Proton_Persona_Premium_Ext-3

Akhirnya, sedan yang dipertaruhkan dalam menentukan jatuh-bangun Proton selepas ini – Proton Persona 2016 – dilancarkan secara rasmi sebentar tadi di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam. Majlis pelancarannya disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed, dengan diiringi CEO Proton Datuk Fuaad Kenali dan timbalannya Datuk Radzaif Mohamed.

Seperti yang sudah kami dedahkan sebelum ini dalam ulasan pandu uji pengenalan Persona 2016 di litar ujian Proton lebih seminggu lalu, sedan ini diasaskan dari hatchback Proton Iriz. Ia ditawarkan dalam empat varian iaitu Standard Manual, Standard CVT, Executive CVT dan Premium CVT.

Untuk membezakan Persona dengan Iriz, ia dilengkapi dengan sepasang lampu dan gril hadapan yang lebih tirus. ‘Proton Wing’ pada Persona menampilkan palang krom yang lebih nipis dan menempatkan logo 3D Proton pada bahagian tengah. Bampar Persona pula menempatkan gril bahagian bawah yang besar berbentuk trapezoid, dan diapit lampu kabus bulat dengan perumah dengan rekaan seperti disikat ketas. Berbanding Iriz, Persona tidak menerima lampu hadapan projektor (hanya mentol biasa) dan lampu nyalaan siang.

Lampu belakang Persona juga hanya menerima sepasang lampu dengan mentol biasa (berbanding lampu belakang LED pada Iriz), dimana kedua-duanya dihubungkan dengan bar krom yang tebal. Kemasan hitam dipadankan pada bahagian bawah bampar belakang, yang turut menempatkan sepasang reflektor serta lampu kabus tunggal yang diletakkan pada bahagian tengah.

Proton_Persona_Premium_Ext-17

Pada bahagian sisi, tiang-C Persona ditarik panjang kebelakang (menjadikan bahagian butnya kelihatan pendek), mewujudkan garisan badan berasingan diatas ruang roda belakang serta mengekalkan rekaan ‘bilah sisi’ dari Iriz. Kesemua varian diberikan roda aloi berdimeter 15-inci yang sama corak serta tayar yang sama saiz, tetapi berbeza kemasan serta jenis tayar (kemasan kelabu untuk dan varian standard, kemasan perak untuk varian Executive keatas. Manakala varian standard dan Executive diberikan tayar Silverstone Kruizer dan varian Premium diberikan tayar Goodyear Assurance).

Persona hanya hadir dengan enjin 1.6 liter VVT petrol – untuk memisahkan segmentasinya dengan Saga (Saga selepas ini hanya akan hadir dengan enjin 1.3 liter). Dengan teknologi injap bervariasi (Variable Valve Timing atau VVT), penggunaan bahan api pada enjin ini didakwa mampu memberikan penjimatan sekitar 10% bagi versi transmisi automatik dan 13% bagi versi transmisi manual (dengan purata kelajuan pemanduan 90 km/j), jika dibandingkan dengan Persona generasi terdahulu yang dilengkapi enjin 1.6 liter Campro IAFM.

Enjin yang digunakan secara mekanikalnya sama dengan enjin 1.6 liter pada Proton Iriz berkuasa 107 hp pada takat 5,750 rpm dan tork maksima 4,000 rpm. Angka kuasa mungkin kelihatan sama, tetapi menurut Proton ia telah ditala agar sesuai bagi penggunaan sebuah sedan. Begitu juga dengan kotak gear CVT, walaupun ia diambil terus dari Iriz, tetapi ia telah ditala semula agar lebih lancar dan linear ketika memecut.

Oleh itu, penggunaan bahan Persona 2016 dicatatkan pada 5.6 liter bagi setiap 100 km untuk versi manual dan 6.1 liter bagi setiap 100 km untuk transmisi CVT. Untuk prestasi Persona, mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 10.9 saat.

Proton_Persona_Premium_Ext-26

Walaupun enjin dan transmisi pada Persona diambil dari Iriz, enjin VVT ini diletakkan pada perut Persona dengan menggunakan hanya tiga cagak (mounting) enjin berbanding Iriz yang menggunakan empat cagak. Ini dilakukan untuk mengurangkan getaran dan bunyi enjin dari dipindahkan ke badan, seterusnya memberikan kadar NVH yang lebih rendah dan kadar kebisingan dapat diturunkan lagi sebanyak 6 desibel.

Untuk kembali berhenti pada kedudukan pegun dari 100km/j pula, Persona baharu ini hanya mengambil jarak 41.4 meter berbanding 44.6 meter pada model generasi sebelum ini. Walaupun hanya meggunakan brek dram pada bahagian belakang berbanding brek cakera sebelum ini, jarak berkenaan dapat dipendekkan kerana ia dilengkapi pelbagai bantuan elektronik seperti ABS, EBD dan Bantuan Brek (BA).

Persona baharu ini mungkin kelihatan kecil, tetapi but belakang sedan ini mencatatkan kapasiti 510 liter, berbanding generasi sebelum ini yang hanya mempunyai but berkapasiti 470 liter. Tempat duduk belakang juga boleh dilipat dengan nisbah 60:40 bagi memberikan ruang yang lebih untuk mengangkat barang.

Untuk sistem keselamatan, kesemua varian Persona dilengkapi dengan sistem kawalan kestabilan kenderaan (VSC), Bantuan Mula Mendaki (HHA), cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX, selain dari ABS, EBD serta BA yang telah dinyatakan tadi. Varian Standard dan Executive dilengkapi dengan dua beg udara manakala varian Premium menerima enam beg udara. Dengan kesemua ciri ini, kesemua varian Proton Persona 2016 menerima penarafan Program Penilaian Kereta Baharu ASEAN (ASEAN NCAP) lima bintang.

Bagi susunan dalam barisan model, varian Standard diletakkan pada keduduka paling asas – tidak mempunyai lampu kabus dan cermin sisi berwarna hitam. Varian Executive pula dilengkapi unit pemain audio 2-DIN biasa, tiang-B diwarnakan dengan warna badan. Untuk varian Premium, ia didatangkan dengan upholsteri balutan kulit pada tempat duduk dan roda stereng, skrin sesentuh unit infotaimen dengan sistem navigasi, kamera undur serta sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin.

Kesemua ciri yang ada pada varian Premium diterapkan terus pada varian Premium SE tetapi ditambah dengan kit badan penuh dua ton termasuk spoiler pada but belakang.

Secara ringkas dan lengkap, ciri-ciri dan harga untuk kesemua varian dirangkumkan seperti berikut:


Brosur rasmi Proton Persona 2016 (klik untuk besarkan)

Proton Persona 1.6 2016 Standard MT/CVT

Varian ini datang dengan dua versi transmisi yang boleh dipilih iaitu manual lima-kelajuan dan CVT automatik. Kedua-dua versi ini hadir dengan ciri-ciri yang sama.

Ciri-ciri

  • Ecodrive Assist
  • Lampu utama reflektor halogen (tinggi boleh laras)
  • Lampu kabus belakang
  • Penderia parkir depan dan belakang
  • Rim 15-inci kelabu (dengan tayar Silverstone Kruizer)
  • Cermin sisi dan pemegang pintu tidak dicat
  • Cermin sisi elektrik
  • Tiang-B warna badan
  • Penghidup enjin kunci dengan kunci kawalan jauh
  • Unit audio 1DIN & Bluetooth
  • Tempat duduk fabrik
  • Tempat duduk boleh dinaikkan
  • Kapasiti but belakag 510 liter
  • Cagak ISOFIX tempat duduk kanak-kanak
  • 2 beg udara
  • ABS dengan EBD dan BA
  • Vehicle Stability Control (VSC)
  • Hill-hold assist
  • Brek cakera depan, brek dram belakang

Harga

  • 1.6 Standard 5MT – RM46,350 (solid), RM46,800 (metalik)
  • 1.6 Standard CVT – RM49,350 (solid), RM49,800 (metalik)

Proton Persona 2016 1.6 Executive CVT

Varian ini hanya hadir dengan kotak gear CVT sahaja.

Ciri-ciri

  • Ecodrive Assist
  • Lampu utama reflektor halogen (tinggi boleh laras) dengan fungsi automatik
  • Lampu kabus hadapan
  • Lampu kabus belakang
  • Penderia parkir depan dan belakang
  • Rim 15-inci perak (dengan tayar Goodyear Assurance)
  • Cermin sisi dan pemegang pintu warna badan
  • Cermin sisi elektrik
  • Tiang-B warna badan
  • Penghidup enjin kunci dengan kunci kawalan jauh
  • Unit audio 2-DIN & Bluetooth
  • Konsol tengah warna kelabu berkilat
  • Port mengecaj USB
  • 60:40 lipatan kerusi belakang
  • Trim pintu fabrik
  • Tempat duduk fabrik
  • Tempat duduk boleh dinaikkan
  • Kapasiti but belakag 510 liter
  • Cagak ISOFIX tempat duduk kanak-kanak
  • 2 beg udara
  • ABS dengan EBD dan BA
  • Vehicle Stability Control (VSC)
  • Hill-hold assist
  • Brek cakera depan, brek dram belakang
  • Spoiler but belakang

Harga

  • 1.6 Executive CVT – RM55,350 (solid), RM55,800 (metalik)

Proton Persona 2016 1.6 Premium CVT

Varian ini hanya hadir dengan kotak gear CVT sahaja.

Ciri-ciri

  • Ecodrive Assist
  • Lampu utama reflektor halogen (tinggi boleh laras) dengan fungsi automatik dan follow me home
  • Lampu kabus hadapan
  • Lampu kabus belakang
  • Penderia parkir depan dan belakang
  • Rim 15 inci warna perak (dengan tayar Goodyear Assurance)
  • Cermin sisi dan pemegang pintu warna badan
  • Cermin sisi berkuasa dan boleh lipat
  • Tiang-B hitam
  • Sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin
  • Unit skrin sesentuh (Android) dengan Bluetooth dan kamera undur
  • Konsol tengah warna kelabu berkilat
  • Port mengecaj USB
  • 60:40 lipatan kerusi belakang
  • Trim pintu kulit
  • Tempat duduk dan stereng kulit
  • Tempat duduk boleh dinaikkan
  • Kapasiti but belakag 510 liter
  • Cagak ISOFIX tempat duduk kanak-kanak
  • 6 beg udara
  • ABS dengan EBD dan BA
  • Vehicle Stability Control (VSC)
  • Hill-hold assist
  • Brek cakera depan, brek dram belakang
  • Spoiler but belakang

Harga

  • 1.6 Premium CVT – RM59,350 (solid), RM59,800 (metalik)

Kesemua harga yang ditawarkan adalah harga atas jalan dengan insuran. Setiap pembelian Proton Persona turut dilindungi dengan waranti selama 5 tahun tanpa had perbatuan. Istimewa untuk pembeli yang menempah Persona sebelum 30 September ini, Proton juga menawarkan servis percuma selama tiga tahun (termasuk alat ganti dan upah). Khas untuk pembeli varian Premium, anda boleh memadankan kit badan sepenuhnya dua ton terdiri dari lips hadapan, skirt sisi dan lips belakang dengan bayaran tambahan RM1,000. Untuk anda yang berminat menempah Proton Persona 2016, anda boleh lawati laman Carbase.my untuk spesifikasi penuh serta bantuan dari penasihat jualan di sini.

Proton Persona 2016 1.6 Premium CVT dengan kit badan

Proton Persona 2016 1.6 Premium CVT

Proton Persona 2016 1.6 Executive CVT

Proton Persona 2016 1.6 Standard

Keratan Rentas Proton Persona 2016

GALERI: Gambar rasmi Proton Persona 2016