Toyota menawarkan pada mana-mana pengeluar kenderaan termasuk pesaing-pesaingnya untuk menggunakan teknologi elektrik yang telah mereka bangunkan, semata-mata mahukan teknologi sedemikian lebih cepat tersebar dalam pasaran.

“Jika jumlah kenderaan dengan teknologi elektrik meningkat secara signifikant dalam masa 10 tahun akan datang ia akan menjadi standard,” kata naib presiden eksekutif Toyota, Shigeki Terashi.

“Berdasarkan permintaan yang tinggi kami terima terhadap sistem elektrifikasi kenderaan kami dari syarikat-syarikat yang dikenalpasti perlu mempopularkan hibrid serta teknologi kenderaan elektrik lain, kami percaya sekarang masa yang sesuai untuk bekerjasama,” jelas Terashi.

Dengan itu, Toyota akan berkongsi sejumlah 23,740 paten yang terdiri dari sistem motor elektrik, sistem kawalan kuasa, dan sistem-sistem kawalan lain dalam teknologi tersebut, tanpa meminta bayaran royalti. Menurut jenama tersebut lagi, selain dari teknologi hibrid, sistem-sistem tersebut juga boleh digunakan pada sistem hibrid plug-in dan sel bahan api.

Selain dapat menggunakan teknologi-teknologi berkenaan, Toyota turut menawarkan sokongan teknikal untuk syarikat lain menghasilkan kenderaan dengan teknologi elektrik yang menggunakan motor elektrik, bateri dan sistem kawalan elektrik keluarannnya. Tetapi untuk khidmat ini ada bayaran yang perlu dikenakan, dengan khidmat berkenaan membolehkan firma luar “mencapai prestasi kenderaan yang tinggi.”

Kesemua hampir 24,000 paten berkenaan ditawarkan kepada pengeluar lain yang berminat dengan geran dari sekarang hingga tahun 2030. Toyota turut pernah menawarkan perkongsian sebegini untuk sistem sel bahan apinya sejak tahun 2015.