Hyundai-Ioniq-Hybrid-6_BM

Hyundai Ioniq, kereta hijau buatan Korea yang membuat kemunculan sulung di Geneva Motor Show 2016 Mac lalu, diumumkan akan dipamerkan di Malaysia buat pertama kali. Sedan mesra alam dengan tiga varian unit janakuasa berbeza tersebut akan membuat kemunculan pada My Auto Fest 2016 yang bermula pada 20 hingga 22 Mei ini bertempat di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC).

Ioniq merupakan kereta mesra alam pertama di dunia yang menggunakan model dan nama yang sama untuk tiga varian janakuasa berbeza iaitu Ioniq Hybrid, Plug-In Hybrid dan juga Electric yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya.

Ioniq Hybrid, pencabar terus Toyota Prius, dijana oleh enjin petrol 1.6 liter Kappa GDI empat-silinder berkuasa 105 PS dan tork maksima 147 Nm. Ia digabungkan dengan motor elektrik berkuasa 43 PS dan tork maksima 170 Nm, menerima tenaga dari bateri polimer litium ion berkuasa 1.56 kWh yang ditempatkan di bawah tempt duduk belakang.

Secara keseluruhan, Ioniq Hybrid mampu menghasilkan kuasa gabungan 141 PS dan tork maksima 265 Nm dengan kelajuan maksima dicatatkan pada 185 km/j. Kesemua kuasa ini dialirkan ke roda hadapan melalui kotak gear klac berkembar enam-kelajuan.

Ioniq Electric (yang kini sudahpun dijual di Korea) dijana sepenuhnya dengan motor elektrik berkuasa 120 PS dan tork segera 295 Nm dan dilengkapi dengan sistem transmisi single-speed reducer. Kuasa dibekalkan dari bateri polimer litium ion berkuasa 28 kWh dan mampu untuk membawa kereta ini sejauh lebih dari 250 km dengan kelajuan maksima dicatatkan pada 165 km/j.

Hyundai Ioniq Plug-In Hybrid turut dijana oleh enjin petrol 1.6 liter Kappa GDI. Enjin tersebut digabungkan dengan motor elektrik yang lebih besar berkuasa 61 PS, dijana oleh bateri berkuasa 8.9 kWh yang mampu membawa kereta ini dengan pacuan motor elektrik sepenuhnya dalam jarak lebih 50 km.

Kesemua varian Ioniq menerima paparan instrumen TFT tujuh inci dengan Android Auto dan Apple CarPlay pada bahagian dalaman. Untuk sistem keselamatan pula, kesemua Ioniq dilengkapi dengan sistem brek kecemasan automatik, bantuan kekal laluan, pengesan titik buta, amaran lintasan trafik belakang dan kawalan kelajuan pintar.