proton-pasir-gudang-johor-3s-a

Proton telah memperluaskan operasi tujuh hari di pusat-pusat servis terpilih yang terdiri daripada cawangan 3S dan 2S, berkuatkuasa pada 6 Ogos 2016. Sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk mengutamakan pelanggan, syarikat ini mahu memperhebatkan usaha untuk meningkatkan perkhidmatan selepas jualannya.

Operasi selama tujuh hari ini bertujuan untuk mengurangkan tempoh menunggu pelanggan untuk kereta mereka dibaiki dan memberikan lebih pilihan untuk mereka menghantar kereta bagi tujuan servis dan penyelenggaraan pada hujung minggu.

“Apabila kita memulakan operasi selama tujuh hari di pusat-pusat servis yang terpilih sebelum ini, ia hanya menyediakan perkhidmatan servis biasa dan waktu operasi hanya sehingga pukul 12 tengahari pada hari minggu. Tetapi sekarang, bagi pusat-pusat servis yang terpilih kami telah melanjutkan waktu operasi pada hari Ahad iaitu sehingga jam 5 petang.”

“Dengan penambahbaikan yang diberikan ini, pelanggan kami kini lebih mudah untuk menghantar kereta mereka untuk diservis dan membuat tuntutan jaminan pada hujung minggu. Ini merupakan antara langkah bagi menyediakan kemuadahan kepada mereka terutamanya jika mereka tidak berkesempatan untuk mengambil cuti pada hari biasa,” kata Dato’ Ahmad Fuaad Kenali, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

Bermula 6 Ogos ini, sembilan pusat servis akan menyediakan perkhidmatan tujuh hari ini termasuk tuntutan jaminan dan pembaikan. Dari Johor ke Pulau Pinang, cawangan-cawangan yang terlibat ialah Plentong, Johor Bahru, Peringgit, Melaka, Senawang, Seremban, Temerloh, Alor Setar, Jalan Tunku Abdul Rahman, Ipoh, Juru Pulau Pinang, Mutiara Damansara Petaling Jaya dan Pusat Kecemerlangan di Subang.

Manakala dari 1 Oktober ini pula, penambahan 14 lagi pusat servis akan menyusul dan empat cawangan seterusnya akan mula memberikan perkhidmatan yang sama pada 1 Disember 2016.

Waktu perniagaan bagi kesemua cawangan ini adalah dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang, dari Isnin hingga Ahad, dan untuk memastikan kekosongan slot bagi servis, pelanggan dinasihatkan untuk membuat temujanji di cawangan-cawangan ini, temujanji secara ‘walk in’ juga sangat dialu-alukan.

Dalam masa ya g sama, mula 1 Ogos lalu, Proton telah melaksanakan kajian semula harga bagi alat-alat ganti terpilih termasuk pengecas turbo, ECU dan himpunan transmisi. Kajian semula harga pada alat-alat ganti ini adalah bertujuan untuk menggalakkan pelanggan menggunakan alat ganti tulen yang sepatutnya dipasang di semua pusat perkhidmatan yang diiktiraf dan membantu memperbaiki kos pemilikan kereta-kereta Proton. Pengurangan harga bagi alat-alat yang terlibat dalam kajian semula harga ini akan menyaksikan pengurangan sekitar 12% hingga 30%.