VIDEO: Pemanduan jarak jauh pertama di dunia adalah di lakukan oleh wanita – Bertha Benz pada tahun 1888

Selepas lebih 100 tahun sejarah industri automotif, lelaki masih lagi dianggap sebagai golongan yang lebih cekap memandu. Tapi tahukah anda sebenarnya orang pertama yang memandu dalam jarak jauh adalah wanita dan bukannya lelaki?

Perjalanan berkenaan dilakukan pada jarak 106 km, pada 5 Ogos 1888 oleh seorang wanita berumur 39 tahun ketika itu, bernama Bertha Benz. Macam kenal? Ya, Bertha merupakan isteri kepada Karl Benz iaitu pemegang paten rekaan Benz Patent-Motorwagen, kereta produksi pertama di dunia yang muncul pada tahun 1886.

Bertha memandu kereta tersebut dari Mennheim ke Pforzheim dengan dua orang anaknya iaitu Richard dan Eugen yang ketika itu berumur 13- dan 15-tahun. Karl Benz tidak mengetahui tentang perjalanan isterinya ini, dan pada era berkenaan memandu kenderaan bermotor untuk jarak jauh tanpa keizinan dari pihak berkuasa sebenarnya menyalahi undang-undang.

VIDEO: Pemanduan jarak jauh pertama di dunia adalah di lakukan oleh wanita – Bertha Benz pada tahun 1888

Wanita tersebut memberikan alasan mahu berjumpa kedua orang tuanya yang berada di Pforzheim, tetapi niat sebenar Bertha adalah membuktikan kereta berkenaan adalah sebuah jentera yang sangat berguna kepada masyarakat, setelah Karl Benz sendiri gagal untuk memasarkan hasil rekaannya itu. Bertha juga mahu suaminya yakin bahawa rekaan kereta berkenaan mempunyai masa hadapan yang cerah.

Walaupun jarak 106 km itu boleh dibuat dalam masa tidak sampai satu jam pada masa sekarang, ia bukanlah sesuatu yang mudah lebih 100-tahun dahulu. Pelbagai dugaan yang perlu dihadapi oleh Bertha sebelum sampai ke destinasi, antaranya kisah bagaimana kereta tersebut kehabisan bahan bakar, yang telah difilemkan dan disiarkan sendiri oleh Mercedes-Benz, bertajuk “Perjalanan yang mengubah segalanya.”

Benz Patent-Motorwagen dijana oleh enjin 954 cc satu-silinder empat lejang yang menjana sekitar 0.67 hp pada 250 rpm, dan tangki bahan api kereta tersebut hanya membekalkan 4.5 liter petrol. Bekalan bahan bakar berkenaan habis ketika sampai di pekan Wiesloch, dan sudah tentu tiada lagi stesen minyak ketika itu.

Jadi Bertha perlu mendapat Ligroin, iaitu pelarut berasaskan petroleum yang boleh didapati farmasi. Secara tidak langsung, farmasi di Wiesloch berkenaan menjadi stesen minyak pertama di dunia setelah membekalkan Ligroin kepada Bertha.

Namun setelah berjaya memperoleh bahan bakar itu, ia bukanlah semudah mengisi petrol dan mulakan semula perjalanan. Bertha turut mempamerkan kemahiran teknikalnya dengan membersihkan saluran bahan api yang tersumbat pada karburator enjin tersebut menggunakan pin rambutnya, dan kemudian berjaya menghidupkan kembali enjin kereta berkenaan.

Tiga beranak tersebut sampai ke destinasi selepas senja hari itu juga dengan perjalanan sekitar 12-jam, dan Bertha memaklumkan kejayaannya kepada Karl menggunakan telegram. Dia memandu pulang semula ke Mannheim berberapa hari selepas itu.

Bertha mencatatkan setiap butiran perjalanan tersebut, dan kemudian mendapat publisiti yang meluas. Perjalanan itu bukan sahaja memberi kesan pemasaran yang diperlukan, malah rekaan Benz Patent-Motorwagen dipertingkatkan selepas itu. Bertha menghadapi masalah brek apabila pad yang diperbuat dari kayu gagal berfungsi, dan kemudian menggantikannya dengan pad getah apabila terjumpa tukang kasut dalam perjalanan, dan gear rendah turut ditambah pada kereta berkenaan kerana Richard dan Eugene terpaksa menolak kereta tersebut pada berberapa laluan berbukit yang curam.

Sumbangan Bertha kepada Karl Benz bukan hanya pada perjalanan ini. Sebenarnya dua tahun sebelum berkahwin dengan Karl, Bertha telah menggunakan wang hantaran kahwinnya untuk menyuntik modal pada syarikat mereka yang sedang merudum – undang-undang Jerman ketika itu tidak membenarkan isteri untuk menjadi pelabur kepada syarikat suami, dan sebab itulah Bertha melakukannya sebelum mereka berkahwin.

Wang hantaran berkenaan terus digunakan untuk pembangunan Benz Patent-Motorwagen, tetapi nama Bertha tidak dapat disertakan sebagai pemegang paten kerana sekali lagi menurut undang-undang, wanita yang telah berkahwin tidak boleh memohon hak paten. Benarlah kata pepatah, di belakang seorang lelaki hebat, pasti terdapat seorang wanita hebat sebagai tulang belakangnya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required