10 kereta tambahan untuk perlumbaan Toyota Gazoo Racing Vios Challenge – turut disertai Tengku Djan Ley

10 kereta tambahan untuk perlumbaan Toyota Gazoo Racing Vios Challenge – turut disertai Tengku Djan Ley

April lalu, UMW Toyota Motor (UMWT) telah mengumumkan siri perlumbaan ‘one-make’ Toyota Gazoo Racing Vios Challenge yang akan disertai oleh 30 kereta, dikemudi oleh pelumba-pelumba tempatan termasuk berberapa selebriti antaranya Shukri Yahaya, Fatah Amin, Janna Nick dan Diana Danielle.

Atas penyertaan yang menggalakan, syarikat berkenaan bersetuju untuk membuka penyertaan terhadap 10 kereta lagi, menjadi 40 kereta secara keseluruhan yang akan bermula di petak permulaan perlumbaan pertama, dijadualkan akan berlangsung pada bulan hadapan di Pulau Pinang.

“Tarikan terhadap Vios Challenge agak menggembirakan. Kami mendapat banyak permintaan dari pelumba yang mahu membeli kereta tersebut dan berlumba dalam Vios Challenge tetapi mengambil kira keselamatan dan logistik, kami hadkan hanya kepada maksimun 40 kereta untuk musim ini,” kata presiden UMWT Ravindran Kurusamy.

Tambahan kepada 10 kereta berkenaan turut menyaksikan banyak nama-nama besar dalam dunia perlumbaan tempatan antaranya, “Prince of Drift” Tengku Djan Ley dan seteru utamanya dalam Malaysia Speed Festival (MSF) Boy Wong, serta bekas juara Malaysia Super Series (MSS) James Verrappan.

Apa yang menarik lagi, naib pengerusi UMWT, Akio Takeyama turut akan berlumba dalam siri ini dan beliau tidak sabar untuk memulakannya. “Saya sangat teruja untuk mengambil bahagian dalam perlumbaan pertama saya dalam Vios Challenge. Saya telah bekerja keras semasa dalam sesi sekolah perlumbaan dan saya telah banyak belajar dari pengajar saya. Saya tidak sabar untuk memulakan perlumbaan,” katanya.

“Saya harap peminat sukan permotoran di Malaysia akan hadir ke TGR Racing Festival dan berseronok dengan apa yang telah kami rancangkan. Dengan persaingan sengit dilitar, persekitaran seperti karnival, persembahan selebriti dan semua aktiviti yang menyeronokkan, saya percaya TGR Racing Festival akan menjadi acara yang tidak pernah dilihat sebelum ini,” tambah Takeyama lagi.

Kesemua Vios yang digunakan untuk perlumbaan ini diambil dari model asas J 1.5 liter manual, disediakan oleh Wing Hin Motorsport di bawah seliaan Toyota Racing Development (TRD) Jepun. Ia merupakan model produksi sebenar yang dihasilkan di kilang UMW Toyota Shah Alam dan masih menggunakan enjin asal 1.5 liter 2NR-FE dengan kesemua bahagian dalamannya tidak langsung disentuh. Dipadankan dengan sistem ekzos lengkap keluli tahan karat dari TRD bermula dari bahagian header hingga hujung muffler dan unit pengurusan enjin asal ditukar kepada sistem komputer dari Motec, ia mampu mengekstrak 10% lebih kuasa dari jumlah asal.

Enjin tersebut dipadankan kotak gear lima-kelajuan manual asal, tetapi unit karbeda standard telah ditukar kepada LSD dari TRD. Kesemua Vios ini juga menerima kit lengkap ‘plug and play‘ suspensi perlumbaan boleh laras sepenuhnya dari TRD untuk Vios yang dipadankan terus pada casis, serta tiada langsung perubahan geometeri dibuat pada sistem torsion beam suspensi belakang.

Keseluruhan sistem brek jentera perlumbaan ini juga masih kekal sama dengan versi jalan raya, termasuk brek dram pada bahagian belakang, tetapi pad pada angkup standard hadapan diberikan pad berprestasi tinggi TRD.

Bahagian luaran, Vios untuk perlumbaan ini diberikan kit badan dari TRD, bersama spoiler belakang lebih besar dari versi jalan raya. Ia turut diberikan livery perlumbaan merah-putih TGR bersama pelekat-pelekat penaja. Khas untuk siri perlumbaan ini, kesemua Vios diberikan rim Enkei RPF-1 berdiameter 15-inci tajaan Enkei Malaysia, disaluti tayar Toyo Proxes T1R bersaiz 195/50R15 tajaan Toyo Tyres.

Pada bahagian kabin pula, papan pemuka asal (dengan sistem penghawa dingin masih berfungsi) dan juga panel-panel pintu asal Vios lengkap dengan tingkap berkuasa masih lagi dikekalkan. Tetapi karpet, alas bumbung (headliner) serta tempat duduk belakang telah dibuang. Tempat duduk hadapan pula digantikan dengan tempat duduk bucket perlumbaan sepenuhnya, lengkap dengan tali pinggang serta stereng perlumbaan tiga jejari – kesemuanya dari OMP.

Unit pemain audio utama juga telah ditanggalkan dan bahagian berkenaan ditempatkan ‘kill switch‘ untuk memutuskan kuasa elektrik secara keseluruhan sekiranya dalam situasi kecemasan. Sebagai melengkapkan ruang dalaman jentera perlumbaan ini, ia turut dibekalkan dengan paparan informasi perlumbaan Motec yang memberikan pelbagai bacaan seperti rpm, speedo meter, suhu enjin dan pelincir, masa lap, serta pelbagai lagi. Ia turut diberikan rollcage penuh TRD yang dibina khas untuk Vios generasi ketiga ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required