Toyota Gazoo Racing Masters of Nürburgring (GRMN) – menyorot kisah suka duka di sebalik nama

Toyota Gazoo Racing Masters of Nürburgring (GRMN) – menyorot kisah suka duka di sebalik nama

Jika bercakap tentang prestasi, talaan dan juga perlumbaan Toyota, pastinya abang-abang kereta terbayang akan nama dan logo TRD (Toyota Racing Development) bukan? Manakan tidak, sayap perlumbaan rasmi Toyota berkenaan mempunyai warisan sejarah seawal era 50’an lagi, menala jentera-jentera hebat Toyota dari model sekecil Toyota Starlet sehingga kereta sport tulen Toyota Supra.

Namun akhir-akhir ini nama TRD telah dikomersialkan dengan lebih meluas dengan kehadiran model-model yang dilencanakan dengan jenama TRD Sportivo seperti Vios dan juga Hilux TRD. Model-model ‘Sportivo’ ini dihasilkan dengan objektif utama untuk menghasilkan sebuah kenderaan yang nampak lebih sporty dari segi rupa, tanpa apa-apa peningkatan kuasa kuda atau prestasi pengendalian, serta dijual pada harga yang masih lagi mampu milik.

Strategi berkenaan sebenarnya agak berjaya dari segi jualan, namun bagi mereka yang ‘purist’ terhadap nama TRD, model-model ini kadang-kala mengundangkan ketidakpuasan hati dengan persoalan-persoalan seperti “dah letak logo TRD, takkan bagi bodykit je?”

Toyota Gazoo Racing Masters of Nürburgring (GRMN) – menyorot kisah suka duka di sebalik nama

Tahun lalu, Toyota Gazoo Racing iaitu badan mengendalikan pasukan rasmi Toyota dalam perlumbaan World Endurance Championship dan Kejohanan Rali Dunia (WRC) telah mengumumkan mereka akan mula membina model-model talaan berprestasi tinggi untuk kegunaan jalan raya biasa pula. Kata-kata berkenaan dikotakan tahun ini setelah Toyota Yaris GRMN (Gazoo Racing Masters of Nürburgring) didedahkan pada awal tahun ini – dijana enjin 1.8 liter supercharger berkuasa 205 hp yang mengingatkan kita kepada model Starlet Turbo yang terkenal sebagai pocket-rocket pada era 80’an dan 90’an dahulu.

Selepas itu iaitu pada minggu lalu, Toyota melancarkan barisan model yang di letakkan lebih bawah sedikit dari GRMN iaitu GR (Gazoo Racing), bagi menjenamakan semula siri G’s (G Sport) yang diperkenalkan sebelum ini. Tujuh model diperkenalkan – Vitz (Yaris) GR Sport, Prius PHV, Mark X, Harrier, Noah, Voxy GR dan Yaris GR. Selain itu, model prototaip Prius C GR Sport dan 86 GR Sport juga diperkenalkan yang bakal dilancarkan pada hujung tahun ini.

Kesemua model GR ini bukan diberikan peningkatan dari segi rupa semata-mata, ia turut hadir dengan pakej tingkat taraf kuasa dan juga pengendalian. Untuk Yaris GR misalnya, ia bukan hanya menerima penyerap hentak Sachs dan juga tayar Bridgestone Potenza RE050A, hatchback tersebut turut menerima titik kimpalan (spot weld) pada kerangka yang lebih banyak dari versi standard serta turut diberikan palang penguat tambahan.

Toyota Gazoo Racing Masters of Nürburgring (GRMN) – menyorot kisah suka duka di sebalik nama

Jadi sebenarnya siapa Gazoo Racing ini, dan mengapa ia tiba-tiba seolah-olah mengambil peranan TRD? Gazoo bermula pada tahun 1998, ketika itu ia hanyalah sebuah laman sesawang jual beli yang diwujudkan oleh Toyota sendiri. Laman berkenaan direka kerana ketika itu pembeli dari kalangan golongan muda sudah mula berkurangan mengunjungi bilik pameran sebenar dan lebih gemar membuat pembelian menerusi atas talian.

Nama Gazoo itu sendiri adalah gabungan antara perkataan Jepun gazou yang bermaksud gambar dan juga perkataan ‘Zoo’. Jadi Gazoo ini sebenarnya bermaksud ‘Zoo Gambar’ dan untuk Toyota ‘gazoo’ turut bermaksud ‘garage’ di mana laman web berkenaan bukan sahaja memaparkan model-model baharu, malah turut menjadi hab untuk jaringan pengedar Toyota seluruh Jepun bagi menjual stok-stok kereta terpakai mereka.

Pada tahun 2005, Akio Toyoda iaitu cicit kepada pengasas Toyota itu sendiri – Sakichi Toyoda, dinaikkan pangkat dari ahli lembaga pengarah kepada timbalan Presiden Toyota Motors Corporation. Selepas itu, beliau mahu laman Gazoo.com berkenaan menjadi bukan sahaja laman jual beli kereta untuk mereka, malah lebih kepada keterujaan serta mewujudkan gaya hidup terhadap kereta.

Akio sememangnya sangat sukakan kereta dan juga amat gemar untuk berlumba. Tetapi kerana statusnya sebagai penyambung legasi perniagaan moyangnya, aktiviti berbahaya yang mungkin boleh meragut nyawa berkenaan perlu dilakukan secara rahsia bagi mengelakkan status hubungan awamnya tercemar. Jadi beliau berlumba dengan nama samaran iaitu Morizo Kinoshita, bermula dengan sebuah Toyota Altezza terpakai.

Dengan identiti rahsia Morizo ini, Akio bukan setakat berlumba, malah beliau turut menulis blog berkenaan kereta dan menyerlahkan sifatnya sebagai ‘mat kereta’ sebenar. Akio juga tidak berlumba secara semberono, dan beliau sebenarnya mendapat banyak tunjuk ajar dari Hiromu Naruse.

Siapa pula Hiromu Naruse ini? Naruse merupakan ketua pemandu uji dan ketua jurutera penguji bagi Toyota yang telah berkhidmat dengan syarikat tersebut sejak 1963. Ketika memulakan khidmatnya bersama Toyota, beliau bermula dengan jawatan mekanik dan membantu dalam pembangunan kereta-kereta sport terawal Toyota seperti Toyota Sport 800 dan juga Toyota 2000GT, serta kereta lumba sebenar pertama syarikat berkenaan iaitu Toyota 7.

Toyota Gazoo Racing Masters of Nürburgring (GRMN) – menyorot kisah suka duka di sebalik nama

Pada tahun 1970, Naruse membantu pembentukan Toyota Motorsport yang berpusat di Switzerland dan ketika itu bermulalah era perlumbaan Toyota di litar Nürburgring dan juga Spa Francochamps. Sejak itu juga Naruse menggalas tugas sebagai ketua pemandu uji dan ketua jurutera penguji bagi penghasilan model-model sport lagenda Toyota seperti generasi-generasi Toyota Celica, Toyota MR2 dan juga Toyota Supra.

Kerana tugasnya ini, Naruse menjadi pemandu Jepun yang mencatatkan jumlah jam pemanduan paling lama di litar Nürburgring dan digelar ‘Meister’ atau ‘Master of Nürburgring’, manakala rakan-rakannya di Ferrari menggelarnya sebagai ‘lelaki yang tahu semua jalan di dunia’.

Naruse bukan sahaja membuat ujian secara bersendirian, beliau juga turut terlibat dalam perlumbaan. Supercar terakhir yang dibangunkan Toyota – Lexus LFA – juga merupakan air tangan Naruse, dan beliau telah menguji secara ektensif jentera berkenaan dalam perlumbaan Nürburgring 24 Jam dari tahun 2008 hingga 2010.

Setahun selepas transformasi Gazoo.com iaitu pada tahun 2006, Akio Toyoda mewujudkan pula divisi perlumbaannya yang digelar Gazoo Racing dan melantik Hiromu Naruse sebagai ketua sayap perlumbaan baharu berkenaan. Akio kemudiannya dilantik sebagai Presiden Toyota Motors Corporation pada tahun 2009 dan kemudian beliau mendedahkan identiti sebenar Morizo Kinoshita kepada umum.

Selepas itu juga Gazoo Racing dijelmakan sebagai pasukan perlumbaan penuh dalam pelbagai disiplin termasuk rali. Bukan itu sahaja, minat terhadap sukan permotoran pada Akio ini turut mendorongnya untuk mempercepatkan peralihan bentuk prototaip Toyota 86 dan Lexus LFA kepada bentuk produksi sebenar. Manakala untuk Gazoo Racing pula, kit badan dan peralatan aftermarket berprestasi tinggi serta ramai juruteknik terlatih dilahirkan di bawah jenama G’s.

Namun tidak semua perkara gembira berlaku sepanjang pembangunan jenama Gazoo Racing ini. Pada tahun 2010, Hiromu Naruse meninggal dunia setelah terlibat dalam kemalangan secara berdepan dengan sebuah BMW berhampiran dengan litar Nürburgring, ketika itu beliau sedang menguji model prototaip Lexus LFA Nürburgring Edition.

Toyota Gazoo Racing Masters of Nürburgring (GRMN) – menyorot kisah suka duka di sebalik nama

Sebagai mengabadikan jasa Naruse yang telah mengabdikan sebahagian besar hayatnya terhadap Toyota, Akio mewujudkan satu lagi varian yang lebih tinggi dari varian G’s – yang lebih berkuasa dan juga lebih hardcore, digelar Gazoo Racing Masters of Nürburgring (GRMN) di mana nama Masters of Nürburgring tersebut sememangnya gelaran terhadap Hiromu Naruse.

Untuk pengetahuan anda juga, kini UMW Toyota telah mula membawa nama Gazoo Racing ini ke Malaysia. April lalu, penganjuran Toyota Gazoo Racing Festival Malaysia telah diumumkan. Festival berkenaan turut membawa sekali perlumbaan ‘one-make’ Vios Challenge yang menggunakan Toyota Vios diubahsuai oleh pengedar barangan TRD di Malaysia iaitu Wing Hin Motorsport. Perlumbaan ini akan berlangsung sebanyak tiga pusingan dan disertai ramai pemandu handalan tempatan seperti Tengku Djan Lee, Boy Wong, James Verrapan dan ramai lagi.

Selain itu, kategori promosi turut diwujudkan bagi memberi peluang kepada selebriti tempatan seperti Fattah Amin dan juga Janna Nick, disamping Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama, yang turut berlumba dalam kategori ini. Pusingan pertama telah pun berlangsung di Pulau Pinang Ogos lalu, manakala pusingan kedua akan berlangsung di MAEPS, Serdang November ini sebelum ia di bawa ke Johor Bahru untuk pusingan terakhir.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required