Toyota GRMN Yaris 2022 – hanya 2 tempat duduk, lebih ringan & kuat, 500 unit, dari RM269k di Jepun

Toyota GRMN Yaris 2022 – hanya 2 tempat duduk, lebih ringan & kuat, 500 unit, dari RM269k di Jepun

Seperti yang diumumkan minggu lalu, hari ini secara rasmi versi lebih liar untuk hot-hatch GR Yaris, digelar sebagai GRMN Yaris 2022 didedahkan sepenuhnya di hari pembukaan Tokyo Auto Salon 2022 yang berlangsung di dewan Makuhari Messe.

Ini merupakan Yaris kedua yang menerima lencana Gazoo Racing Master of Nürburgring selepas model edisi terhad yang dihasilkan menerusi Yaris generasi sebelum ini. Model lebih hardcore ini menerima tingkat taraf dari segenap sudut bagi menjadikan ia lebih ringan, lebih berkuasa serta memberikan pengendalian lebih baik, namun hanya dihasilkan sebanyak 500 unit, semuanya hanya untuk pasaran Jepun.

Berbanding GR Yaris standard, GRMN Yaris ini menerima titik kimpalan sebanyak 545 lebih banyak serta bahan pelekat struktur yang digunakan juga adalah 12 meter lebih panjang bagi memberikan kerangka badan yang jauh lebih kuat. Proses yang seakan sama dibuat pada kereta lumba sebenar ini memberikan respon yang lebih baik terhadap input yang diberikan oleh pemandu.

Toyota GRMN Yaris Circuit Package

Jika anda rasa GR Yaris standard sudah cukup ringan dengan diberikan bumbung plastik diperkuat gentian karbon (CFRP) dan juga bonet hadapan aluminium, GRMN ini dihasilkan lebih ringan dengan diberikan spoiler belakang, bumbung dan juga bonet hadapan kesemuanya diperbuat dari bahan CFRP. Bonet hadapan baharu tersebut turut menampilkan rupa lebih garang serta memberikan fungsi penyejukan lebih baik kerana diberikan liang pengudaraan.

Manakala pada sebelah dalam kabin, tempat duduk hadapan asal GR Yaris telah digantikan dengan tempat duduk perlumbaan ‘bucket mati’ dari Recaro (turut dibekalkan dengan beg udara sisi), manakala tempat duduk belakang dibuang terus dan turut menyerlahkan pendakap badan tambahan yang dipasang menghubungkan bahagian atas kedua-dua belah suspensi belakang dan juga badan kereta.

Menurut Toyota, proses penggantian komponen-komponen dari material lebih ringan serta membuang terus tempat duduk belakang ini membolehkan berat GRMN Yaris ini ditimbang 20 kg lebih ringan berbanding GR Yaris biasa. Ia turut diberikan balutan Alcantara pada roda stereng, tombol gear dan brek tangan, manakala plak GR Yaris asal pada konsol tengah telah digantikan dengan plak GRMN.

Toyota GRMN Yaris Rally Package

Model lebih liar ini masih dijana oleh enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder turbo. Menerusi kertas spesifikasi yang disiarkan, ia masih menjana kuasa 272 PS pada takat 6,500 rpm yang sama seperti GR Yaris JDM, namun angka tork yang dinyatakan adalah lebih tinggi iaitu 390 Nm bermula 3,000 hingga 4,600 rpm, atau 20 Nm lebih besar dari model standard.

Ia juga masih dibekalkan dengan kotak gear manual enam kelajuan, namun ia menampilkan nisbah gear lebih rapat untuk gear 1 hingga 4, serta diberikan nisbah gear akhir 4.250 berbanding 3.941 pada GR Yaris standard. Menurut Toyota lagi, material logam lebih kuat telah digunakan untuk menghasilkan gear 1, 3, 4, 5 dan gear akhir bagi menambah baik aspek kejutan tork dan ketahanan jarak jauh.

Alihan kuasa dari enjin ke kotak gear turut ditambahbaik menerusi pemadanan klac logam ‘tiga kaki’. Sistem pacuan semua roda GR-Four masih dikekalkan, tetapi LSD jenis torsen pada GR Yaris biasa telah digantikan dengan LSD jenis mekanikal untuk kedua-dua gandar hadapan dan belakang GRMN Yaris ini.

Toyota GRMN Yaris 2022 – hanya 2 tempat duduk, lebih ringan & kuat, 500 unit, dari RM269k di Jepun

Pembeli turut ditawarkan GRMN Yaris ini dalam dua pilihan pakej iaitu Circuit Package iaitu model yang dihasilkan berdasarkan input yang Toyota dapat dalam perlumbaan touring car Super Taikyu di Jepun, dan juga Rally Package yang menerima input menerusi GR Yaris yang bertanding dan menjuarai Kejohanan Rali Jepun tahun lalu.

Model yang datang dengan Rally Package diberikan spoiler belakang CFRP yang nampak sama seperti spoiler GR Yaris standard. Manakala versi Circuit Package pula diberikan spoiler sayap GT CFRP dengan pemegang rekaan ‘leher angsa’, spoiler bawah bampar hadapan, diffuser udara pada bahagian bawah skirt sisi, serta rim 18-inci dari BBS yang direka khas untuk model ini.

Bagi model Circuit Package, ia turut datang dengan set brek 18-inci, dan juga penyerap hentak Bilstein boleh laras (hanya untuk larasan hentakan). Manakala untuk Rally Package, ia datang dengan penyerap hentak bersama set penghubung penstabil lebih pendek, set pelindung bawah badan dan juga roll bar (bersama bar sisi) kesemuanya binaan dari GR.

Sama seperti GR Yaris, GRMN Yaris ini turut dihasilkan fasiliti GR Factory di kilang Motomachi Toyota. Ia akan dijual pada harga bermula 7.317 juta yen (RM268,928) yen untuk versi asas. Pembeli yang memilih model dengan Rally Package pula perlu membayar 8,378,764 yen (RM307,976) untuk GRMN Yaris ini, manakala model dengan Circuit Package pula dijual pada harga 8.467 juta yen (RM311,219).

Namun untuk membeli GRMN Yaris ini, anda bukan hanya memerlukan duit, tetapi perlu disertakan dengan ‘nasib baik’. Ini kerana kesemua 500 unit hot-hatch yang hanya akan dijual menerusi pengedar GR Garage di seluruh Jepun tersebut memerlukan pembeli mencabut loteri bagi melayakkan mereka membelinya – keputusan cabutan loteri tersebut hanya akan diketahui selepas 9 Mac nanti.

Walau bagaimanapun, pemilik-pemilik GR Yaris sedia ada akan ditawarkan dengan sebahagian komponen-komponen tingkat taraf yang dihasilkan untuk GRMN Yaris ini bermula musim luruh 2022.

Manakala untuk pemilik-pemilik GRMN Yaris kelak, mereka turut akan menerima sokongan tambahan dari Toyota menerusi program Update and Personalisation. Program ini menawarkan pemilik model tersebut untuk merasai pengalaman seakan kereta lumba sebenar menerusi GR Garage, serta membantu mereka untuk menala kereta masing-masing bagi mendapat prestasi optimum di pelbagai litar di Jepun.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required