Bagi mereka yang belum tahu, kini semua aktiviti perlumbaan Toyota adalah di bawah selian divisi perlumbaan rasminya – Toyota Gazoo Racing (TGR), yang bertanggung jawab keatas pasukan rasmi Toyota di World Endurance Championship (WEC) dan juga Kejohanan Rali Dunia (WRC). TGR juga secara rasmi telah menghasilkan jentera jalan raya berprestasi tinggi dengan jenamanya iaitu Gazoo Racing Master of Nurburgring (GRMN) dengan pengenalan Yaris GRMN untuk peingkat global bulan lalu.

Kini TGR secara rasminya telah tiba di Malaysia, di bawa oleh UMW Toyota Motor sendiri – dimulakan dengan TGR Racing Festival yang menampilkan perlumbaan ‘one-make’ Vios Challenge. Perlumbaan yang menggunakan sedan segmen-B Toyota ini akan dibarisi 30 pemandu, berlumba dengan Toyota Vios generasi ketiga dengan spesifikasi sama sepenuhnya, dalam tiga pusingan di litar jalan raya yang akan diadakan di Kuala Lumpur, Johor serta Pulau Pinang.

Pada setiap perlumbaan itu juga, penganjur akan turut mengadakan festival yang bakal membawa sekali aktiviti kekeluargaan seperti pelbagai permainan, makanan serta hiburan untuk semua pengunjung.

Dari keseluruhan 30 orang pelumba, lapan orang daripadanya merupakan selebriti terkenal tempatan, antaranya ialah Fattah Amin, Shukri Yahaya, Diana Danielle dan Janna Nick. Perlumbaan ini juga merupakan acara yang berdaftar dengan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dan setiap pelumba wajib mempunyai lesen perlumbaan nasional yang dikeluarkan oleh AAM. Bagi jentera yang digunakan pula, kesemua Vios yang diambil dari model asas J 1.5 liter manual ini disediakan oleh Wing Hin Motorsport di bawah seliaan Toyota Racing Development (TRD) Jepun.

Secara asasnya, kesemua Vios ini merupakan model produksi sebenar yang dihasilkan di kilang UMW Toyota Shah Alam. Ia masih menggunakan enjin asal 1.5 liter 2NR-FE dengan kesemua bahagian dalamannya tidak langsung disentuh. Tetapi, ia dipadankan dengan sistem ekzos lengkap keluli tahan karat dari TRD bermula dari bahagian header hingga hujung muffler. Unit pengurusan enjin asal juga telah ditukar kepada sistem komputer dari Motec, mengekstrak 10% lebih kuasa dari jumlah asal.

Begitu juga dengan transmisi, kotak gear lima-kelajuan manual asal masih dikekalkan, tetapi unit karbeda standard telah ditukar kepada LSD dari TRD bagi memberikan lebih cengkaman pada roda hadapan ketika meredah selekoh. Kesemua Vios ini juga menerima kit lengkap suspensi perlumbaan boleh laras sepenuhnya dari TRD. Ia merupakan kit ‘plug and play‘ untuk Vios yang dipadankan terus pada casis, serta tiada langsung perubahan geometeri dibuat pada sistem torsion beam suspensi belakang.

Keseluruhan sistem brek jentera perlumbaan ini juga masih kekal sama dengan versi jalan raya, termasuk brek dram pada bahagian belakang, tetapi pad pada angkup standard hadapan diberikan pad berprestasi tinggi TRD bagi memendekkan jarak membrek serta memastikan tiada masalah brake fade ketika digunakan secara ekstrem.

Bahagian luaran, Vios untuk perlumbaan ini diberikan kit badan dari TRD, bersama spoiler belakang lebih besar dari versi jalan raya. Ia turut diberikan livery perlumbaan merah-putih TGR bersama pelekat-pelekat penaja. Khas untuk siri perlumbaan ini, kesemua Vios diberikan rim Enkei RPF-1 berdiameter 15-inci tajaan Enkei Malaysia, disaluti tayar Toyo Proxes T1R bersaiz 195/50R15 tajaan Toyo Tyres.

Pada bahagian kabin pula, papan pemuka asal (dengan sistem penghawa dingin masih berfungsi!) dan juga panel-panel pintu asal Vios lengkap dengan tingkap berkuasa masih lagi dikekalkan. Tetapi karpet, alas bumbung (headliner) serta tempat duduk belakang telah dibuang. Tempat duduk hadapan pula digantikan dengan tempat duduk bucket perlumbaan sepenuhnya, lengkap dengan tali pinggang serta stereng perlumbaan tiga jejari – kesemuanya dari OMP.

Unit pemain audio utama juga telah ditanggalkan dan bahagian berkenaan ditempatkan ‘kill switch‘ untuk memutuskan kuasa elektrik secara keseluruhan sekiranya dalam situasi kecemasan. Sebagai melengkapkan ruang dalaman jentera perlumbaan ini, ia turut dibekalkan dengan paparan informasi perlumbaan Motec yang memberikan pelbagai bacaan seperti rpm, speedo meter, suhu enjin dan pelincir, masa lap, serta pelbagai lagi. Ia turut diberikan rollcage penuh TRD yang dibina khas untuk Vios generasi ketiga ini.

Kesemua Vios tersebut akan berlumba di bawah pasukan-pasukan yang diwujudkan dari jaringan pengedar sah Toyota di Malaysia. Menurut Toyota, setiap jentera perlumbaan Vios yang lengkap dihasilkan dengan harga RM90,000. Pusingan pertama perlumbaan berkenaan akan bermula pada Ogos ini dan dijangka tamat pada suku pertama 2018.

“Perlumbaan bermotor telah menjadi sebahagian dari DNA Toyota sejak ia ditubuhkan. Kejayaan kami dalam pelbagai disiplin sukan bermotor membolehkan kami membina produk dan teknologi yang lebih baik untuk pelanggan dan juga masa depan kami,” kata Timbalan Pengerusi UMW Toyota Akio Takeyama.