Ford-Mustangs-2

Ikon kereta American Muscle yang kini diberikan taraf kereta global dan sedang hangat dalam pasaran kereta sport seluruh dunia – Ford Mustang 2016, secara rasminya telah menembusi pasaran Malaysia. Ia dibawa khas oleh pengedar rasmi Ford iaitu Sime Darby Auto Connexion (SDAC), di mana Malaysia merupakan salah sebuah pasaran dalam Asia yang dipilih untuk menerima kereta ikonik dari Amerika ini.

Seperti yang dijangka sebelum ini, Mustang generasi-keenam untuk pasaran Malaysia hadir dengan bentuk badan Fastback dan boleh dipilih dalam dua varian iaitu Mustang 2.3L EcoBoost dan juga Mustang GT 5.0L V8. Kedua-duanya diberikan spesifikasi Premium dengan tambahan Performance Pack sebagai standard.

Kuasa yang dihasilkan pada enjin-enjin Mustang spesifikasi Malaysia ini adalah hampir sama dengan spesifikasi yang dijual di Eropah, di mana ia agak berbeza dengan model yang dipasarkan di Amerika Utara.

Enjin V8 5.0 liter spesifikasi Malaysia menghasilkan kuasa 416 PS pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 530 Nm pada takat 4,250 rpm (model pasaran Amerika menghasilkan kuasa 435 hp/542 Nm). Manakala enjin 2.3 liter EcoBoost empat siinder sebaris menghasilkan kuasa 317 PS pada takat 5,500 rpm dan tork 432 Nm pada takat 3,000 rpm (kuasa untuk spesifikasi Amerika ialah 310 hp/434 Nm).

Kedua-dua varian dilengkapi dengan kotak gear ZF 6R80 enam-kelajuan automatik SelectShift, dengan penukar gear. Semasa prebiu yang dilakukan di Publika tahun lalu, tidak dinyatakan sama ada SDAC akan membawa masuk model yang dilengkapi dengan kotak gear manual Getrag MT-82 enam-kelajuan atau tidak, dan nampaknya setakat ini memang tiada.

Kedua-dua varian didatangkan standard dengan lampu hadapan HID beserta lampu signatur, lampu belakang LED, lampu nyalaan siang, diffuser belakang, kawalan kelajuan, penghawa dingin dua zon, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, fungsi MyKey, upholstery balutan kulit, tempat duduk hadapan dengan kawalan suhu (pemanas/penyejuk) serta boleh dilaras dengan bantuan kuasa enam-hala.

Turut hadir sebagai ciri standard termasuk penggilap cermin automatik, lampu hadapan automatik, ekzos keluli tahan karat dua tip (tip untuk 5.0 GT digilap), scuff plates berlampu, sistem infotainmen SYNC 2 dengan skrin sesentuh LCD lapan-inci dengan kamera undur serta hubungan Bluetooth dan USB.

Spesifikasi Premium yang disertakan merangkumi suis pilihan mod pemanduan (Normal, Sport+, Track, Snow/Wet) yang diletakkan di konsol tengah. Tiada kawalan talaan penyerap hentak untuk mod-mod tersebut tetapi ia melibatkan talaan pada unit janakuasa dan perkara lain yang berkaitan casis.

Sistem keselamatan yang didatangkan secara standard termasuk Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC), cagak ISOFIX, sistem pemantau tekanan angin tayar, beg udara sisi tempat duduk dan langsir serta beg udara bahagian lutut untuk bahagian hadapan.

Sembilan unit pembesar suara dibekalkan (iaitu set midline, tingkat taraf dari sistem asas yang hanya dilengkapi enam pembesar suara dan datang dengan skrin 4.2 inci). Logo Shaker pada konsol tengah pada kereta di dalam gambar (varian 2.3L EcoBoost berwarna merah dan 5.0 GT berwarna kuning) bukanlah peralatan dari pek Equipment Group 201A (yang menawarkan sistem audio Shaker Pro dengan 12 pembesar suara beserta unit amplifier) kerana tiada ciri Sistem Informasi Titik Buta (BLIS) dan cross-traffic alert dibekalkan untuk Mustang pasaran Malaysia.

Performace Pack yang disertakan pada model 5.0 liter GT merangkumi roda aloi sepuluh jejari berkembar kemasan Ebony Black berdiameter 19-inci dan juga nisbah gear akhir 3.55:1, angkup brek hadapan enam-silinder Brembo dengan cakera berliang 380×34 mm, splitter hadapan, spring hadapan baharu dan juga talaan cesi unik.

Agak menghairankan, kedua-dua varian tidak dinyatakan dilengkapi dengan Gauge Pack (merangkumi meter tambahan untuk bacaan tekanan minyak pelincir dan tekanan boost pada konsol tengah), yang mana sepatutnya diletakkan di bahagian tengah tiga liang penghawa dingin seperti yang dilihat pada kereta spesifikasi Malaysia. Gauge Pack ini sebenarnya adalah sebahagian dari kemasan spesifikasi Performance Pack.

Performance Pack untuk varian 2.3 liter EcoBoost pula menampilkan roda aloi sepuluh jejari berkembar kemasan Ebony Black berdiameter 19-inci (roda asal 18-inci) dan juga nisbah akhir standard 3.15 pada LSD ditukar kepada 3.55.

Pek tersebut juga merangkumi tingkat taraf sistem brek varian 2.3L kepada cakera berliang hadapan 352 x 32 mm (dengan angkup tetap aluminium empat-silnder) dan 330 x 25 mm cakera berliang belakang (dengan angkup terapung logam silinder tunggal 45 mm).

Lima warna ditawarkan untuk kedua-dua varian iaitu Race Red, Oxford White, Shadow Black, Deep Impact Blue dan Magnetic. Hanya varian 5.0L GT menerima warna istimewa Triple Yellow Tri-Coat.

Jun tahun lalu, SDAC telah mengeluarkan harga jangkaan untuk kedua-dua varian yang lebih rendah iaitu RM435k-RM450k untuk 2.3 litre EcoBoost dan RM550k-RM565k untuk 5.0 litre V8. Ford Mustang 2.3L EcoBoost dijual pada harga RM488,888, manakala model 5.0L GT V8 pula dijual pada harga RM598,888. Harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran.

GALERI: Ford Mustang 5.0L GT V8

GALERI: Ford Mustang 2.3L EcoBoost