Musim perlumbaan MotoGP 2019 sudah pun bermula hujung minggu lalu, menyaksikan Andrea Dovizioso dari pasukan Ducati memenangi pusingan di Qatar dengan beza cuma 0.023 saat berbanding Marc Marquez yang berada di tempat kedua. Tempat ketiga pula dimenangi oleh Cal Crutchlow.

Walaubagaimanapun, kemenangan Dovizioso ini, serta beberapa pelumba lain yang menggunakan jentera Ducati telah dipertikaikan oleh beberapa pasukan, termasuk Aprilia Racing Team Gresini, Red Bull KTM Factory Racing, Repsol Honda Team dan Team Suzuki Ecstar.

Sebab utamanya adalah winglet yang diletakkan pada lengan ayun, di hadapan roda belakang (bawah motosikal). Walaubagaimanapun, panel pengurusan FIM MotoGP telah menolak protes ini kerana ia tidak menyalahi peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan. Kini, keputusan perlumbaan masih lagi dikekalkan, tetapi kes protes pertama bagi musim 2019 ini telah dibawa pula ke ‘mahkamah rayuan’ MotoGP untuk pengumpulan lebih maklumat berkenaannya.

Walaupun cuma satu alat yang kecil, ia berkemungkinan memberi kesan yang banyak pada kestabilan dan prestasi motosikal kerana pergi di kelajuan yang tinggi. Sama seperti beberapa tahun kebelakangan ini, jentera Ducati sekali lagi menunjukkan kelajuan yang sukar ditandingi di laluan lurus, dan di Qatar, ia boleh pergi sehingga lebih daripada 350 km/j.

Selain cerita protes ini, sudah tentu perlumbaan pembukaan musim 2019 juga menyaksikan pelbagai aksi menarik seperti saingan di kelompok hadapan, Rossi yang berjaya mendapat tempat kelima selepas bermula di petak ke-14, tempat duduk Jack Miller tercabut dan Fabio Quartararo yang bermula di pit lane selepas enjin motosikal beliau mati betul-betul sebelum pusingan warm up dimulakan. Hafizh Syahrin pula cuma menamatkan perlumbaan di tempat ke-20.