Perodua Axia D74A 2023 dilancarkan — 1.0L CVT, saiz lebih besar, empat varian G/X/SE/AV, dari RM38,600

Perodua Axia D74A 2023 dilancarkan — 1.0L CVT, saiz lebih besar, empat varian G/X/SE/AV, dari RM38,600

Perodua hari ini melancarkan secara rasmi model kompak hatchback segmen A, Axia 2023 D74A generasi kedua untuk pasaran tempatan. Ada empat varian diperkenalkan, G, X, SE dan AV, dengan harga masing-masing bermula RM38,600, RM40,000, RM44,000 dan RM49,500. Harga ini sedikit lebih rendah berbanding harga anggaran yang dinyatakan pada 31 Januari lalu.

Perodua Axia mula diperkenalkan pada tahun 2014, dan sudah berada dalam pasaran selama lapan tahun. Sepanjang tempoh itu, ia telah diberikan dua kali kemaskini, yang pertama pada Januari 2017 dan yang kedua, pada September 2019. Dan, setakat Januari 2023, sejumlah 582,728 unit Axia telah berjaya dijual.

Jadi, apa kelebihan untuk ditawarkan oleh Axia generasi kedua ini? Pertama, ia adalah model serba baru yang sudah meninggalkan jauh versi sebelumnya. Axia kini merupakan model ketiga yang dibangunkan menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) selepas SUV Ativa dan MPV Alza sebelum ini. Bagi Axia 2023, projek pembangunannya melibatkan belanja RM546 juta, dimulakan pada Oktober 2019 dan mengambil masa kira-kira 300,000 jam kerja, termasuk bantuan dari Daihatsu.

Perodua Axia D74A 2023 dilancarkan — 1.0L CVT, saiz lebih besar, empat varian G/X/SE/AV, dari RM38,600

Dan, dengan platform maju dan terbaru ini, ada banyak kelebihan yang datang sekali. Antaranya, kita lihat dulu saiznya: Axia kini merupakan sebuah kereta yang lebih besar — lebih panjang, lebar dan rendah — berbanding sebelumnya. Axia 2023 mempunyai panjang 3,760 mm, lebih 115 mm berbanding yang sebelumnnya. Lebar pula model generasi baru ini ada tambahan 45 mm, menjadi 1,665 mm manakala tinggi pula 1,495 mm, berkurang 15 mm.

Jarak antara rodanya pula ialah 2,525 mm, melibatkan pertambahan 60 mm, sementara jarak kelegaan tanah Axia 2023 baru ini berkurang 20 mm menjadi 150 mm. Ini sebenarnya menjadikan saiz Axia 2023 lebih menghampiri saiz Myvi: yang panjangnya 3,895 mm (+135 mm), lebar 1,735 mm (+70 mm), tinggi 1,515 mm (+20 mm), jarak antara roda 2,500 mm (-25 mm) dan jarak kelegaan tanah 140 mm (-10 mm).

Kelebihan daripada pertambahan dimensi ini boleh dirasakan dengan ruang kabin yang lebih luas, dengan jarak antara penumpang kiri dan kanan depan bertambah 40 mm, serta ruang barangan juga lebih luas, dengan 610 mm (+47 mm) luas tapaknya dari penyandar kerusi belakang. Walaupun saiz Axia 2023 meningkat, radius pusingannya kekal 4.5 m untuk memudahkan kendalian kereta kompak ini dalam bandar.

Perodua Axia D74A 2023 dilancarkan — 1.0L CVT, saiz lebih besar, empat varian G/X/SE/AV, dari RM38,600

Axia ketika mula-mula dihasilkan dulu merupakan model pertama Perodua di bawah Pelan Peralihan Perniagaan syarikat itu. Dan ini kini, melalui Axia 2023, Perodua telah berjaya mencapai tahap pembangunan bahagian atas kenderaan (upper body) sendiri dengan bantuan Dihatsu. Lebih penting, pasukan dari Perodua juga telah diberi kepercayaan untuk terlibat di peringkat global bagi pembangunan model DNGA.

Ringkasnya, model global ini turut melibatkan penyertaan dan kepakaran pasukan dari Perodua sendiri, sejak dari fasa rekaan dan pembangunan lagi. Sebagai contoh, “kembar” kepada Axia 2023 ini misalnya, Toyota Agya, baru saja dilancarkan di Indonesia semalam. Ini merupakan sebuah model yang dibangunkan secara bersama, dengan nama berbeza serta untuk pasaran berbeza — tetapi secara ideal merupakan model yang sama, begitu juga dengan Daihatsu Ayla.

Bagi sistem janaannya pula, Axia 2023 masih mengekalkan enjin 1.0 liter 1KR-VE dengan DVVT yang sama. Ura-ura enjin turbo yang bertiup sebelum ini tidak betul. Namun, gandingan transmisi enjin berkenaan telah diubah, tiada lagi kotak gear automatik empat-kelajuan yang lama, sebaliknya digantikan dengan transmisi D-CVT yang baru — unit sama digunakan pada Ativa, Alza dan juga Myvi semasa.

Perodua Axia D74A 2023 dilancarkan — 1.0L CVT, saiz lebih besar, empat varian G/X/SE/AV, dari RM38,600

Menurut Perodua, perubahan gabungan ini — jika mengikut kitaran ujian penggunaan minyak NEDC — memberikan bacaan yang lebih baik bagi Axia 2023, iaitu 23.3 km/l berbanding 21.6 km/l bagi model sebelumnya. Namun, jika mengikut kitaran ujian MDC (Malaysia Driving Cycle) pula, ia mampu memberikan sebanyak 27.4 km/l. Ini kurang lebih bersamaan dengan RM28 duit minyak RON 95 sahaja untuk perjalanan 365 km ke Pulau Pinang (bagi varian SE dan AV, dengan ciri Eco Idle).

Walaupun kini lebih besar dan bahagian depannya lebih petak dan bersegi, aspek aerodinamiknya adalah 10% lebih baik berbanding yang lama. Ini disumbangkan oleh pendekatan rekaannya, serta bahagian spoiler dan sirip yang digunakan. Selain itu, penebat bunyi dan kedudukan intake enjin yang diubah juga membantu kereta ini ketika meredah banjir.

Harga pengenalan bagi Axia 2023 ini sebenarnya lebih tinggi berbanding model lama. Misalnya, Axia facelift 2019 dijual RM34,990 bagi varian GXtra dengan VSC dan RM43,190 untuk AV. Ini melibatkan perbezaan yang besar juga, sekitar RM4k untuk varian paling rendah hinggalah RM6k untuk AV. Dan, ketika ini, tiada Axia E yang kosong dengan transmisi manual untuk model baru ini yang ditawarkan.

Perodua Axia D74A 2023 dilancarkan — 1.0L CVT, saiz lebih besar, empat varian G/X/SE/AV, dari RM38,600

Kenapa harga makin mahal? Perodua maklumkan, itu adalah kerana Axia kini merupakan sebuah kereta yang lebih besar dan sarat dengan kelengkapan teknologi yang sebelum ini tidak ditawarkan untuknya. Nilai tambahan adalah sekitar RM5,800 bagi semua varian. Untuk Axia E, ia masih akan diperkenalkan nanti, mungkin selepas Hari Raya Aidilfitri — dengan asas E yang sama seperti ini dan bukannya dari versi D74A, tetapi dengan kemaskini dan harga yang masih di bawah RM25k.

Kini, ciri VSC adalah standard untuk semua varian, dan untuk itu, tiada lagi varian GXtra. Axia G yang paling asas satu-satunya yang datang dengan lampu halogen dan tiang B dalam warna badan. Tiada sistem tanpa kunci dan butang Push Start, dan masih menggunakan kunci seperti biasa. Rim pula menggunakan saiz 14-inci aloi dengan tayar 175/65 Toyo Proxes CR1 — tayar dan rim ini juga standard untuk semua varian.

Bahagian dalam Axia G menggunakan kerusi fabrik, radio dengan USB/Bluetooth, tombol aircond, kunci pintu automatik, cermin sisi elektrik dan speedo meter analog dengan lampu oren dan paparan trip komputer 4.2-inci. Aspek keselamatan, ia datang dengan ABS/EBD/BA, VSC, cagak Isofix, sensor undur dan dua beg udara.

Naik satu varian, Axia X melibatkan banyak pertambahan kelengkapan untuk harganya. Lampu utama LED automatik (dengan larasan manual) diberikan, ada juga lampu “follow me home”, stereng larasan atas-bawah, sensor sudut depan dan sistem tanpa kunci dan Push Start. Lampu utama LED ini penawaran baru untuk Axia, begitu juga dengan larasan stereng. Jika bajet mengizinkan dan ingin mempertimbangkan Axia untuk dibeli, mulalah dari varian X.

Varian SE pula, DRL LED antara yang ditambah — ini bahkan tiada pada Ativa AV dan juga Alza AV (yang disekalikan dalam bodykit GearUp untuk dua model tersebut). Axia SE juga diberikan jalur krom pada gril (yang menghubungkan lampu posisi), lip depan dan skirting sisi. Spoiler belakang juga ada, dan cermin sisi lipatan automatik yang bersekali dengan lampu isyarat.

Di dalam, SE menerima kerusi “semi-bucket” dengan penampan yang tebal, perehat kepala belakang berasingan, berbeza dari G/X, kawalan pendingin digital (dengan dua posisi memori, seperti Ativa/Alza) dan butang PWR di stereng. Juga ada filem penapis haba diberikan sekali.

Varian AV pula memberikan semua yang ada pada Axia untuk pelanggan, pada tahap yang hampir sama dengan penawaran Ativa/Alza. Ini termasuklah panel instrumen digital 7.0-inci, head unit dengan skrin sentuh sembilan-inci (dari Ativa, tiada Apple CarPlay/Android Auto) dengan butang kawalan di stereng serta kamera undur. Kerusi melibatkan sebahagiannya balutan kulit, dan stereng juga balutan kulit.

Hanya Axia AV yang menerima ciri lampu tinggi automatik untuk lampu depannya. Dari aspek keselamatan, ada enam beg udara (depan, sisi, tirai; Axia lama hanya ada maksimum dua), amaran penukaran lorong, peninjau titik buta dan amaran lintasan trafik di belakang. Selain itu ada juga ASA 3.0, yang terdiri daripada AEB dan amaran pergerakan kereta depan: semua ini ada pada Axia 2023.

Perodua Axia 2023 D74A sudah lari jauh daripada penampilan Axia lama. Saiz yang lebih besar memberikan penampilan yang jauh lebih menonjol dan tidak lagi kelihatan kecil. Bentuk umumnya berbeza: bahagian depan lebih tegak dan lurus, dan bahagian belakang pula lebih lebih landai sudut cerminnya, seperti kebiasaan kereta hatchback kebanyakan.

Bahagian sisinya juga kini lebih banyak garis yang kelihatan, terutama pada pemegang pintu yang membawa ke lekuk roda depan — tidak lagi kelihatan kosong seperti sebelumnya. Di belakang juga, walaupun nampak ringkas, tetap banyak sentuhan bersegi yang diberikan, dan itu tidak hanya tertakluk pada bampar sahaja.

Di dalam, papan pemuka juga nampak moden, dengan skrin terapung dan tapak gear yang lebih tinggi. Varian lebih rendah yang tiada skrin ini juga tetap memerima head unit kecil, dan bukannya radio besar seperti untuk Ativa X. Paparan dan bahagian tengah papan pemuka ini disudutkan ke arah pemandu. Keseluruhan rekaan tersebut membuatkan dalaman Axia nampak lebar; ini sesuatu yang menarik untuk Axia.

Lima warna ditawarkan untuk Axia 2023 D74A ini — Granite Grey, Lava Red, Glittering Silver, Ivory White (solid) dan Coral Blue. Yang terakhir ini warna terbaru bagi barisan model Perodua, dan menjadi warna utama untuk Axia. Ketika pelancaran juga, belum ada perincian tentang bodykit GearUp untuk Axia ini, mungkin ia akan tiba kemudian. Apa pandangan anda tentang Axia generasi kedua ini?

    Perodua Axia G 2023
    Ciri standard:

    Mekanikal

  • Enjin 1.0L VVT-i tiga-silinder (1KR-VE)
  • 67 hp @ 6,000 rpm, 91 Nm @ 4,400 rpm
  • Penggunaan minyak 25.3 km/l MDC (23.3 km/l NEDC)
  • Transmisi automatik D-CVT
  • Tangki minyak 33-litre
  • Stereng kuasa elektrik (EPS)
  • Radius pusingan 4.5-meter
  • Brek tangan manual
  • Cakera brek berliang (depan), brek dram (belakang)
  • 3,760 mm panjang, 1,665 mm lebar, 1,495 mm tinggi, 2,525 mm jarak antara roda
  • Jarak kelegaan tanah 150 mm
  • Jaminan 5-tahun/150,000 km
  • Luaran

  • Lampu halogen
  • Cermin sisi warna badan larasan elektrik dengan lipatan manual
  • Rim aloi 14-inci dengan tayar 175/65 Toyo Proxes CR1
  • Dalaman

  • Kunci pintu automatik sensitif terhadap kelajuan
  • Kerusi fabrik
  • Kerusi belakang boleh lipat dengan perehat kepala “bantal”
  • Kerusi pemandu boleh laras ketinggian
  • Tingkap kuasa, auto naik/turun untuk pemandu sahaja
  • Larasan pendingin manual
  • Panel meter analog dengan paparan LCD multi-info 4.2-inci
  • Head unit tanpa skrin sentuh dengan USB/Bluetooth
  • Empat pembesar suara
  • Stereng urethane
  • Keselamatan

  • Dua beg udara
  • ASB, EBD, Brake Assist, Bantun mula mendaki, VSC
  • Sensor parkir belakang
  • Isofix
  • Perodua Axia X 2023

    Tambahan:

    Luaran

  • Sistem tanpa kunci dengan sensor sentuh elektrostatik
  • Lampu automatik
  • Lampu LED dengan larasan tahap manual
  • Lampu posisi LED
  • Lampu “follo me home”
  • Tiang B hitam
  • Dalaman

  • Stereng larasan atas/bawah
  • Butang Push Start
  • Keselamatan

  • Sensor parkir di sudut depan
  • Perodua Axia SE 2023

    Tambahan:

    Mekanikal

  • Eco Idle Start/Stop
  • Mod Power
  • Penggunaan minyak 27.4 km/l MDC
  • Luaran

  • Lampu DRL LED
  • Jalur krom di gril
  • Skirting depan
  • Skirting sisi
  • Spoiler belakang
  • Cermin sisi lipatan automatik dengan lampu isyarat
  • Filem penapis haba
  • Dalaman

  • Butang mod Power di stereng
  • Kerusi semi-bucket
  • Perehat kepala belakang terpisah
  • Kawalan pendingin digital dengan memori
  • Meter rev
  • Perodua Axia AV 2023

    Tambahan:

    Luaran

  • Lampu tinggi automatik
  • Dalaman

  • Panel instrumen digital 7.0-inci dengan butang kawalan stereng
  • Head unit dengan skrin sentuh 9.0-inci dengan butang kawalan stereng
  • Kerusi balutan semi-kulit
  • Stereng balutan kulit
  • Keselamatan

  • Enam beg udara
  • Amaran dan penghindaran penukaran lorong
  • Peninjau titik buta
  • Amaran lintasan trafik di belakang
  • ASA 3.0 termasuk AEB
  • Kamera undur

Perodua Axia AV 2023

Perodua Axia SE 2023

Perodua Axia X 2023 dengan GearUp

Perodua Axia G 2023

Perodua Axia 2023 D74A vs. Axia lama

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Learn more:

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required