Hyundai Ioniq Hybrid dibuka tempahan untuk M’sia – dilancar bulan ini, CKD, dijangka bermula RM130k

2017-hyundai-ioniq-hybrid-uk-spec-08

Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah mengesahkan bakal melancarkan model Ioniq Hybrid sebelum 2016 berakhir. Malah tempahannya juga telah mula dibuka dan turut mengesahkan harga jangkaan bagi model ini antara RM130,000 ke atas.

Model Ioniq versi hibrid yang direka bagi membolehkan ia disesuaikan dengan sistem plug-in hybrid dan EV akan diproduksi secara pemasangan tempatan (CKD) di Kulim, Kedah.

Pencabar utama bagi Toyota Prius ini dijana oleh enjin petrol 1.6 liter Kappa GDI empat-silinder berkuasa 105 PS pada takat 5,700 rpm dan tork maksima 147 Nm pada takat 4,000 rpm. Hyundai mendakwa enjin pembakaran dalam berkenaan merupakan enjin dengan kecekapan haba paling tinggi di dunia pada tahap 40% – sama seperti yang dicapai oleh enjin pembakaran dalam Toyota Prius generasi keempat terkini.

Enjin berkenaan digabungkan dengan motor elektrik berkuasa 43 PS dan tork maksima 170 Nm, menerima tenaga dari bateri polimer litium ion berkuasa 1.56 kWh yang ditempatkan di bawah tempat duduk belakang. Kesemua kuasa gabungan berjumlah 141 PS/265 Nm berkenaan dialirkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac-berkembar (DCT) enam-kelajuan.

2017-hyundai-ioniq-hybrid-uk-spec-13

Motor elektrik pada Ioniq direka secara spesifik dengan kecekapan bertaraf dunia, termasuk komponen teras (kepingan logam elektrikal) yang lebih nipis sehingga 10% dan wayar tembaga pada bahagian-segi empat untuk mengurangkan teras dan kehilangan tembaga. Motor tersebut membolehkan Ioniq bergerak dengan elektrik sepenuhnya pada kelajuan sehingga 120 km/j.

Selain itu, antara daya tarikan yang ada pada Ioniq Hybrid ini adalah penggunaan kotak gear DCT dan berbanding pesaingnya dari Jepun yang lebih gemar menggunakan transmisi CVT. Hyundai mendakwa transmisi DCT ini merupakan kotak gear terbaik dalam kelasnya menerusi kecekapan pemindahan tenaga yang paling efisien dengan menggunakan galas rendah geseran serta minyak transmisi berkelikatan rendah. Ia turut menampilkan mod Sport yang akan menggunakan nisbah gear rendah lebih lama, dan juga mod Eco yang memberikan penukaran gear tinggi lebih cepat untuk kecekapan penggunaan bahan api lebih baik.

Dibina di atas platform yang sememangnya direka khas untuk kereta hibrid, Ioniq Hybrid turut dipadankan dengan pelbagai komponen untuk mengurangkan berat keseluruhan termasuk penggunaan bonet dan pintu tailgate aluminium, terbukti lebih ringan 12.4 kg dari versi logam. Material untuk membina komponen suspensi juga banyak menggunakan aluminium yang mengurangkan berat sebanyak 10 kg, termasuk lengan bawah hadapan yang 4.6 kg lebih ringan dan lengan bawah belakang 7.14 kg lebih ringan. Penutup kargo pada Ioniq ini juga 25% lebih ringan berbanding model Hyundai lain.

2017-hyundai-ioniq-hybrid-uk-spec-12

Model hibrid ini menggunakan sistem suspensi multilink yang menggunakan lengan bawah berkembar pada bahagian belakang bagi memberikan lebih keselesaan, manakala stereng pula ditala bagi memberikan respon yang lebih tepat dengan nisbah dipertingkatkan untuk karekter lebih sporty. Sistem brek juga dioptimakan untuk memberikan prestasi regenerative braking yang maksimum.

Aerodinamik pada Ioniq turut berada pada tahap yang sangat baik dengan bacaan Cd dicatatkan pada 0.24. Ia dicapai dengan pelbagai faktor termasuk penggunaan tirai udara pada roda hadapan, flap udara aktif pada gril hadapan, kemasan pada bendul sisi, penutup bahagian bawah lantai dan rekaan tertutup pada roda. Seperti juga kereta hibrid lain, Ioniq turut dibekalkan tayar dengan rintangan golekan yang rendah.

2017-hyundai-ioniq-hybrid-uk-spec-17

Selain dari kedudukan bateri yang membolehkan ruang kabin direka lebih luas, Ioniq turut menerima penebat bunyi enjin pada bahagian dalam papan pemuka, penyerap hentak panel lantai, filling dipertingkat pada bahagian dalam tiang-A dan -B, cermin tingkap lebih tebal serta filem penapis bunyi pada cermin hadapan – kesemua ini untuk meningkatkan tahap NVH. Ia juga turut diberikan suspensi dengan talaan yang selesa.

Buat pertama kali, Hyundai menggunakan komponen-komponen yang boleh dikitar semula menerusi Ioniq. Panel bahagian dalam pintu dibuat dari plastik yang boleh dikitar semula dan disalut dengan serbuk kayu dan batu gunung berapi, mewakili 20% dari keseluruhan meterial konvensional lain. Pembalut panel bumbung serta karpet pula menampilkan bahan asas yang diekstrak dari tebu, manakala cat mesra alam kereta ini diadun dengan bahan minyak kacang soya untuk menghasilkan kemasan metalik pada sebahagian komponen.

GALERI: Hyundai Ioniq Hybrid di Malaysia

GALERI: Hyundai Ioniq Hybrid spesifikasi UK

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Learn more:

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required