Syarikat konglomerat berjaya di Filipina, Ayala Corporation, menerusi jabatan kenderaan AC Industrial Technology Holdings (ACITH), telah bersedia untuk melabur sehingga USD 100 juta (RM403 juta) bagi membangunkan hab pengeluaran kereta bagi Asia Tenggara.
Syarikat berkenaan kini sedang mengadakan perbincangan dengan “lebih dari tiga” syarikat kenderaan asing untuk kerjasama dengan perkongsian saham awalan sebanyak 50% bersama AC Industrial. Perkara ini disahkan oleh ketua ACITH sendiri, Arthur Tan, dalam temubual bersama Nikkei Asian Review.
Tanpa menyebut sebarang nama yang terlibat dengan perbincangan beraama ACITH, dengan berkata beliau terikat dengan perjanjian untuk tidak mendedahkannya. Walau bagaimana pun, Tan mendedahkan perbincangan dengan Volkswagen yang berlangsung sejak tahun 2013 masih berjalan sehingga sekarang.
Malah beliau juga berkata, kerjasama (JV) ini bertujuan untuk membangunkan kereta pandu-sendiri, dan berharap ia akan termasuk dengan topik perbincangan tersebut dan persiapan bagi projek ini boleh dimulakan dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Tan turut berkata, JV ini tidak akan membangunkan ‘kereta konvensional’, kerana pasaran terbabit telah dimonopoli oleh Thailand, Indonesia dan Malaysia. “Kita melihat peluang di mana industri automotif sendiri telah banyak terganggu. Jadi fasiliti pembangunan sedia ada tidak akan menghasilkan kenderaan sebegini untuk generasi akan datang,” ujarnya.
Ayala Corporation turut memiliki Integrated Micro-Electronics (IM), unit perniagaan yang membuat produk elektronik bagi industri automotif global, termasuk kamera untuk kereta pandu-sendiri.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.