Toyota Agya 2023 kembar Perodua Axia D74A didedahkan di Indonesia – ada varian GR Sport!

Toyota Agya 2023 kembar Perodua Axia D74A didedahkan di Indonesia – ada varian GR Sport!

Selepas Perodua mendedahkan Axia 2023 (dikenali dengan kod D74A) minggu lalu, salah satu kembarnya di Indonesia iaitu Toyota Agya telah pun diperkenalkan secara rasmi hari ini di negara berkenaan. Model ini ditawarkan dalam dua varian iaitu Agya standard (mungkin akan dikenali sebagai Agya G) dan juga versi lebih sporty iaitu Agya GR Sport.

Walaupun pendedahan ini digelar sebagai “World Premier”, Toyota Astra Motor (TAM) iaitu pengedar Toyota di Indonesia masih belum menyiarkan sebarang spesifikasi dan juga harga untuk hatchback ini. Hanya rupanya sahaja didedahkan dan beberapa maklumat yang tidak terperinci.

Sama seperti Axia, Agya diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), yang bukan sahaja bakal memberikan prestasi pemanduan dan juga keselesaan lebih baik, malah menampilkan saiz yang lebih besar dari sebelum ini.

Malah menurut Ketua Jurutera Eksekutif Agya 2023, Toshihiro Nakaho, saiz hatchback segmen-A ini menampilkan panjang badan yang sama seperti beberapa model segmen-B dalam pasaran. Walau bagaimanapun, spesifikasi dimensi sebenar model ini masih belum disebutkan secara rasmi sama ada oleh Toyota mahupun Perodua.

Toyota Agya 2023 kembar Perodua Axia D74A didedahkan di Indonesia – ada varian GR Sport!

Dari segi rupa, seperti biasa Toyota akan memberikan muka tersendiri pada Agya. Kluster lampu Agya nampaknya lebih nipis dari Axia, serta menampilkan jalur LED lampu panduan dengan kedudukan kontra – Agya di atas, dan Axia pula di bawah.

Gril untuk Agya biasa direka seakan gril Toyota Yaris pasaran Jepun. Pada bahagian ‘pipi’ bampar berkenaan diberikan lekuk seakan liang ambilan udara, dan apa yang menarik ia turut disertakan dengan lampu nyalaan siang yang disusun menegak seakan diambil terus dari Perodua Myvi facelift.

Bagi model GR Sport, bamparnya direka seakan mengambil inspirasi dari hot-hatch GR Yaris, dengan apron agesif menampilkan liang udara sisi bersegi dan besar, bersama rekaan spoiler pada bahagian bawah. Logo GR ditampal pada bar tengah yang memisahkan gril atas dan juga bawah.

Agya GR Sport juga menerima skirt sisi, spoiler belakang lebih besar berwarna hitam, bumbung berwarna hitam dan juga serlahan-serlahan hitam berkilat pada cermin sisi dan juga gril hadapan bagi memberikan rupa yang lebih garang.

Toyota Agya 2023 kembar Perodua Axia D74A didedahkan di Indonesia – ada varian GR Sport!

Bahagian sisi Agya ini menampilkan bayang badan dan juga garis-garis sisi yang sama seperti Axia D74A. Model standard menerima rim kemasan perak yang mungkin bersaiz 14-inci seperti Axia, manakala model GR Sport diberikan rim aloi lebih besar lima-jejari berkembar dua-tona yang dibalut dengan tayar profil lebih rendah.

Pada sebelah belakang, Agya dan Axia dilihat menampilkan rupa yang hampir sama seluruhnya, dibezakan hanya dengan logo-logo jenama masing-masing.

Pada bahagian dalaman, Agya turut berkongsi papan pemuka yang sama dengan Axia, dibezakan dengan beberapa perincian kecil termasuk panel kawalan pendingin hawa. Panel pada Agya ini tampil dengan rekaan berbeza, serta tidak diberikan dua slot memori seperti Axia.

Nampaknya Agya pasaran Indonesia ini juga tidak menerima paparan instrumen digital penuh seperti Axia, tetapi hanya diberikan meter kelajuan analog di tengah bersama bersama skrin pelbagai info TFT pada sebelah kanan. Untuk Axia, model tertinggi AV hadir dengan skrin instrumen TFT 7-inci yang nampak sama seperti pada Ativa dan Alza.

Toyota Agya 2023 kembar Perodua Axia D74A didedahkan di Indonesia – ada varian GR Sport!

Walau bagaimanapun, gambar papan pemuka yang disiarkan ini mungkin untuk model varian biasa Agya, dan paparan instrumen digital penuh mungkin ditawarkan pada Agya GR Sport. Ini kerana tiada sebarang kemasan yang sporty ditunjukkan seperti lazimnya Agya GR Sport terdahulu.

Apa yang dapat dilihat lagi, skrin infotainmen yang berdiri sendiri di tengah papan pemuka juga menunjukkan Agya turut diberikan sokongan Apple CarPlay. Juga, Agya nampaknya turut diberikan pedal penukar gear di belakang roda stereng.

Untuk unit rangkaian kuasa, Nakaho-san ada menyebut bahawa Agya generasi baharu ini diberikan ‘enjin baharu’ yang dipadankan dengan kotak gear CVT baharu. Bagi model generasi sebelumnya, Agya dijana oleh enjin 1.2 liter empat silinder 3NR-VE berkuasa 88 PS dan tork maksima 108 Nm, digandingkan dengan pilihan kotak gear empat kelajuan automatik atau lima-kelajuan manual.

‘Enjin baharu’ yang dimaksudkan Nakaho-san berkenaan berkemungkinan adalah enjin generasi baharu WA-VE 1.2L tiga-silinder yang kini digunakan varian lebih rendah kembar Perodua Ativa di Indonesia iaitu Daihatsu Rocky dan Toyota Raize.

Enjin berkenaan masih lagi menghasilkan 88 PS, namun tork yang dihasilkan sedikit tinggi iaitu 112 Nm. Manakala untuk transmisi, Agya mungkin menerima kotak gear D-CVT seperti Axia 2023 dan masih ditawarkan dengan pilihan kotak gear manual lima-kelajuan.

Dalam pendedahan yang dibuat ini, Nakaho-san turut ada menyatakan bahawa Agya GR Sport turut menerima talaan semula pada sistem stereng dan juga suspensi untuk memberikan pemanduan yang lebih sporty.

Esok, 14 Februari, Axia 2023 akan dilancarkan di Malaysia secara rasmi, dan beberapa perincian lain seperti saiznya akan didedahkan. Manakala untuk satu lagi kembar hatchback segmen-A ini iaitu Daihatsu Ayla generasi baharu dikhabarkan akan dilancarkan pada lusa, 15 Februari 2023, dan selepas itu mungkin perincian penuh untuk Agya 2023 ini akan didedahkan sepenuhnya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required