Perodua Axia D74A 2023 dibuka untuk tempahan — DNGA, 1.0L NA D-CVT, meter digital, dari RM38.6k

Perodua Axia D74A 2023 dibuka untuk tempahan — DNGA, 1.0L NA D-CVT, meter digital, dari RM38.6k

Perodua Axia 2023, yang mungkin menjadi pengenalan model baru paling penting tahun ini untuk pasaran tempatan dan dinanti-nantikan oleh ramai orang, kini sudah dibuka untuk tempahan. Dengan ini, perincian awal model serba baru dengan kod nama D74A yang menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) juga mula muncul.

Walaupun ini model serba baru yang banyak penawaran menarik, ia tidak hadir dengan enjin turbo. Sebaliknya, ia akan digerakkan oleh enjin “EEV dengan D-CVT”. Ini saja maklumat yang tertera dalam risalah awal berkaitan sistem janaannya. Kemungkinan besar unit 1KR-VE 1.0L tiga-silinder akan dikekalkan, dengan janaan 67 hp/91 Nm.

Perbezaan paling utama adalah kotak gearnya. Tiada lagi gear automatik empat-kelajuan, dan kini digantik dengan kotak gear D-CVT yang pertama kali digunakan oleh Ativa pada Mac 2021, diikuti oleh Myvi kemudiannya pada tahun yang sama. Untuk faham apa perbezaan D-CVT ini dengan CVT biasa, anda boleh lanjutkan bacaan di sini. Secara ringkasnya, D-CVT lebih cekap dan menjimatkan.

Perodua Axia D74A 2023 dibuka untuk tempahan — DNGA, 1.0L NA D-CVT, meter digital, dari RM38.6k

Dengan kotak gear baru ini, kadar penggunaan minyaknya kini 25.3 km/l, atau sehingga 27.4 km/l dengan sistem Start/Stop Eco Idle. Angka ini adalah mengikut Kitaran Pemanduan Malaysia (MDC), yang berdasarkan keadaan jalan dan corak pemanduan tempatan. Dan, jika mengikut standard New European Driving Cycle pula, Axia terbaru ini memberikan bacaan 23.2 km/l berbanding 21.6 km/l untuk model semasanya.

Sekadar perbandingan, dalam Myvi facelift, penggunaan minyaknya 5% lebih baik dengan pertukaran kotak gear ini (dengan enjin yang sama sebelum itu), sementara pecutan 0-100 km/j 20% lebih pantas. Jadi, Axia juga akan lebih pantas dan jimat jika mengikut corak yang sama ini.

Gabungan sistem janaan enjin 1.0L NA dan D-CVT ini adalah standard untuk Axia baru, yang datang dalam empat varian — G, X, SE dan AV. Dua varian terakhir ini ada tambahan Eco Idle dan mod Power (butang di stereng, seperti Ativa).

Yang membezakan SE dan AV dari luar pula adalah DRL LED yang disertakan, diletak dalam perumah bentuk T. Lampu utama LED pula adalah standard untuk varian X ke atas. Cermin sisi Axia juga kawalan elektrik, dengan yang SE/AV boleh dilipat automatik. Sistem tanpa kunci adalah standard untuk varian X ke atas, melalui sensor elektrostatik sentuhan, tanpa perlu tekan butang dari luar pintu. Ini sama seperti Ativa, dan merupakan naik taraf daripada butang hitam pada Myvi.

Perodua Axia D74A 2023 dibuka untuk tempahan — DNGA, 1.0L NA D-CVT, meter digital, dari RM38.6k

Ciri lain yang perlu dinyatakan ialah panel meter digital. Varian AV yang paling tinggi menerima panel instrumen TFT 7.0-inci; ini sama dengan varian pertengahan pada Ativa dan Alza, dengan gelung 3D juga kelihatan, seperti dalam risalah. Khas untuk AV juga ada skrin paparan audio 9.0-inci terapung. Ini sama dengan saiznya untuk Ativa, sementara varian lain diberikan radio tanpa skrin sentuh.

Selain itu, ada dua jenis kerusi diberikan, satu untuk varian lebih rendah G/X, dan satu lagi untuk varian lebih tinggi SE/AV. Varian lebih rendah datang dengan kerusi standard dengan “bantal” perehat kepala untuk bahagia belakang. Varian lebih tinggi itu pula datang dengan kerusi semi-bucket di depan, dengan perehat kepala berasingan untuk kerusi belakang. Hanya AV yang menerima kerusi balutan separa kulit dua tona. Filem penapis haba standard hanya untuk ES dan AV.

Aspek keselamatan juga menarik; AV datang dengan enam beg udara, berbeza dengan hanya dua beg udara depan yang diberikan untuk model semasa Axia. Perodua Smart Drive Assist (PSDA) juga ada, menjadikannya model peringkat kemasukan pertama yang dilengkapi ciri berkenaan. Advanced Safety Assist (ASA) yang lengkap dengan ciri AEB dan tampil dalam Axia facelift 2019 dijangka akan dikekalkan — perlu tunggu dan lihat varian mana yang datang dengan ASA dan perbezaan penawaran ciri keselamatan lainnya kelak. VSC pula standard untuk semua varian.

Pilihan warna pula ada lima — Granite Grey, Lava Red, Glittering Silver, Ivory White (solid) dan warna baru Coral Blue. Yang terakhir ini ialah warna “hero” bagi Axia D74A.

Anggaran harga adalah dari RM38,600 bagi G, RM40,000 bagi X, RM44,000 bagi SE dan RM49,500 bagi AV; semuanya harga atas jalan tidak termasuk insuran. Ini lebih tinggi berbanding sebelumnya, disebabkan ia produk yang lebih baik dengan kelengkapan yang bertambah. Sebagai rujukan, harga pelancaran bagi Axia facelift 2019 adalah RM34,990 bagi GXtra dengan VSC dan RM43,190 bagi AV.

Tidak dinyatakan varian “kosong” E setakat ini. Jadi, apa pandangan anda tentang penawaran Axia 2023 berdasarkan perincian awal yang ada setakat ini? Pelancarannya dijangka berlangsung dalam bulan Februari ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

 

Add a comment

required

required