Sistem brek hidraulik sudahpun lebih 100 tahun digunakan pada teknologi automotif. Walaupun ia kini sudahpun dibantu dengan sistem elektronik menerusi pengenalan modulator pada sistem ABS yang mula digunakan secara meluas bermula pada era 80’an, serta berkembang sehingga wujudnya sistem torque vectoring pada kereta moden masakini, asas sistem tersebut sebenarnya masih lagi sama.
Namun dengan kepesatan teknologi elektronik, nampaknya sistem brek menggunakan sistem asas ini juga mungkin akan lenyap tidak lama lagi. Pengeluar brek terkemuka dari Itali, Brembo telah memperkenalkan sistem brek generasi baharu digelar sebagai Sensify, yang bukan sahaja tidak lagi menggunakan sistem hidraulik konvensional, malah turut dibantu dengan perisian termaju bersama teknologi kecerdasan buatan (A.I).
Secara asasnya, memang tiada lagi litar hidraulik biasa pada sistem Sensify ini. Tiada pam utama (brake master pump), jadi pedal brek tidak memerlukan unit booster bagi memudahkan pedal ditekan. Sebaliknya pedal tersebut dihubungkan kepada satu modul yang akan menghantar isyarat kepada kotak komputer utama (ECU), memberikan input bagaimana pedal tersebut ditekan.
ECU berkenaan bukan hanya menerima input dari pedal malah ia turut memantau parameter penting lain seperti geseran pada permukaan jalan, berat kereta, pembahagian berat, kelajuan kereta dan juga sudut stereng. Dua buah ECU digunakan dalam setiap sistem Sensify ini – satu untuk roda hadapan dan satu lagi untuk roda belakang. Walau bagaimanapun, kedua-dua ECU ini masih berhubung untuk situasi seperti fungsi failsafe (sistem sokongan jika berlaku kerosakan).
Kedua-dua ECU tersebut mengawal setiap actuator (penggerak) untuk setiap angkup brek secara bebas, membolehkan setiap angkup memberikan kuasa membrek yang berbeza dan lebih tepat pada setiap roda berdasarkan situasi. Actuator berkenaan diletakkan berhampiran dengan setiap angkup, membolehkan ia beroperasi dengan litar hidraulik yang pendek. Malah menerusi video yang disertakan, ada juga actuator elektromekanikal yang direka bersambung terus dengan angkup yang berfungsi tanpa sistem hidraulik.
Menurut Brembo, setiap actuator tersebut dilengkapi dengan gegelung berkembar bagi tujuan keselamatan, dan sistem Sensify ini sendiri telah menerima kelulusan type approval dari pihak berkuasa berkaitan di semua pasaran.
Jadi bagi memberikan sistem seperti ABS dan EBD, kawalan kestabilan elektronik (ESC) dan sebagainya, ia tidak lagi memerlukan unit modulator konvensional kerana ia boleh diberikan terus oleh ECU yang dibantu oleh teknologi A.I bagi memahami situasi pemanduan, seterusnya memberikan kuasa membrek yang tepat pada setiap angkup secara berasingan.
Dengan sistem ini karekter brek seperti rasa pada pedal dan respon boleh diubah dan ditala dengan jauh lebih mudah kerana ia kini menggunakan sistem elektronik sepenuhnya. Malah ia turut boleh menyimpan talaan berbeza untuk setiap pemandu.
Menurut Autocar yang telahpun menguji sistem brek Brembo Sensify ini yang dipadankan pada Tesla, pemandu dapat membuat talaan terhadap “rasa”, jarak pergerak dan tekanan pada pedal brek tersebut hanya menggunakan satu aplikasi khas. Ekosistem tersebut turut memungut dan memproses data bagi menambahbaik sistem tersebut menerusi kemaskini akan datang.
Brembo menyatakan bahawa sistem Sensify yang lebih ringkas ini tidak memerlukan ruang yang besar serta boleh dialihkan untuk kegunaan pemanduan sebelah kiri atau kanan dengan mudah. Dan, ia tidak semestinya beroperasi dengan pedal kaki kerana boleh digantikan butang atau suis jika pengeluar mahukan rekaan sedemikian.
Sistem yang jauh lebih ringan, ringkas dan kompak ini juga memberikan kuasa membrek yang lebih mampan kerana setiap pergerakan brek pada setiap angkup telah yang dioptimakan serta tanpa adanya geseran antara pad dan cakera brek dapat mengurangkan lagi emisi, dakwa Brembo.
Jenama tersebut turut menyatakan bahawa sistem Sensify ini sesuai digunakan pada apa sahaja kenderaan termasuk kereta bandar, sedan, kereta sport, kereta lumba dan kenderaan perdagangan. Malah motosikal yang sangat sensitif terhadap berat dan perubahan permukaan jalan juga sangat sesuai untuk menggunakan sistem Sensify ini, kata Brembo lagi.
Sistem ini juga boleh beroperasi tidak kira pada kenderaan elektrik sepenunhnya ataupun yang menggunakan enjin pembakaran dalaman konvensional, dan ia dijangka bakal digunakan pada model-model produksi pada tahun 2024.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.