1,440 kg), antaranya dengan membuang terus tempat duduk belakang. Ini bermaksud model ini merupakan hot-hatch lima pintu tetapi hanya menampilkan dua-tempat duduk.

Malah tempat duduk hadapan turut ditukar menggunakan semi-bucket yang memberikan ‘pelukan badan’ lebih erat yang didakwa “mampu memberikan pemanduan yang tepat walaupun pemandu dikenakan daya-G lebih tinggi kerana prestasi pemanduan kereta ini telah dipertingkat”.

Model istimewa ini turut diberikan beberapa perincian dalaman lain yang lebih ‘racing’ berbanding model standard, antaranya balutan upholsteri ultrasuede pada roda stereng (bersama penanda pukul 12 berwarna merah), tombol gear (dengan gegelang merah) dan pada panel pintu, serta kemasan cast-black pada panel instrumen dan beberapa bahagian lain.

Berbanding model GR Corolla standard yang diberikan bumbung diperbuat dari plastik diperkuat gentian-karbon (CFRP), model Morizo Edition ini pula menerima bumbung forged carbon yang diperlihatkan tanpa sebarang cat. Ia juga menampilkan tandatangan Morizo pada cermin hadapan dan hadir hanya dengan satu pilihan warna badan iaitu Matte Steel.

Toyota GR Corolla Morizo Edition – hanya 2 tempat duduk, lebih ringan, kotak gear manual nisbah rapat

Selain Jepun, Toyota GR Corolla Morizo Edition ini buat masa sekarang turut ditawarkan pada pasaran Amerika Syarikat, dihasilkan dalam jumlah terhad. Ia diumumkan ditawarkan hanya 200 unit setahun untuk Amerika Syarikat dan bakal diberikan nombor produksi unik.

Manakala bagi pasaran Jepun, jumlah produksinya masih belum diumumkan, namun mereka yang berminat untuk membeli model edisi terhad ini perlu mencabut loteri yang bakal dibuat pada musim luruh nanti, manakala penghantaran kepada pelanggan yang berjaya membelinya akan dibuat pada musim sejuk. Harga sebenar bagi model ini juga akan diumumkan kemudian.


GALERI: Toyota GR Corolla Morizo Edition 2023 pasaran Jepun

GALERI: Toyota GR Corolla Morizo Edition 2023 pasaran Amerika Syarikat

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required