ASEAN-NCAP-feat-2_BM

Klik untuk besarkan

Sempena Forum Keselamatan Automobil ASEAN (AASF) edisi keempat yang diadakan di Ho Chi Minh City, Vietnam, Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) telah mengumumkan hasil ujian yang dilakukan pada tujuh buah model yang diuji pada suku kedua 2016.

Model-model tersebut adalah Nissan X-Trail, Nissan Navara, Suzuki Ertiga, Suzuki Ciaz, Kia Morning, Hyundai EON dan Isuzu MU-X. Dalam kategori Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), dua model menerima penarafan kosong-bintang, empat model menerima penarafan empat-bintang dan satu model menerima penarafan lima-bintang penuh.

ASEAN NCAP menguji Kia Morning (atau dikenali sebagai Picanto di Malaysia) pada 14 April 2016 dan Hyundai EON pada 10 Mei 2016. Ujian tersebut menggunakan varian Kia Morning untuk pasaran Indonesia manakala untuk Hyundai EON, model pemanduan sebelah kiri yang diambil dari pasaran Filipina digunakan.

Kedua-dua model ini merupakan varian tanpa beg udara dan menerima penarafan kosong-bintang untuk kategori AOP di mana Kia Morning menerima 1.48 markah dan Hyundai EON tidak mendapat sebarang markah (0 markah), menjadikan ia kereta yang sememangnya tidak mempunyai apa-apa markah dalam ujian ini. Untuk ujian penilaian Perlindungan Penumpang Kanak-kanak, kedua-dua buah model menerima penarafan satu-Bintang pada kadar patuh 27%


Klik untuk besarkan

Hasil ujian dua model dari Nissan iaitu X-Trail dan Navara turut diumumkan dalam acara tersebut. Dengan sistem Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan Sistem Peringatan Tali Pinggang Keledar (SBR) yang dilengkapi untuk kedua-dua belah tempat duduk hadapan, Nissan X-Trail berjaya mencatatkan penarafan lima-bintang untuk penilaian AOP, menerima 15.10 markah.

Nissan Navara yang merupakan trak pikap keenam yang diuji ASEAN NCAP menerima 12.34 markah untuk AOP dan menerima penarafan empat-bintang. Untuk penilaian COP pula, X-Trail berjaya memenuhi 72% dan menerima penarafan empat-bintang. Walau bagaimanapun, Navara hanya memenuhi 37% untuk COP dan hanya menerima penarafan dua-bintang.

ASEAN NCAP turut menguji dua buah model dari Suzuki untuk suku berkenaan. Kedua-dua model iaitu Suzuki Ertiga dan Suzuki Ciaz menerima penarafan empat-bintang dalam penilaian AOP. MPV-Mini Suzuki Ertiga yang bakal direbadge oleh Proton tahun ini menerima 12.39 markah, manakala sedan segmen-C Suzuki Ciaz menerima 14.56 markah.

Kedua-dua kenderaan keluaran Suzuki ini yang dilengkapi dengan tali keledar untuk pemasangan alat keselamatan untuk kanak-kanak, menerima penarafan COP dua-bintang di mana Ertiga memenuhi 33% dan Ciaz memenuhi 37%.


Klik untuk besarkan

Untuk ujian pada Isuzu MU-X, ASEAN NCAP turut menggunakan hasil ujian dari Isuzu D-MAX yang diuji pada fasa ketiga tahun 2013 setelah bukti teknikal yang dikemukan Isuzu membuktikan binaan MU-X adalah sama seperti D-MAX.

SUV tersebut menerima hasil ujian yang sedikit berbeza dari D-MAX dengan menerima 11.87 markah untuk AOP membolehkan ia diletakkan dalam kategori empat-Bintang. Manakala untuk penilaian COP, ia juga menerima penarafan empat-bintang dengan memenuhi 73%, sedikit tinggi dari D-MAX yang hanya memenuhi 71%.

Menurut ASEAN NCAP, Kia Morning dan Hyundai EON merupakan kereta kedua dan ketiga yang menerima penarafan 0-Bintang dalam sejarah ASEAN NCAP, selepas Kia Picanto versi tanpa beg udara untuk pasaran Thailand diuji pada tahun 2014. Hasil ujian untuk Hyundai EON hadir bersama hasil ujian terkini yang diumumkan untuk kereta yang popular di India ini oleh pihak Global NCAP di Delhi 17 Mei 2016 lalu.

“Hasil penarafan kosong-bintang untuk Morning dan EON menunjukkan adalah penting untuk sesebuah kenderaan itu dilengkapi bukan sahaja hanya beg udara pada bahagian hadapan, malah struktur badan yang kekal stabil ketika berlaku pelanggaran juga adalah sangat penting.

“Kombinasi tersebut adalah penting untuk memastikan keselamatan penumpang. ASEAN NCAP turut menyokong kempen #NOZEROSTARCARS yang dijalankan oleh pihak Global NCAP, kereta sedemikian sepatutnya tiada tempat dalam pasaran ASEAN,” kata Ketua Setiausaha ASEAN NCAP Khairil Anwar Abu Kassim.

Pengerusi ASEAN NCAP Dr. Wong Shaw Voon pula berkata “ASEAN NCAP kini bersedia untuk membuka ruang kerjasama dari semua sektor kerajaan, industri automotif, pertubuhan bukan kerajaan, pengguna dan orang awam dalam menilai tahap keselamatan kenderaan dalam rantau ini.

“Di bawah Pusat Keselamatan Jalan Raya ASEAN dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), bersama dengan semua rakan kerjasama kami mahu mengembangkan platform sedia ada untuk menggunakan hasil ujian ASEAN NCAP dan informasi secara efektif dalam pelbagai peringkat termasuk pada tahap polisi kerajaan dan industri.”