Mitsubishi_Triton_Plus-1

Ternyata pasaran trak pikap begitu kompetitif dan bagi bersaing dengan model pesaingnya secara lebih sihat dan terbuka, Mitsubishi turut melakukan peningkatan bagi model Triton di Thailand (dilancarkan di Thai akhir 2014, manakala di Malaysia pula Mei 2015), seperti mana yang dipamerkan di Bangkok Motor Show 2016 ini.

Terdapat sedikit perubahan dan rekaan semula termasuk pelarasan bagi roda stereng teleskopik untuk semua model, dan menambah soket 12 V kedua untuk semua Mega Cab dan varian Double Cab empat-pintu.

Perubahan terbesar pula dilakukan pada varian tertinggi, GLS LTD, yang sebelum ini diperkenalkan sebagai Double Cab 4×4, kini dikenali sebagai model Mega Cab dan Double Cab Plus 4×2, menggantikan model GLS terdahulu. Kini GLS LTD turut ditampilkan dengan roda stereng empat-jejari pelbagai fungsi yang diadaptasi dari model Pajero Sport.

Sebagai tambahan, varian Double Cab 4×4 GLS LTD 5AT telah menukar sistem Easy Select 4WD ke Super Select 4WD II seperti pada Pajero Sport. Sistem ini turut menambah mod AWD sepenuh masa dengan viscous coupling centre differential yang boleh menukar kuasa antara gandar hadapan dan belakang. Bagi mod 4HLc dan 4LLc bagi kunci perbezaan, berbanding mod 4H dan 4L pada model terdahulu. Manakala mod 2H 2WD dikekalkan bagi penggunaan bahan api yang lebih efisien.

Turut ditambah pada model spesifikasi tertinggi ialah beg udara sisi dan tirai menjadikannya sejumlah tujuh unit. Selain itu, ia turut ditampilkan dengan Kestabilan Aktif dan Kawalan Cengkaman. Bukan itu sahaja, buat pertama kali bagi model trak pikap, monitor bumbung pada tempat duduk penumpang belakang telah diaplikasikan dan tempat duduk pemandu juga hadir dengan lapan-cara pelarasan. Foto pada galeri ini adalah Triton Plus Special Edition yang dibaluti warna baharu Impulse Blue dengan padanan rim 17-inci.

Bagi pasaran Thai, Triton ini dijanakan oleh enjin 2.4 liter MIVEC VGT turbodiesel dengan kuasa 181 hp dan tork 430 Nm. Untuk pasaran Malaysia pula, dikuasakan dengan enjin 2.5 liter VGT (178 PS/400 Nm), iaitu versi penambahbaikan dari motor DI-D 178 PS/350 Nm kerana enjin 2.4L tidak mencapai kualiti bahan api di negara kita.