5 asas menunggang dalam litar bersama pelumba MSS dan pelatih BMW Motorrad Malaysia, Nasarudin Yusop

nasa-52-1

Bagusnya sekarang ini, sudah semakin banyak sesi di dalam litar diadakan dan ia mendapat sambutan baik pemilik motosikal, terutamanya jenis sports. Sudah tentu, apabila anda mempunyai sebuah motosikal sports, litar adalah tempat terbaik untuk menikmatinya dan dalam persekitaran yang lebih selamat.

Penulis berpeluang menyertai sesi ringkas untuk wakil media semasa BMW Motorrad Track Day dan mencuba beberapa model semasa BMW seperti S1000RR dan S1000XR. Pada hari itu juga, terdapat beberapa orang pelatih berpengalaman dan penulis mendekati Nasarudin Yusop (Nasa 52) yang namanya bukan asing lagi dalam perlumbaan litar tempatan termasuk Malaysian Super Series (MSS).

Tunggangan di dalam litar memerlukan banyak persiapan dan cara, tetapi di sini kami kongsikan 5 yang asas dan sekurang-kurangnya ia dapat memberi panduan kepada mereka yang masih lagi baru.

Pastikan diri dan motosikal bersedia

Persiapan ini dilakukan sebelum anda memasuki litar. Untuk diri penunggang, pastikan kesihatan serta stamina bagus manakala motosikal pula perlu berada dalam keadaan terbaik dan telah diperiksa secara teliti. Anda tidak mahu setelah membayar untuk sesi penuh, anda hanya mampu melakukan beberapa pusingan sahaja disebabkan sama ada terlalu penat ataupun motosikal mengalami masalah. Lebih teruk jika ada pula sesuatu yang tidak diingini berlaku.

Kelengkapan menunggang untuk litar

Apabila berada dalam litar, keselamatan adalah perkara penting walaupun masing-masing memerah jentera sehabis mungkin. Oleh itu, kelengkapan yang terbaik diperlukan termasuk helmet fullface (bukan jenis open face atau flip-up), sut penuh (berserta slider di lutut), sarung tangan panjang dan kasut jenis lumba (bukan touring atau street).

‘Race Line’

Mereka yang ingin laju dan selamat perlu tahu tentang ‘race line’. Asasnya, mengambil selekoh dari bahagian luar, masuk ke dalam ‘apex’ dan membuka kembali laluan seluas mungkin supaya dapat mencapai kelajuan lebih tinggi. Jika masih belum biasa, anda boleh melakukan kajian terlebih dahulu berkenaan litar tersebut dengan melihat bentuknya dan video yang banyak terdapat di dalam internet.

Kedudukan badan

Secara asasnya, terdapat dua kedudukan badan yang penting iaitu semasa di jalan lurus dan mengambil selekoh. Di jalan lurus, penunggang harus tunduk dan meletakkan dagu helmet rapat ke tangki, kedua-dua peha mengepit tangki manakala kaki pula ditempatkan pada kedudukan dengan batang peletak tersebut berada di tengah tapak kaki.

Semasa mengambil selekoh pula, hanya separuh bahagian punggung diletakkan di atas tempat duduk, badan direndahkan, kaki bahagian dalam seperti menjengket di atas tempat peletak kaki dan kepala menoleh sambil melihat ke arah yang mahu dituju. Walaupun bergantung kepada keselesaan masing-masing, Nasa selesa meletakkan satu jari bersedia di tuil brek dan klac. (rujuk gambar selebihnya dalam galeri di bawah)

Membrek

Barang bahagian brek motosikal mungkin berbeza mengikut model. Oleh itu, anda harus tahu tahap membrek motosikal yang ditunggang; sama ada masih boleh membrek pada jarak 200 m, 150 m atau 100 m sebelum selekoh. Lagi lambat anda membrek, lagi pantas masa keseluruhan setiap pusingan yang boleh dicatat. Ia perlu dilakukan semasa motosikal masih tegak sebelum memasuki selekoh dan bagi yang lebih berpengalaman, mungkin masih boleh mengawalnya semasa sudah mula condong. Brek hadapan memainkan peranan penting sementara untuk brek belakang, bergantung kepada penunggang. Ada yang tidak menggunakannya langsung dan ada yang menggunakan sedikit brek belakang bagi menstabilkan motosikal.

Akhir sekali, Nasa memberitahu, jangan pedulikan jika ada orang yang memberitahu pengalaman di dalam litar tidak penting. Sebaliknya, ia adalah sangat penting bagi setiap penunggang sebagai tempat berlatih cara yang betul dan selamat, seterusnya dipraktikkan di atas jalan raya biasa.

Walaubagaimanapun, ini tidak bermakna anda perlu menggesek lutut setiap kali selekoh di atas jalan raya biasa dan harus diingat, jalan biasa dikongsi bersama ramai lagi pengguna, bukan tempat berlumba dan mempunyai ancaman lebih bahaya. Tempat terbaik untuk menikmati prestasi maksimum motosikal tetap adalah di dalam litar.

Diharapkan juga, pengendali litar dapat menawarkan harga yang lebih mudah diterima bagi kebanyakan golongan kerana ramai yang memberi alasan sesi di dalam litar adalah terlalu mahal dan memerlukan kos tinggi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required