PANDU UJI: Proton Persona 2016 – impresi awal

2016 Proton Persona BM Front Red

Okay, ini mungkin antara ulasan yang paling ditunggu-tunggu rakyat Malaysia. Saya percaya, ramai yang tertanya-tanya bagaimana prestasi Proton Persona 2016 ini. Selain dari ingin membuat keputusan sedan mampu milik mana yang mahu dibeli (lebih-lebih lagi selepas Perodua Bezza dilancarkan baru-baru ini, walaupun ia berlainan segmen), rakyat Malaysia juga pastinya mahu melihat bagaimana Proton melakukan perubahan dan bangkit semula selepas menerima pinjaman bernilai RM1.5 bilion dari kerajaan.

Pelancaran model-model lain yang dibuat selepas model premium sedan segmen-D iaitu Proton Perdana 2016 juga merupakan salah satu strategi pemulihan yang dijalankan Proton. Proton tidak mensasarkan angka jualan yang tinggi untuk Perdana dan ia dilancarkan terlebih dahulu bertujuan untuk menaikkan semula imej Proton – membuktikan mereka masih mampu untuk menarik pelanggan dari pasaran segmen-D, iaitu segmen yang sering dikaitkan dengan golongan eksekutif dan elit.

Bukan itu sahaja, usaha Proton turut dapat dilihat dalam menaikkan semula tahap servis selepas jualan mereka seperti pusat servis yang kini dibuka selama tujuh hari, diskaun untuk alat ganti sehingga 30% serta aplikasi atas talian MyProton untuk memudahkan urusan pembelian kereta Proton dan urusan servis pemilik Proton.

Setelah perkara berkaitan imej ini selesai, tiba masa Proton melancarkan senjata yang dilihat bakal meningkatkan angka jualan mereka, iaitu sedan mampu milik untuk rakyat Malaysia dimulakan dengan Proton Persona 2016 bulan ini dan Proton Saga dijangka akan dilancarkan bulan hadapan. Sebelum Persona dilancarkan secara rasmi 23 Ogos ini, kami dan jurnalis automotif tempatan lain dijemput oleh Proton untuk menguji sedan ini petang tadi, di litar ujian Pusat Kecemerlangan Proton, Shah Alam.

Spoiler_02-Silver_BM

Walau bagaimanapun, segala alat yang boleh merakam imej seperti kamera dan telefon pintar terpaksa kami tinggalkan diluar sebelum masuk ke kawasan litar atas permintaan Proton sendiri. Jadi gambar sepenuhnya akan kami siarkan pada pelancaran rasmi model ini kelak.

Seperti yang tersebar sebelum ini, memang benar, sedan Persona generasi baharu ini diasaskan dari platform Iriz hatchback. Pada bahagian luaran, Persona berkongsi cermin hadapan, penutup cowl (dibahagian penggilap cermin), dapra (fender) hadapan serta pintu hadapan. Begitu juga dengan bahagian dalaman dan sistem mekanikal, kebanyakkannya dipindahkan dari Iriz ke Persona.

Bagi memberikan muka yang tersendiri untuk Persona, ia dilengkapi dengan sepasang lampu dan gril hadapan yang lebih tirus. ‘Proton Wing’ pada Persona menampilkan palang krom yang lebih nipis dan menempatkan logo 3D Proton pada bahagian tengah. Bampar Persona pula menempatkan gril bahagian bawah yang besar berbentuk trapezoid, dan diapit lampu kabus bulat dengan perumah dengan rekaan seperti disikat ketas. Berbanding Iriz, Persona tidak menerima lampu hadapan projektor (hanya mentol biasa) dan lampu nyalaan siang.

Lampu belakang Persona juga hanya menerima sepasang lampu dengan mentol biasa (berbanding lampu belakang LED pada Iriz), dimana kedua-duanya dihubungkan dengan bar krom yang tebal. Kemasan hitam dipadankan pada bahagian bawah bampar belakang, yang turut menempatkan sepasang reflektor serta lampu kabus tunggal yang diletakkan pada bahagian tengah.

2016 Proton Persona 4

Walaupun kesemua lampu Persona hanya hadir dengan teknologi asas, namun perincian pada lampu-lampu berkenaan seperti rekaan yang kemas serta perkataan “Proton” di dalam unit-unit lampu berkenaan.

Namun, jika dilihat dari sisi, Persona masih ada ciri-ciri janggal seperti hatchback yang ‘ditarik’ menjadi sedan yang lain – seperti Ford Fiesta sedan. Tetapi, dapat dilihat Proton berusaha keras untuk mengelakkan rupa janggal tersebut seperti tiang-C yang ditarik panjang kebelakang (menjadikan bahagian butnya kelihatan pendek), mewujudkan garisan badan berasingan diatas ruang roda belakang serta mengekalkan rekaan ‘bilah sisi’ dari Iriz.

Keseluruhan bahagian dalaman Persona juga seiras dengan Iriz. Perubahan yang dibuat hanyalah kemasan kelabu berkilat pada konsol tengah, rekaan pada tombol gear (suis pengunci tuil kini pada bahagian sisi kanan). Perubahan terbesar bahagian dalaman ialah pada tema warna keseluruhan. Jika bahagian dalaman Iriz menerima warna hitam keseluruhan, Persona pula menerima tema hitam-kelabu, dimana warna kelabu ditampilkan pada kemasan panel pintu dalaman, bahagian bawah papan pemuka, serta keseluruhan bahagian terowong transmisi tengah termasuk tuil brek tangan.

Tiada perubahan pada jarak roda, di mana Persona dan Iriz berkongsi dimensi yang sama iaitu 2,550 mm. Tetapi jika anda masuk ke kabin sedan ini, ia seolah-olah lebih besar dari Iriz. Mengapa? Pertama, tema warna hitam-kelabu yang diberikan pada Persona jelas berperanan sebagai ‘helah silap mata’ yang membuatkan kabinnya kelihatan lebih besar. Kedua, perehat belakang pada tempat duduk belakang direka lebih condong yang bukan sahaja memberi lebih ruang, tetapi membolehkan penumpang dibelakang lebih ‘relaks’ dalam perjalan.

2016 Proton Persona 1

Walaupun but sedan ini kelihatan pendek, bahagian but Persona direka dengan kapasiti 510 liter (sebagai perbandingan, but Perodua Bezza berkapasiti 508 liter). Selain dari varian asas Standard, kesemua tempat duduk belakang varian Persona yang lain boleh dilipat dengan nisbah 60:40, membolehkan barang yang lebih panjang diisi pada ruang but belakang.

Perhatian turut diberikan kepada kualiti binaan komponen bahagian dalaman Persona. Warna setiap panel kini lebih konsisten dan kesemua pintu kini terasa lebih solid ketika dibuka dan ditutup.

Untuk menyusun semula segmentasi sedan Proton, Persona hanya ditawarkan dengan enjin 1.6 liter, sementara Saga yang akan dilancarkan selepas ini hanya dilengkapi enjin 1.3 liter. Enjin 1.6 liter ini juga merupakan enjin yang sama diambil dari Iriz, berkuasa 107 hp pada takat 5,750 rpm dan tork maksima 4,000 rpm. Varian Standard hanya dipadankan dengan kotak gear automatik lima-kelajuan, manakala varian Executive dan Premium hanya dilengkapi dengan transmisi CVT automatik.

Walau bagaimanapun, perpindahan komponen dari Iriz ke Persona bukan dibuat dengan mudah secara hanya ‘menyalin’ kesemuanya. Menurut Proton, talaan pada pemetaan enjin telah dilakukan agar karekter enjin berkenaan lebih sesuai dengan badan sedan Persona. Kotak gear CVT pada Persona ini juga telah diberikan talaan lebih halus. Kenyataan dari Proton ini bukan omongan kosong.

Trunk Boot empty

Ya, tidak seperti transmisi Iriz yang membuatkan enjin mengaum ‘seperti ada sesuatu yang tidak kena’, talaan CVT pada Persona jauh lebih halus, linear, dan selesa untuk dipandu. Secara terus terang, tiada lagi perasaan ‘hendak marah’ saya terhadap CVT Proton seperti pada Iriz mahupun Preve dan boleh dikatakan ia kini setanding dengan CVT pada kereta jenama import yang lain. Walau bagaimanapun, kesemua ini hanya dilakukan dengan mengubah talaan pada perisian. Komponen hardware lain pada sistem transmisi adalah kekal sama dengan Iriz, oleh itu, nisbahnya juga sama, membuatkan kelajuan enjin berada pada paras sekitar 3,000 rpm semasa dipacu pada kelajuan 110 km/j.

Selain itu, Proton turut melakukan penambahbaikkan pada bahagian lain untuk mengurangkan dengan drastik kadar NVH pada Persona. Berbanding Iriz yang mempunyai empat cagak (mounting) enjin, Persona hanya dilengkapi hanya tiga cagak untuk mengurangkan gegaran yang dipindahkan dari enjin ke badan kereta. Ekzos Persona juga ditukar, dan kini dilengkapi dengan ekzos dari Faurecia yang mengurangkan bunyi ‘berdengung’ ketika kelajuan enjin rendah (seperti Iriz) dan bunyi keseluruhan sebanyak enam desibel.

Untuk mereka yang menggemari transmisi manual, Persona 1.6 Standard manual tidak akan menghampakan anda. Jika anda tertarik dengan prestasi Iriz 1.3 liter manual sebelum ini, anda pasti teruja untuk memandu Persona 1.6L manual. Seluruh kuasa dari enjin dapat dipindahkan dengan lancar ke roda hadapan, sehingga jarum rpm ‘melentok’ redline dengan lancar. Pergerakan tuil gear juga agak lancar dari gear ke gear, tanpa apa-apa sekatan.

Proton juga berusaha keras untuk meningkatkan kedapan bunyi pada kabin Persona. Pada sesi uji pandu dalam litar ini, dapat dirasakan Persona memang jauh lebih senyap dari Iriz. Bukan sahaja bunyi tayar lebih senyap, malah bunyi ‘berdesing’ pada kotak gear CVT juga hampir tidak kedengaran. Hanya bunyi angin yang jelas masuk ke kabin, terutamanya pada kelajuan tinggi.

2016 Proton Persona 2

Karekter lain yang cemerlang pada Iriz seperti dinamik pemanduan dan prestasi brek adalah kekal pada Persona. Tetapi dengan ujian yang hanya terhad di litar yang berbentuk bulat ini, tiada ulasan lanjut yang boleh saya berikan berkenaan pengendalian Persona.

Kesemua varian Persona dilengkapi dengan Sistem Kawalan Kestabilan (VSC). Pada sesi petang ini, jurutera Proton turut melakukan demonstrasi keberkesanan sistem VSC berkenaan. Bagaimana? Persona dipandu dengan pergerakan slalom yang agresif dengan kelajuan melebihi 100 km/j, dan masih bleh dikawal tanpa berpusing kearah bertentangan!

Secara keseluruhannya, Persona berjaya memberikan kami impresi awal yang bagus. Berbaloikah untuk dibeli? Ini kita terpaksa tunggu sehingga pelancarannya nanti, untuk mengetahui harga sebenarnya dan adakah ia bernilai untuk dengan semua kelengkapan yang ditawarkan oleh Proton ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Ermmm on Aug 12, 2016 at 11:11 pm

    Dah ada bukak for booking dah pun.

    Persona STD manual RM46,500
    Persona STD CVT RM49,500
    Persona EXEC CVT RM55,500
    Persona Premium CVT RM59,000

    Seller and agent proton yang mention.

    Well-loved. Like or Dislike: Thumb up 55 Thumb down 2
    • Same L0rrr on Aug 15, 2016 at 8:55 am

      Same story.. Campro Engine & CVT Bising Punch Powertrain gear box. And the old logo at the steering wheel.. Oh my! Proton never change!

      Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 22
  • Jason Bourne on Aug 13, 2016 at 9:05 am

    At last, there is proper indication if our highway speed limit 110km/h.

    Like or Dislike: Thumb up 5 Thumb down 0
  • Syuk2016 on Aug 13, 2016 at 9:10 am

    Tak sabar nak pandu uji.

    Like or Dislike: Thumb up 13 Thumb down 0
  • Hamdan on Aug 13, 2016 at 7:54 pm

    Sorry bro. Nak betulkan. Semua model ni sebelum pinjaman rm 1.5 bil dibuat.

    Like or Dislike: Thumb up 9 Thumb down 1
  • Harap masalah kecil spt power window, handle mudah patah, lock pintu selalu rosak, fius yg berkongsi fungsi dapat diatasi….

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 5
    • Mat34 on Aug 15, 2016 at 9:12 am

      Ye.. Masalah kecil mcm tu le yang buang masa lepak di SC Proton tu,.. Nanti mekanik cakap, biasalah Proton!

      Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 3
  • good improvement proton. untuk akan dtg boleh design yg lg hot meleleh. boleh challenge honda punya design. design no 1, NVH dah dipuji. mesti boleh jalan. yang kutuk2 tu perasan kereta import tu perfect. padahal ada je problem yg remeh2 pun.

    Like or Dislike: Thumb up 5 Thumb down 0
  • Traubohskali on Sep 01, 2016 at 5:38 am

    Satu je yg kurng fhm. Apasal Proton jual kete dlm negara lbh mhl dr yg dieksport. Spec eksport plk lbh baik bndng dlm negara. Cer cite, betul ke idak?

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • zainal on Feb 20, 2017 at 9:45 am

    bunyi pinking masih ada..pakai ron 97 pun masih pinking.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • shahril on Mar 20, 2017 at 2:50 pm

    persona vvt 2016 bunyi pinking masih ada.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required