Nampak gayanya masalah bekalan cip semikonduktor kian parah, menyebabkan banyak syarikat pengeluaran terpaksa mengambil langkah drastik untuk mengatasinya. Ini termasuklah Daimler dan Volkswagen (VW) yang mengumumkan akan memendekkan waktu bekerja di beberapa kilang mereka di Eropah, disebabkan masalah bekalan cip yang terus menjejaskan pengeluaran kenderaan, laporan Reuters.
Jurucakap Daimler berkata, syarikatnya akan mengurangkan waktu bekerja pada minggu ini di kilang Bremen dan Rastatt di Jerman. Katanya, keadaan menjadi tidak menentu dan ramalan untuk kesan akibat masalah ini tidak dapat dijangka.
Begitu juga dengan VW yang akan mengurangkan waktu bekerja di kilang Wolfsburg pada minggu hadapan, dan buat setakat ini, tiada maklumat mengatakan sampai bila tempoh itu akan dilaksanakan. Pada bulan lalu, CEO VW Herbert Diess berkata, syarikat ini sedang berada dalam “mod krisis” disebabkan masalah kekurangan bekalan semikonduktor, dan impak perkara ini akan mendatangkan kesan terhadap profit pada suku kedua.
Sementara itu, pengeluar kereta lain termasuk Nissan, Suzuki dan Mitsubishi telah mengumumkan mereka akan menggantung operasi kilang di Jepun dalam tempoh hingga sembilan hari. Nissan berkata pihaknya turut menjangka pengeluaran produksi global juga akan menyusut sehingga 500,000 unit, namun menambah sedang merancang bagi memastikan pengeluaran dapat kembali ke landasan yang sebenar. Penganalisis automotif turut meramalkan krisis semikonduktor ini mungkin berlanjutan sehingga tahun 2022.