01_TMG_TS050_BM

Toyota menghadapi musim yang sukar dalam Kejuaraan Endurance Dunia tahun lalu apabila gagal mempertahankan kedua-dua gelaran pemandu dan pengeluar, menghabiskan musim dengan kedudukan kelima dan ketiga. Pengeluar automotif terbesar dunia itu kini kembali dengan jentera LMP1 baharu, Toyota TS050 Hybrid untuk musim 2016.

Selepas empat musim bertanding menggunakan enjin V8 tanpa induksi paksaan, pasukan Toyota kini menggugurkan penggunaan enjin tersebut bagi memberi laluan kepada enjin turbo 2.4 liter V6 dengan pancitan petrol terus. Toyota mengatakan penukaran unit janakuasa tersebut adalah perlu untuk memenuhi undang-undang baharu kejuaraan yang mengehadkan jumlah kemasukan bahan api ke dalam enjin, dan ini juga merupakan peluang untuk meneruskan perpindahan teknologi dan pengetahuan dari kereta lumba ke kereta produksi biasa, di mana enjin sedemikian semakin banyak dibina untuk kereta produksi biasa.

Penggunaan kapasitor super yang menjana motor elektrik berkembar pada jentera TS040 tahun lalu juga digugurkan, digantikan dengan bateri lithium-ion. Ini membolehkan pasukan itu bertukar kepada sistem hibrid lapan megajoule, spesifikasi tertinggi yang dibenarkan dibawah undang-undang baharu perlumbaan. Tiada lagi angka jumlah kuasa kuda yang dihasilkan oleh jentera ini diumumkan, tetapi dijangkakan TS050 bakal menjana sejumlah 1000 hp seperti jentera sebelum ini.

09_TMG_TS050_BM

Sistem penyejukkan yang berbeza diperlukan untuk unit janakuasa baharu tersebut, termasuk sistem transmisi yang turut ditingkattaraf untuk mengawal tork tambahan yang bakal dihasilkan oleh enjin baharu itu. Pakej aerodinamik turut direka semula, dengan motor hadapan diubah posisinya untuk memberikan aliran udara dibahagian lantai yang lebih baik, seterusnya memperbaiki prestasi keseluruhan kereta ini. Talaan semula pada bahagian kinematik suspensi turut dilakukan untuk penggunaan tayar yang lebih optima.

TS050 yang tampil dengan ‘livery‘ merah-putih tradisi Toyota sejak generasi pertama Toyota GT-One TS020 telah diuji lebih dari 22,000 km dalam aspek prestasi dan ketahanan dengan hasil ujian yang positif. Ujian berikutnya akan dilakukan di litar Paul Ricard hujung minggu ini. Musim WEC tahun ini akan bermula 17 April hadapan dengan perlumbaan enam jam di litar Silverstone, UK.