Toyota Vios 2016 kini dilancarkan – Dual VVT-i, CVT, EEV, VSC semua varian, dari RM76,500-RM96,400

toyota_vios_trd_ext-4

Setelah tiga tahun dalam pasaran, kini Toyota Vios generasi ketiga versi dipertingkat kini dilancarkan secara rasmi hari ini. Rupa luaran dan dalaman model versi kemaskini ini kelihatan hampir serupa dengan model sebelum ini tetapi sedan segmen-B ini kini diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dan dilengkapi pelbagai ciri utama terkini yang dipertingkat bagi membolehkan ia setanding dan lebih kompetitif berbanding saingannya dalam kelas yang sama seperti Honda City, Nissan Almera, serta Proton Persona 2016.

Harga untuk model baharu ini dilihat sedikit murah berbanding model sebelumnya. Varian asas 1.5J manual dijual pada harga RM76,500 dan RM79,500 untuk 1.5J automatik. Sama seperti sebelum ini, varian lebih tinggi hanya ditawarkan dengan transmisi automatik dengan varian 1.5E dijual pada harga RM83,900, 1.5G berharga RM89,800 dan varian tertinggi TRD Sportivo berharga RM96,400. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan termasuk insuran serta perlindungan waranti lima tahun tanpa had perbatuan.

Secara keseluruhan, Vios baharu ini adalah RM1,480 dan RM3,680 lebih murah dari sebelum ini, walaupun awal tahun ini UMW Toyota telah mengumumkan kenaikan harga bagi semua modelnya. Varian baharu juga telah ditambah dalam barisan model iaitu 1.5 GX yang diletakkan di bawah varian G, dijual pada harga RM92,800.

Model baharu ini dijana oleh enjin empat silinder 2NRFE 1.5 liter Dual VVT-i menggantikan enjin 1NZ-FE VVT-i sebelum ini. Berbeza dari 1NZ-FE yang dilengkapi sistem VVT-i hanya pada injap kemasukan, enjin 2NR-FE berkenaan dilengkapi sistem pemasaan injap bervariasi pada injap kemasukan dan injap ekzos. Selain itu, pembakaran pada kebuk kini lebih sempurna di mana bahagian tepi (squish) ruang pembakaran omboh kini direka tirus dan pembakaran dicucuh menggunakan palam pencucuh jenis iridium.

toyota_vios_trd_ext-26

Geseran dalam enjin juga dikurangkan dengan penggunaan pelbagai ciri baharu, antaranya lengan jumpelang yang dilengkapi galas pengguling (roller rocker arm), pemancut minyak pelincir omboh yang dipertingkat serta bahagian sisi omboh (piston skirt) yang disalut dengan resin. Penutup kepala enjin baharu ini juga direka agar dapat menebat lebih banyak bunyi dari enjin bagi mendapatkan aspek NVH yang lebih baik.

Enjin 2NR-FE ini sebenarnya mempunyai kuasa kurang daripada enjin 1NR-FE iaitu 107 PS pada takat 6,000 rpm (-2 PS) dan tork maksima 140 Nm pada takat 4,200 rpm (-1 Nm). Walau bagaimanapun, dengan teknologi baharu yang dipadankan dan kotak gear empat kelajuan automatik telah digantikan dengan kotak gear CVT disertakan mod tujuh-kelajuan maya, membolehkan ia mencapai penjimatan bahan api 18% lebih baik berbanding model sebelum ini. Tiada perubahan pada kotak gear lima-kelajuan manual untuk model 1.5J.

Ciri sampingan lain kebanyakkan adalah sama seperti model sedia ada. Bahagian luaran varian 1.5J didatangkan standard dengan lampu hadapan reflektor halogen, lampu nyalaan siang LED, visor pintu, roda aloi 15-inci dan juga lampu kabus belakang. Bahagian dalaman, varian asas ini turut dilengkapi sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, pemain utama audio 2-DIN dengan hubungan Bluetooth, empat pembesar suara dan lampu pada ruang kaki.

Varian E turut akan menerima lampu kabus hadapan, cermin sisi berkuasa dengan lampu isyarat membelok, tempat duduk belakang boleh-lipat dengan nisbah 60:40 serta perehat tangan belakang dengan pemegang cawan. Ciri baharu untuk model 2016 adalah sistem infotaimen DVD-AVX dengan skrin sesentuh 6.8-inci bersama kamera undur.

Varian 1.5G pula menerima lampu hadapan projektor, cermin hadapan akustik, gril hadapan dan kemasan nombor pendaftaran belakang bersalut krom, upholsteri kulit berwarna hitam, paparan pelbagai info, roda stereng pelbagai fungsi balutan kulit serta enam pembesar suara.

Untuk varian baharu 1.5GX pula, ia dilengkapi dengan kit badan baharu, lampu hadapan projektor ‘smoked‘, gril hadapan krom gelap, roda aloi dua-ton, serta balutan kulit gabungan warna hitam dan perang pada tempat duduk.

Model TRD Sportivo pula menerima kit badan dan roda aloi baharu – berbeza yang terdapat pada model GX. Filem Penapis Haba dan Keselamatan Premium Toyota juga didatangkan standard untuk model ini (opsyenal untuk varian lain). Pada bahagian dalaman, TRD Sportivo menerima kemasan hitam, tempat duduk kulit hitam dengan jahitan benang merah serta grafik pada kluster instrumen yang lebih sporty.

Vios 2016 turut menerima peningkatan dari segi sistem keselamatan di mana kesemua varian kini dilengkapi dengan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) disamping sistem ABS dengan EBD dan BA serta cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX pada bahagian belakang. Walau bagaimanapun, semua varian masih kekal dengan dua beg udara.


Varian baharu 1.5GX

Pelbagai ciri opsyen juga ditawarkan untuk Vios, sama seperti sebelumnya termasuk sistem DVD-AVX dengan kamera bagi varian J (RM3,169), sistem navigasi DVD-AVN dengan skrin sesentuh kapasitif tujuh-inci (RM2,109) dan naik taraf kepada sistem DVD-AVN untuk model yang dilengkapi dengan DVD-AVX (RM2,014).

Opsyen lain yang ditawarkan termasuk kit aero GX (RM2,332) dan pilihan sama ada Filem Penapis Haba Toyota Essential (RM1,166) atau Filem Penapis Haba dan Keselamatan Premium Toyota (RM2,109) untuk cermin pada varian J dan E. Perakam Video Digital juga ditawarkan dengan harga tambahan RM636.

Tiga warna tambahan disediakan untuk dipilih dalam brosur Vios 2016 iaitu Crimson Spark Red Metallic, Super White II dan White Pearl CS (hanya ditawarkan untuk TRD Sportivo), bersama warna sedia ada iaitu Silver Metallic, Medium Silver Metalic dan Attitude Black Mica.

Untuk makluman, Vios 2016 ini dilancarkan serentak dengan sesi uji pandu media dan ulasan berkenaan prestasi Vios versi dipertingkat ini akan kami bawakan dalam masa terdekat. Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan lebih maklumat berkenaan pembelian, anda boleh lawati laman Carbase.my.

GALERI: Toyota Vios TRD Sportivo 2016

GALERI: Toyota Vios GX 2016

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required