Pemandu pasukan Mayhem-Fast Autoworks MaxxOil, Keifli Othman mendominasi perlumbaan pusingan pertama Malaysia Speed Festival (MSF) 2017 untuk kategori Race Car Open dengan memenangi kedua-dua perlumbaan kategori tersebut hujung minggu lalu. Ini membolehkan bekas juara Formula Asia tersebut mendahului pungutan mata MSF musim ini di hadapan Faidzil Alang dari Fast Lap Autoworks dan juga Mark Darwin yang berlumba untuk pasukan SITTY-DNT.

“Ini merupakan keputusan yang menakjubkan untuk pasukan dan untuk menebus kegagalan musim lalu,” kata Keifli. “Kejuaraan ini masih lagi diperingkat permulaan dan saya tidak akan menjangkakan pihak lawan berpuas hati dengan keputusan mereka hari ini. Kami jangkakan mereka akan membuat peningkatan pada perlumbaan seterusnya, bermaksud kami perlu lebih berkerja keras untuk mengekalkan momentum ini dan diharapkan akan memberikan kami gelaran yang terlepas pada musim lalu.”

Satu lagi kategori yang menjadi tumpuan – Saga Cup Expert – menyaksikan Boy Wong dari pasukan ST Wangan memenangi kedua-dua perlumbaan pada hari tersebut.

Dengan ketiadaan Tengku Djan Ley dan pelumba GT Farique Hairuman pada perlumbaan kali ini mungkin sedikit memudahkan tugas Wong, tetapi masih perlu memberikan tumpuan kepada pelumba cabaran World Time Attack, Aliff Hamdan dari pasukan JNA Racing yang menamatkan perlumbaan ini ditempat kedua. Wong turut dapat mengekalkan jaraknya dengan jentera-jentera lebih laju dalam kategori Super 1,500 NA pada perlumbaan pertama.

“Saya telah membuat permulaan yang baik dan ini memberikan kelebihan kerana saya tahu kesesakan bakal berlaku pada selekoh pertama, terutamanya pada grid yang besar,” kata Wong. “Mengelakkan dari masalah merupakan aspek paling penting dan saya dapat rasakan pelumba di belakang saya menghadapi masalah dan membuatkan tugas saya agak mudah. Untuk perlumbaan seterusnya, saya jangka pihak lawan akan kembali dengan lebih kuat tetapi saya telah bersedia untuknya dan tidak sabar untuk pertarungan yang sengit.”

Malaysia Speed Festival akan kembali ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk pusingan kedua pada 16 April ini. Tiket untuk padok dijual pada harga RM20 sebelum pukul 11 pagi pada hari perlumbaan, dan RM35 selepas waktu tersebut. Untuk maklumat lanjut da keputusan penuh perlumbaan, layari laman sesawang rasmi MSF Racing atau laman Facebook rasmi mereka.